X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 25 Jun 2022

Undi18 dilaksana mulai Januari 2022: PM

A
A

KUALA LUMPUR- [DIKEMASKINI] Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Undi18 akan dilaksanakan bermula 1 Januari tahun hadapan sepertimana diputuskan Mahkamah Tinggi Kuching, Sarawak sebelum ini.

Beliau berkata, Kabinet telah membuat keputusan untuk tidak merayu keputusan berkenaan walaupun sebelum ini pihak Suruhanjaya Pilihan Raya dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa persediaan ke arah pelaksanaannya hanya boleh dibuat menjelang September tahun hadapan.

"Bila mahkamah buat keputusan, kerajaan boleh merayu keputusan ini, tetapi bagi menghargai dan menghormati anak-anak muda, Kabinet telah putuskan kita tidak akan merayu keputusan dibuat Mahkamah Sarawak.

"Tidak merayu bermakna keputusan kekal, bermakna tarikh akhir 31 Disember (Untuk laksanakan Undi18), dan 1 Jan bermulalah pendaftaran automatik untuk pengundi 18 tahun," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Belia Negara peringkat Kebangsaan, di sini, pada Sabtu.

Hadir sama Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Sebagai rekod, pada 6 September lepas, Mahkamah Tinggi Kuching, Sarawak memerintahkan SPR dan kerajaan melaksanakan Undi18 menjelang 31 Disember ini.

Pesuruhjaya Kehakiman Alexander Siew How Wai dilapor membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman lima anak muda yang menggesa kerajaan melaksanakan segera pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan penurunan umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

Beliau turut membenarkan permohonan kelima-lima anak muda untuk mendapatkan perintah certiorari bagi membatalkan keputusan responden (Perdana Menteri ketika itu, kerajaan dan SPR) yang menangguhkan pelaksanaan Seksyen 3 berkenaan selepas September 2022.

Mengulas lanjut, perdana menteri berkata pendaftaran pemilih secara automatik bakal tingkatkan bilangan pengundi muda berumur 30 tahun ke bawah yang sehingga 31 Dis ini dianggarkan seramai 3.9 juta, dengan 1.3 juta daripadanya berumur 18 hingga 20 tahun.

Katanya pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan Perkara 119 berkenaan dan juga Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 yang menurunkan julat usia belia daripada 15 hingga 40 tahun kepada 15 hingga 30 tahun bakal menjadi penanda aras baharu dalam kepimpinan negara dan transisi kepimpinan warga belia.

“Sebenarnya bukan itu sahaja, bagi tunjuk keyakinan kerajaan kepada kemampuan anak muda dalam menentukan kepimpinan negara pada masa akan datang, maka bukan sahaja Undi18 kita pinda, tetapi dalam pindaan ini umur calon pilihan raya juga akan bermula dari 18 tahun dan ke atas.

“Untuk itu para pemimpin belia perlu sediakan pemimpin pelapis berkaliber supaya dapat diketengahkan dalam pilihan raya umum akan datang nanti,” katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!