Isu kerakyatan: Kabinet putus Peguam Negara sembah maklum kepada Agong

Saifuddin
Saifuddin
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Kabinet telah memutuskan supaya Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun menyembah maklum isu berkaitan kerakyatan anak dilahirkan ibu warganegara dengan pasangan warga asing kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, keputuan itu dibuat kerana isu kerakyatan mengikut Perlembagaan Persekutuan harus mendapat perkenan daripada Majlis Raja-Raja.

"Kabinet sangat berempati dengan keadaan yang berlaku dan kami telah membincangkan isu ini dengan panjang lebar. Tapi kami juga sedar isu ini adalah di bawah bidang kuasa Majlis Raja-Raja dan kita kena mengikut saluran yang betul.

"Sebab itu, keputusannya adalah supaya Peguam Negara menghadap Yang di-Pertuan Agong dan kita serahkan kepada kebijaksanaan beliau (Idrus)," katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Deepavali 2021 di pejabat Persatuan Malaysia Hindu Sangam Kuantan di sini pada Sabtu.

Pada 9 September lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bayi dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing secara automatik berhak mendapat kerakyatan negara ini.

Bagaimanapun pada 13 September lepas, kerajaan memutuskan untuk mengemukakan rayuan bagi membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Saifuddin sebelum ini turut menerima petisyen dan surat terbuka kepada Kabinet daripada Family Frontiers iaitu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membela ibu-ibu yang terkesan dengan undang-undang kewarganegaraan berkenaan menerusi kempen #TarikBalikRayuan.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata kementeriannya sedang menyelidik punca separuh daripada 48 pusat pendidikan alternatif kepada kanak-kanak Rohingya di negara ini masih tidak berdaftar.

Artikel Berkaitan:

"Pusat pendidikan ini dikendalikan oleh NGO dan tidak menggunakan duit rakyat. Bagaimanapun kita perlu mereka mendaftar supaya boleh diawasi oleh Kementerian Pendidikan.

"Jika tidak didaftar, kita tidak tahu apa yang mereka lakukan seperti kokurikulum dan sukatan pelajaran yang diajar selain membolehkan bantuan daripada pihak berminat menyumbang disalurkan ke pusat pendidikan tersebut," katanya.

Saifuddin berkata, antara negara yang banyak memberi bantuan pendidikan kepada kanak-kanak Rohingya ialah Qatar dan aspek pendidikan adalah antara elemen penting perlu mereka miliki apabila kembali ke negara asal, apabila keadaan membenarkan. -Bernama