Pelan Transformasi Digital Pendidikan Kemas mula tahun depan

Mahdzir (tengah) menyerahkan hadiah kepada Johan Kemas Kid Top Host,Rizq Al Fateh Sarizal dari Melaka pada Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Hari Potensi Kemas Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 Kali Ke-16 di Hotel Raia, di sini, pada Sabtu.
Mahdzir (tengah) menyerahkan hadiah kepada Johan Kemas Kid Top Host,Rizq Al Fateh Sarizal dari Melaka pada Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Hari Potensi Kemas Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 Kali Ke-16 di Hotel Raia, di sini, pada Sabtu.
A
A
A

ALOR SETAR - Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) akan melaksanakan Pelan Transformasi Digital Pendidikan Awal Kanak-kanak Tabika Kemas bermula tahun depan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Kemas telah menyiapkan pelan itu yang akan memberi manfaat kepada hampir 200,000 kanak-kanak tabika Kemas.

Menurutnya, antara strategi pelan berkenaan ialah memperluaskan pembekalan peralatan digital seperti pembekalan peralatan Smart TV, komputer, akses Internet bagi mewujudkan persekitaran digital di tabika Kemas.

"Pelan ini akan memperkasakan pembangunan kandungan bahan Pengajaran dan Pembelajaran Digital melalui kerjasama strategik bersama pelbagai pihak antaranya Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta pakar akademik dari luar negara seperti United Kingdom dan Jepun," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Hari Potensi Kemas Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 Kali Ke-16 di Hotel Raia, di sini, pada Sabtu.

Mahdzir menjelaskan pelan itu juga akan meningkatkan kompetensi digital kepada personel Pendidikan Awal kanak-kanak di Kemas melalui pelaksanaan latihan berterusan berkaitan penggunaan teknologi dalam pendidikan.

"Selain itu, ia dapat memperkasakan Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK-21) melalui peluasan Pendidikan STREAM ke tabika dan taska Kemas seluruh negara termasuk tatasusila dalam penggunaan teknologi dan media sosial," katanya.

Beliau turut berharap kanak-kanak terbabit dapat menikmati pengalaman yang menyeronokkan melalui proses pembelajaran berteraskan Literasi Digital.

Artikel Berkaitan:

"Sehubungan itu, Kemas memperuntukkan hampir RM1 juta bagi tujuan latihan dan pembekalan peralatan digital kepada hampir 10,416 pendidik tabika dan 10,833 buah kelas tabika kemas seluruh negara." katanya.

Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Padang Terap itu memberitahu, ibu bapa tidak perlu risau kerana yuran pembelajaran atau sumbangan daripada ibu bapa di tabika Kemas juga dikekalkan dan tidak melebihi RM30 sebulan.

"Selebihnya ditanggung oleh kerajaan melalui subsidi kerajaan sebanyak RM20 juta setahun kepada setiap kanak-kanak Tabika Kemas," katanya.

Ketika diminta mengulas isu capaian internet di Tabika Kemas yang dibangkitkan dalam menuju Transformasi Digital katanya, tadika Kemas ada tiga kategori iaitu bandar, pinggir bandar dan luar bandar.

"Bagi kategori tiga (luar bandar) meliputi kawasan kampung dan pedalaman iaitu capaian internet berada pada tahap sedikit menyebabkan aktiviti menggunakan Google tidak dapat dilakukan.

Sementara itu, Hari Potensi Kemas Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 telah diadakan secara atas talian pada 11 hingga 15 Oktober 2021 melalui platform Facebook KEMASOFFICIAL dan Youtube KEMASTV.

Johor muncul sebagai Juara Keseluruhan Potensi Kemas Peringkat Kebangsaan 2021 dalam program menampilkan enam acara bakat antaranya Bilal Cilik, Kemas Kid Top Host dan Bercerita Sirah Rasul.