Dana RM90 juta: Kami disoal dua jam oleh SPRM, kata Nasrudin

Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan
A
A
A

KUANTAN - Dua pemimpin Pas dari Pahang selesai memberi keterangan selama dua jam di Kompleks Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang, Indera Mahkota, di sini, hari ini.

Mereka ialah Ketua Dewan Ulama Pas Pahang, Mokhtar Senik dan Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan.

Nasrudin berkata, soal jawab bersama pihak SPRM berjalan lancar dan beliau telah memberi kerjasama sepenuhnya terhadap siasatan berhubung dakwaan RM90 juta yang dikata dimasukkan ke akaun pemimpin Pas.

“Sebentar tadi saya masuk memberi kerjasama bagi menyelesaikan siasatan SPRM berhubung dakwaan dana RM90 juta

“Alhamdulillah saya diajukan beberapa soalan seperti adakah saya memiliki kenderaan mewah dan saya berikan satu pengisytiharan mengenai kenderaan saya hanya sebuah saja, yang lain-lain tu adalah tuduhan palsu, saya pun tak tahu daripada mana mereka ambil (tahu)," katanya.

Beliau ditemui media di hadapan kompleks SPRM Pahang di Indera Mahkota di sini, kira-kira jam 1 tengah hari tadi.

Jelasnya, SPRM membuat rakaman percakapannya dan banyak berkisar kepada latar belakang kehidupan, pekerjaan dan pendapatan.

"Alhamdulillah... terima kasih kepada SPRM yang turut memberikan kerjasama baik,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dalam proses soal siasat tersebut, tiada sebarang dokumen diserahkan (kepada SPRM).

“SPRM tanya kesahihan dan saya membuktikan dari sudut pemilikan kenderaan yang saya ada, inilah kenderaan yang saya ada.

“Kalau mereka ingin buat tuduhan itu, selayaknya mereka kemukakan bukti, dakwaan secara rasmi membawa ke mahkamah atau sebagainya," katanya.

Jelasnya, jika sekadar dakwaan di media, ia hanya mencetus persepsi politik.

"Itu tindakan tak bertanggungjawab.

"Semua orang boleh lemparkan tuduhan tanpa bukti, kemudian membebankan orang yang dituduh supaya menyaman mereka kalau tidak bersalah, itu tidak betul," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: SPRM: Tiada duit RM90 juta masuk akaun Pas

Beliau berkata, seharusnya, pendakwa yang dibebankan tanggungjawab untuk mengemukakan bukti.

"Bukan orang yang kena tuduh tu kalut kena jawab bahawa dia tidak bersalah.

"Apa yang berlaku sekarang begitulah, apa yang mereka lemparkan, kemukakan bukti,” katanya.

Setakat ini SPRM sudah merekodkan keterangan 13 individu bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.

Kelmarin, Ketua Dewan Ulama Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi yang juga ADUN Batu Buruk sudah memberikan keterangan kepada SPRM, selain Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Datuk Dr Rameli Musa.

Minggu lalu, SPRM memanggil Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin dan Setiausaha Jabatan Pilihan Raya Pas Pusat, Mohamed Nasir Daud.

Keterangan berkaitan isu berkenaan mula direkodkan SPRM selepas Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang mengumumkan penyelesaian luar mahkamah kes saman antara Hadi dan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.

Posted by Sinar Harian Edisi Pahang on Friday, March 8, 2019