Kerajaan berjaya terbitkan bon Samurai RM7.3b

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan Malaysia berjaya menerbitkan bon Samurai dengan jaminan Japan Bank for International Cooperation (JBIC) bernilai ¥200 bilion (RM7.3 billion) bertempoh matang 10 tahun pada kos keseluruhan 0.63 peratus setahun.

Menurut kenyataan Kementerian Kewangan hari ini, penerbitan bon tersebut merupakan yang pertama sejak penerbitan bon Samurai terakhir pada 1989.

“Berdasarkan saiz penerbitan ¥200 bilion, ini adalah terbitan bon kerajaan jaminan JBIC yang terbesar dalam pasaran Jepun,” menurut Menteri Kewangan.

Kementerian itu berkata, sebagai sebuah aturan kerajaan ke kerajaan, penerbitan bon ini dijamin JBIC melalui program ‘Guarantee and Acquisition Toward Tokyo Market Enhancement’ (GATE) (Jaminan dan Pembelian ke arah Pengukuhan Pasaran Jepun).

Ia adalah jaminan JBIC yang pertama diambil Malaysia dan merupakan sebahagian usaha Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe bagi mengeratkan lagi hubungan ekonomi dan budaya antara kedua-dua negara.

“Hasil kutipan daripada terbitan ini akan digunakan untuk tujuan umum, membiayai perbelanjaan pembangunan, antara lain, meliputi pembinaan sekolah, hospital, jalan raya dan infrastruktur utiliti,” menurut Kementerian Kewangan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, mengetuai siri jelajah dua hari di Tokyo, Jepun pada 7 dan 8 Februari 2019 semasa peringkat permulaan proses penerbitannya.

Ia disusuli sesi pemasaran rasmi mulai 4 hingga 7 Mac, 2019.

Artikel Berkaitan:

Sewaktu proses pemasaran dilaksanakan, para pelabur menunjukkan minat mendalam terhadap penerbitan ini dan sekali gus mencerminkan tahap keyakinan mereka dengan ekonomi, tadbir urus dan pembaharuan struktur Malaysia, menurut Menteri Kewangan.

Terbitan ini menerima sambutan amat memberangsangkan daripada pelbagai institusi dan pelabur Jepun berkualiti.

Pelabur berkenaan merupakan bank khusus (37.9 peratus), bank bandar (35 peratus), syarikat insurans hayat (13.9 peratus), bank wilayah (6.5 peratus), bank ‘shinkin’ (3.8 peratus) dan lain-lain (2.9 peratus).

“Peluang yang ditawarkan kerajaan Jepun kepada Malaysia untuk memasuki pasaran bon Samurai telah meningkatkan lagi kedudukan Malaysia sebagai antara destinasi pelaburan terkemuka di rantau ini, di samping mempelbagaikan asas pembiayaan kerajaan Malaysia,” menurut kementerian itu. - Bernama