MESF harap tidak diketepikan lagi

No Image Caption
A
A
A

PERSEKUTUAN e-Sukan Malaysia (MESF) berharap mereka tidak lagi diketepikan dalam membincangkan mengenai peruntukan yang diberikan pihak kerajaan dalam Bajet 2022.

Presiden MESF, Datuk Ananth S Nathan berkata, pihaknya kesal kerana diketepikan bagi membincangkan secara teliti berkenaan pengagihan peruntukan e-Sukan dalam pengumuman Bajet pada tahun-tahun sebelum ini.

Menurutnya, sebagai sebuah badan sukan kebangsaan yang berdaftar secara sah di bawah Akta 576 serta bersekutu dengan Persekutuan e-Sukan Antarabangsa (IESF), kerajaan perlu melihat MESF sebagai entiti dan pemegang taruh utama dalam mendapatkan maklumat terperinci berkenaan status quo e-Sukan di Malaysia.

“MESF khuatir kerajaan akan mendapat nasihat dan pandangan daripada pihak berkepentingan yang salah dan hanya memikirkan keuntungan semata-mata, tidak bertanggungjawab serta tidak serius terhadap keluarga besar e-Sukan di Malaysia.

“Atas sebab itulah, MESF ingin kerajaan mengkaji semula rasional mengembalikan peranan pembangunan e-Sukan kepada MESF dan menyokong MESF sebagai sebuah badan sukan tertinggi untuk mengawal selia segala urus tadbir berkenaan e-Sukan di Malaysia.

“Sebagai ahli IESF, kredibiliti MESF tidak perlu dipertikaikan lagi. MESF sememangnya dan sentiasa bersedia untuk berkongsi pengetahuan, kepakaran dan pengalaman dalam mengkoordinasikan blueprint e-Sukan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Pada Jumaat, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam pembentangan Bajet 2022 di Dewan Rakyat mengumumkan peruntukan RM20 juta bagi pertumbuhan e-Sukan termasuk RM5 juta bagi pusat kecemerlangan sukan dron.

"Ternyata kerajaan sekali lagi tidak mengecewakan. Kami menyambut inisiatif kerajaan yang menyediakan RM20 juta bagi pertumbuhan e-sukan, RM5 juta bagi pusat kecemerlangan sukan dron dan pengecualian cukai pendapatan ke atas hadiah kejohanan e-sukan dengan gembira.

Artikel Berkaitan:

"Suntikan kewangan ini tentu sekali dapat membantu untuk membangunkan e-Sukan di peringkat masyarakat dan menambah baik fasiliti serta platform yang amat diperlukan. Sudah tiba masanya Malaysia bergerak lebih laju untuk melahirkan lebih ramai atlet e-Sukan yang bertaraf dunia," ujar Ananth.