PEDi perkasa ekonomi digital luar bandar

Annuar (kiri) bertanyakan khabar Hassan yang uzur semasa lawatan beliau bersama Finas di Kampung Padang Lembek, Ketereh pada Sabtu.
Annuar (kiri) bertanyakan khabar Hassan yang uzur semasa lawatan beliau bersama Finas di Kampung Padang Lembek, Ketereh pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan akan menaik taraf pusat internet desa di seluruh negara menjadi Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) dalam usaha memperkasakan kegiatan ekonomi digital khususnya di luar bandar berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, kerja-kerja menaik taraf itu turut melibatkan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dalam menjayakan usaha tersebut.

"MDEC akan berkongsi kepakaran menerusi modul yang mereka bangunkan bagi memperkasakan ekonomi digital di kawasan luar bandar.

"Untuk makluman, di bawah kementerian, kita mempunyai 600 pusat internet desa di seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke rumah penggiat seni Hassan Arshad, 84, yang uzur di Kampung Padang Lembek, Ketereh, di sini pada Sabtu.

Dalam lawatan itu, Annuar yang merupakan Ahli Parlimen Ketereh turut menyampaikan sumbangan bakul makanan Finas kepada Hassan.

Menurutnya, PEDi akan memberikan penekanan ke arah membangunkan pendapatan yang mampu melakukan perubahan dalam kegiatan ekonomi rakyat.

Beliau berkata, kerajaan tidak lagi mahu rakyat luar bandar menggunakan kemudahan internet untuk berkomunikasi semata-mata, sebaliknya mahu memanfaat kemudahan itu dengan menjana ekonomi.

Annuar berkata, proses itu selari dengan peruntukan Bajet 2022 yang telah dibentang di Parlimen pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga akan bangunkan PEDi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang masih belum mempunyai kemudahan itu.

"Bagi memastikan capaian internet terus baik, kerajaan sedang berkerjasama dengan semua telco untuk menaik taraf perkhidmatan menjadi lebih pantas," katanya.

Dalam perkembangan lain, Annuar berkata, menerusi Bajet 2022 sebanyak RM200 juta telah diperuntukan kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Katanya, peruntukan itu mampu menyemarakkan semula perkembangan industri kreatif termasuklah dunia perfileman di negara ini.

"Ia merangkumi dana pendigital, pengeluaran filem animasi buatan tempatan dan kandungan digital.

"Bukan itu sahaja ia merangkumi kegiatan-kegiatan dalam menyemarakan lagi perkembangan industri ini di bawah Pelan Pendigitalan Nasional yang akan menyentuh semua aspek termasuklah bidang komersial yang sedang dijalankan kerajaan," katanya.