X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 26 Mei 2022

PSM setuju pinda perlembagaan, tiada lagi undi angkat tangan

emangku Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Akramuddin Abdul Aziz (tengah) ketika sidang media selepas Mesyuarat Agung Luar Biasa PSM di ibu kota hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) pada Sabtu sebulat suara bersetuju untuk meminda dua perlembagaan persatuan itu.

Antaranya ialah untuk mengadakan pengundian pemilihan pucuk kepimpinan secara sulit berbanding amalan undian secara mengangkat tangan, yang menerima kritikan sebelum ini.

Pemangku Presiden PSM, Datuk Akramuddin Abdul Aziz berkata sebanyak 51 perwakilan (lima secara maya) mewakili 16 ahli gabungan hadir pada EGM hari ini telah bersetuju dengan pindaan tersebut.

Hanya tiga ahli gabungan negeri - Selangor, Sarawak dan Putrajaya - serta Perlis yang telah digantung, tidak menghadiri EGM itu.

"Kita juga putuskan bagi jawatan presiden, timbalan presiden, naib presiden, setiausaha dan bendahari, calon boleh bertanding tanpa mengikut satu penggal. Dulu mesti kena pegang jawatan sepenggal di peringkat negeri, sebelum bertanding di peringkat persekutuan, tapi dah dipinda.

"Pemilihan PSM akan diadakan sebelum Jun depan. Saya rasa ia kena diadakan secepat mungkin (bagi memilih pucuk kepimpinan baharu dan menyelesaikan kemelut dihadapi)," katanya selepas mesyuarat itu di sebuah hotel di sini pada Sabtu.

Akramuddin berkata, pihaknya juga telah menghantar surat jemputan untuk tiga ahli gabungan negeri tersebut, tetapi mereka tidak menghadiri EGM berkenaan.

Beliau berkata, sekiranya tiga negeri tersebut mahu menyertai kembali PSM, mereka hanya perlu menghantar surat permohonan kepada kepimpinan baharu PSM yang akan dipilih nanti.

Akramuddin juga yakin kemelut PSM bersama Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) dan Presidennya, Datuk Abdul Halim Kadir dapat diselesaikan selepas pemilihan pucuk kepimpinan baharu, supaya PSM kembali diterima sebagai ahli gabungan ASTAF.

Bagi penganjuran Liga Sepak Takraw (STL), beliau berkata, ia akan dianjurkan pada akhir Disember atau paling lewat pada awal tahun depan, dengan kehadiran penonton ke stadium.

Kemelut PSM bermula pada Mei apabila ASTAF menyingkirkan persatuan itu manakala Presiden PSM Datuk Seri Ahmad Ismail diberikan hukuman penggantungan selama 15 tahun susulan tindakannya menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) dan salinannya kepada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden ASTAF.

Keputusan itu menyaksikan 11 ahli gabungan, yang dikenali sebagai G11, mengumumkan keluar daripada PSM, namun majoriti kembali menyertai PSM, manakala empat ahli gabungan dilaporkan sedang berusaha untuk mewujudkan Persekutuan Sepak Takraw Malaysia. -Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!