Bajet 2022: Lima tindakan segera perlu dibuat

Tengku Zafrul ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Tengku Zafrul ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu mengambil lima tindakan segera susulan memperuntukkan sebanyak RM332.1 bilion bagi Bajet 2022.

Penganalisis politik, Profesor Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berkata, lima tindakan itu antaranya mengawal defisit dengan tidak berbelanja melebihi daripada pendapatan di samping meningkatkan kecekapan pengurusan kewangan dan mengawal ketirisan.

Selain itu, menurutnya, kerajaan juga perlu menggiatkan pembanterasan rasuah sekali gus memastikan kutipan cukai yang efektif.

“Walaupun peruntukan Bajet 2022 tersebut besar, namun terdapat aspek yang merisaukan. Bajet 2022 memperuntukkan sebanyak RM332.1 bilion, meningkat 3 peratus berbanding tahun lepas.

“Daripada jumlah itu, belanjawan pengurusan RM233.5 bilion, meningkat 6.3 peratus, manakala pembangunan RM75 bilion, meningkat 22.5 peratus dan unjuran defisit pula 6 peratus, meningkat berbanding tahun 2021 (5.4 peratus).

“Merisaukan ialah unjuran defisit yang meningkat. Ini bermakna negara kita akan terus berhutang dan meningkatkan siling hutang negara,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Jumaat.

Pada Jumaat, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memberitahu, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM332.1 bilion bagi Bajet 2022 sekali gus menjadi nilai peruntukan tertinggi dalam sejarah.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, kerajaan bercadang menyediakan RM233.5 bilion bagi belanja mengurus, manakala sebanyak RM75.6 bilion pula untuk belanja pembangunan dan RM23 bilion di bawah Kumpulan Wang Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Mohammad Agus berkata, dalam tempoh dua tahun siling hutang negara telah dinaikkan sebanyak dua kali.

“Sebelum ini silingnya ialah 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Pada tahun 2020, naik kepada 60 peratus dan tahun 2021 naik kepada 65 peratus.

“Lebih merisaukan, 29.5 peratus daripada peruntukan bajet tahun ini diperoleh daripada pinjaman, meningkat dua kali ganda berbanding tahun 2014 yang hanya 14.5 peratus. Peningkatan dua kali ganda dalam tempoh lima tahun ini menggerunkan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan perlu mengambil tindakan segera.

Bagi meningkatkan pendapatan negara, beliau berkata, ramai juga mencadangkan supaya kerajaan memperkenalkan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dimansuhkan pada tahun 2018.

Bagaimanapun, katanya, cadangan tersebut tidak terlaksana.

“Mujurnya kali ini tidak ada. Itu bagus untuk menjaga rakyat kerana rakyat belum mampu untuk menerima kenaikan harga barangan,” katanya.