Bersatu Lahad Datu sedia bekerjasama dengan Mohamaddin

Abdul Hakim Gulam Hassan
Abdul Hakim Gulam Hassan
A
A
A

LAHAD DATU - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Lahad Datu sedia bekerjasama dengan Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi yang bertindak keluar daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) pada Sabtu dalam memajukan kawasan itu.

Ketuanya, Abdul Hakim Gulam Hassan berkata, tindakan Mohamaddin, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama, menjadi ADUN Bebas mesra kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah amat dialu-alukan dan dilihat sebagai memudahkan laluan untuk kerjasama itu.

"Saya beranggapan pengumuman beliau untuk keluar Warisan menunjukkan beliau tidak yakin dengan kepimpinan parti itu. Beliau sendiri dapat menilai kerajaan hari ini sudah pasti dapat membela rakyat pada masa sekarang dan akan datang.

"Kami mengalu-alukan kerjasama dengan beliau demi kemakmuran rakyat serta pembangunan di Segama," kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu kepada pemberita selepas Mesyuarat Cawangan Bersatu Jalan Segama pada Sabtu.

Mohamaddin, 64, dilaporkan berkata, beliau bertindak keluar parti bagi memberi tumpuan untuk memaju dan membangunkan Parlimen Lahad Datu serta Dewan Undangan Negeri Segama, yang menurutnya tiada kemajuan sampai ke kawasan tersebut.

Sehubungan itu, beliau membuat pendirian untuk menjadi ADUN Bebas yang mesra Kerajaan Negeri Sabah, namun beliau menjadi Ahli Parlimen yang bebas semata-mata di peringkat Persekutuan. -Bernama

Artikel Berkaitan: