KKMM pastikan rakyat tidak ketinggalan gelombang pendigitalan

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

PUTRAJAYA -- Pendigitalan nasional, pemulihan industri kreatif dan kemampanan komunikasi kerajaan adalah fokus Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dalam Bajet 2022 bagi memastikan tiada rakyat ketinggalan dalam gelombang pendigitalan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, kerajaan bertanggungjawab menyediakan infrastruktur, menggalakkan inovasi dan mewujudkan ekosistem untuk rakyat menyumbang ke arah taraf hidup yang lebih tinggi dengan hasilnya dinikmati oleh setiap Keluarga Malaysia.

Beliau berkata, peruntukan RM2.625 bilion kepada KKMM dalam Bajet 2022 diyakini dapat membantu Keluarga Malaysia keluar daripada kesukaran yang dihadapi sepanjang pandemik Covid-19 yang melanda negara.

“Sudah tiba masanya untuk kerajaan meletakkan asas bagi transformasi negara ke arah ekonomi digital yang maju,” katanya dalam kenyataan mengenai Bajet 2022 hari ini.

Menteri Kewangan Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat pada Jumaat berkata, inisiatif Jalinan Digital Negara (Jendela) dipergiat tahun depan dengan penyediaan RM700 juta untuk meneruskan usaha ketersambungan digital di 47 kawasan perindustrian dan 630 sekolah terutama di luar bandar.

Bagi 2022, Annuar berkata, perkhidmatan 5G akan diperluas kepada 36 peratus daripada kawasan kepadatan tinggi termasuk di bandar-bandar utama di Johor, Selangor, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

“Penyediaan perkhidmatan 5G bakal melakar landskap teknologi baharu dan menawarkan pengalaman pengguna yang lebih baik dan pantas sekali gus ia juga merapatkan jurang digital serta mencipta peluang pekerjaan baharu,” katanya.

Dalam Bajet 2022 juga, Annuar berkata kerajaan akan menambah baik inisiatif Skim Geran Pendigitalan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kepada RM200 juta dengan RM50 juta dikhususkan untuk usahawan mikro bumiputera di luar bandar.

Artikel Berkaitan:

Bagi menggiatkan transformasi pendigitalan perniagaan dalam kalangan usahawan luar bandar pula, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia akan mentransformasikan 600 Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) sebagai pusat sehenti untuk membimbing usahawan mikro menggunakan teknologi digital.

Selain itu, katanya kerajaan juga akan memperkenalkan program Malaysia Digital Nomad untuk mewujudkan komuniti dan ekosistem nomad digital di Malaysia dengan menggunakan sektor pelancongan sebagai pemangkin.

“Nomad digital ialah golongan yang menjana pendapatan secara dalam talian tanpa lokasi fizikal yang tetap. Golongan ini berpotensi menyumbang kepada ekonomi negara terutamanya sebagai pelancong,” katanya.

Selain itu, Annuar berharap peruntukan RM450 juta oleh kerajaan di samping komitmen syarikat penyedia perkhidmatan mudah alih yang menyumbang kira-kira RM65 juta bagi pelaksanaan Pakej PerantiSiswa Keluarga Malaysia dapat memastikan kebolehcapaian digital yang lebih baik untuk Keluarga Malaysia.

“Di samping itu, rakyat juga dapat memanfaatkan pelanjutan pelepasan khas cukai pendapatan individu sehingga RM2,500 ke atas pembelian telefon bimbit, komputer dan tablet sehingga 31 Dis 2022,” katanya.

Beliau berkata keprihatinan kerajaan terhadap Orang Kurang Upaya (OKU) juga dititikberatkan dengan semua rangkaian televisyen termasuk swasta akan menyediakan khidmat jurubahasa isyarat dalam penyampaian berita.

“Inisiatif dengan bantuan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) ini akan meningkatkan akses terhadap media bagi golongan OKU yang membolehkan mereka lebih cakna dengan berita semasa dan informasi terkini,” katanya.

Sementara itu, Annuar berharap pemain industri dan semua pihak berkepentingan sektor industri kreatif akan lebih aktif dan agresif menjana semula pendapatan dalam norma baharu dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM288 juta yang dikhususkan untuk industri kreatif.

Pada tahun depan katanya, kerajaan akan menjayakan program RIUH Keluarga Malaysia melalui Dana Padanan Pinjaman Pelaburan berjumlah RM20 juta yang dijangka memberi 5,000 peluang pekerjaan baharu.

Pengumuman mengenai pengecualian duti hiburan ke atas aktiviti hiburan termasuk panggung wayang di semua Wilayah Persekutuan dan pengecualian cukai pelancongan yang dilanjutkan sehingga 31 Disember 2022 juga akan memberi kelegaan kepada pihak terlibat, katanya.

“Usaha ini pastinya akan membantu memulihkan semula aktiviti hiburan yang telah terjejas teruk. Bajet 2022 akan memastikan Keluarga Malaysia terus terpelihara dan tiada yang ketinggalan dalam menikmati kemakmuran negara,” katanya. - Bernama