Guru tolak vaksin: Jangan salahkan KPM jika kena tindakan disiplin

Mohamad (dua kanan) ketika mengadakan lawatan di kuaters guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Palong 7, Jempol pada Sabtu.
Mohamad (dua kanan) ketika mengadakan lawatan di kuaters guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Palong 7, Jempol pada Sabtu.
A
A
A

JEMPOL- Guru-guru di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak boleh menyalahkan kementerian itu sekiranya mereka dikenakan tindakan disiplin susulan enggan divaksin selepas 1 November ini.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin berkata, setakat ini terdapat kira-kira 2,000 guru di seluruh negara masih belum berbuat demikian.

"Saya merayu dan berharap kepada mereka untuk segera tampil bagi menerima suntikan vaksin.

"Kita ada masa dua hari lagi sampai 1 November ini selaras dengan peraturan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum mereka kembali mengajar ke sekolah," katanya dalam sidang akhbar selepas selesai lawatan kerja di daerah ini pada Sabtu.

Hadir sama, Ahli Parlimen Jempol, Datuk Mohd Salim Mohd dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Palong, Mustapa Nagoor.

Katanya, pihaknya tidak mahu ibu bapa hilang kepercayaan dan keyakinan untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah.

"Guru-guru mempunyai tanggungjawab yang besar terhadap ibu bapa dan masyarakat. Justeru, mereka perlu memastikan ibu bapa yakin tentang keselamatan anak-anak mereka di sekolah," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Mohamad berkata, beliau mahu semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di negara ini memainkan peranan selain lebih peka dan proaktif terhadap permasalahan berkaitan sekolah termasuk kuarters guru.

Artikel Berkaitan:

"Ini berikutan terdapat kuarters guru yang begitu daif dan tidak sesuai untuk didiami oleh guru-guru

"Terutama sekali dalam aspek kebersihan dan keselamatan. Kita tidak mahu perkara itu terus berlarutan. Pihak PPD perlu segera mengangkat permasalahan yang ada untuk dipertimbangkan kelulusan di peringkat kementerian," katanya.