Malaysia berpotensi jadi hab pengeluaran utama peranti perubatan

Mohamed Azmin menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Perasmian Pecah Tanah Fasiliti Pembuatan AT&S di Kulim Hi-Tech Park hari ini. -Foto Bernama
Mohamed Azmin menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Perasmian Pecah Tanah Fasiliti Pembuatan AT&S di Kulim Hi-Tech Park hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KULIM - Malaysia berpotensi untuk muncul sebagai hab pengeluaran utama peranti perubatan dan memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan produk terbabit di rantau ini serta peringkat global.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sektor tersebut juga dapat dikembangkan lagi menerusi aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta usaha kerjasama pelbagai pihak terutama pemain industri tempatan.

"Sebelum ini Malaysia telah pun mempelopori dan menjadi jaguh sebagai pengeluar terbesar pasaran global untuk sarung tangan perubatan serta pembedahan dan kita lihat bagaimana pentingnya peranan Malaysia dalam rantaian bekalan global produk itu pada hari ini.

"Apabila pandemik Covid-19 berlaku, permintaan luaran bertambah dan memberi peluang kepada syarikat-syarikat tempatan untuk meningkatkan pengeluaran dan produktiviti mereka," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Pusat Inovasi Peranti Perubatan (MDIC) SIRIM Bhd di Kulim Hi-Tech Park di sini pada Ahad.

Mengulas selanjutnya, Mohamed Azmin berkata, Malaysia pada masa ini berada dalam kedudukan strategik dan mempunyai tenaga kerja berkemahiran bagi menembusi pasaran-pasaran baharu sektor peranti perubatan terutama dalam situasi pandemik.

Malah, katanya, pada tahun lepas eksport negara bagi sektor peranti perubatan mencatat sejumlah RM30 bilion iaitu peningkatan sebanyak 24.9 peratus berbanding 2019.

Selain itu, beliau turut mengingatkan pemain industri tempatan khususnya perusahaan kecil dan sederhana untuk meningkatkan aspek inovasi produk masing-masing, termasuk mengeluarkan produk-produk yang menepati piawaian antarabangsa bagi membolehkan mereka bersaing di peringkat global.

Justeru, beliau menyifatkan SIRIM menerusi MDIC mempunyai peranan besar untuk meningkatkan keupayaan industri tempatan bagi meneroka inovasi baharu dalam produk peranti perubatan.

Artikel Berkaitan:

MDIC yang dilancarkan hari ini ditubuhkan bagi meningkatkan keupayaan R&D dalam kalangan industri peranti perubatan tempatan dan membolehkan mereka meneroka inovasi baharu produk mengikut keperluan semasa dan akan datang. - Bernama