Penduduk PPR tidak disisih dunia digital: Reezal Merican

Reezal Merican (depan, tiga dari kiri) bergambar bersama penerima kunci Residensi Pauh Permai di Permatang Pauh, Pulau Pinang pada Sabtu.
Reezal Merican (depan, tiga dari kiri) bergambar bersama penerima kunci Residensi Pauh Permai di Permatang Pauh, Pulau Pinang pada Sabtu.
A
A
A

PERMATANG PAUH - Peruntukan RM30 juta dalam Bajet 2022 untuk program Jalinan Digital Negara (Jendela) Projek Perumahan Rakyat (PPR) adalah bagi memastikan golongan PPR tidak tersisih daripada dunia pendigitalan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, melalui projek itu ia akan memberi peluang sekali gus memperkasakan keluarga B-40 untuk terus berdaya saing dengan ketersambungan digital yang kukuh.

Menurutnya, ketersambungan digital kini dilihat sebagai keperluan asas dalam pembinaan kediaman bersamaan dengan kemudahan utiliti seperti elektrik dan air.

Bagaimanapun, jelasnya, kebanyakan PPR dalam negara tidak memiliki sambungan digital yang tersusun, yang mengakibatkan penghuninya ketinggalan dalam era pendigitalan yang menjalar ke hampir kebanyakan aspek ekonomi dan sosial.

"Kita akan sediakan infrastruktur buat penduduk PPR bagi mendapatkan akses internet sekali gus memastikan penduduk di kawasan perumahan berkenaan tidak ketinggalan.

“Ini merupakan sebahagian daripada agenda atau fokus saya dan KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) iaitu Aspirasi Malaysia Berdaya Huni atau Liveable Malaysia,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci kepada Pemilik Rumah Residensi Pauh Permai di bawah Program Prima di Permatang Pauh, Pulau Pinang pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Reezal Merican berkata, terdapat kekangan yang dihadapi pelajar mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang kini menjadi sebahagian daripada sistem persekolahan pada waktu pandemik.

Justeru, beliau berharap peruntukan 30 juta dapat membina dan menaik taraf jaringan telekomunikasi di semua PPR bagi menepati keperluan isi rumah terbabit.

Artikel Berkaitan:

Menteri Kewangan, Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz pada pembentangan Bajet 2022 pada Jumaat mengumumkan peruntukan 30 juta bagi kemudahan internet di 40 PPR sedia ada dan perluasan perkhidmatan 5G kepada 36 peratus di kawasan kepadatan tinggi.