MPSepang bakal bentang projek bandar hijau di Dubai

Abd Hamid ketika ditemui di tapak Selangor Agro Market, Taman Tasik Cyberjaya, Sepang pada Sabtu.
Abd Hamid ketika ditemui di tapak Selangor Agro Market, Taman Tasik Cyberjaya, Sepang pada Sabtu.
A
A
A

SEPANG - Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) terpilih untuk membentangkan Projek Bandar Hijau (Urban Nature Project) di Ekspo Dubai 2020 pada minggu hadapan.

Yang Dipertua MPSepang, Datuk Abd Hamid Hussain berkata, pihaknya dipilih oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) untuk menyertai ekspo tersebut selama enam hari bermula 1 hingga 6 November ini bagi membentangkan beberapa inisiatif yang dirancang oleh MPSepang, termasuk inisiatif rendah karbon.

Menurutnya, pembentangan tersebut turut memberikan pendedahan tentang pembangunan di Sepang bagi menarik para pelabur untuk melabur di kawasan tersebut khususnya di Cyberjaya yang masih mempunyai ruang untuk dibangunkan.

"Kita akan lihat di sana (Dubai) jika ada mana-mana pihak yang berminat untuk membuat pelaburan, dan kita alu-alukan mereka," katanya ketika ditemui di tapak Selangor Agro Market di Taman Tasik Cyberjaya, di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Abd Hamid menjelaskan, antara rancangan tempatannya ialah bagi kawasan Sepang yang memerlukan pembangunan industri berteknologi tinggi dan tenaga kerja yang ramai tanpa mencemarkan alam sekitar.

"Jadi, kita fokus kepada teknologi tinggi yang boleh menjana pendapatan kepada MPSepang dan negara serta memberi pekerjaan kepada warga Malaysia berbanding industri berat mengupah warga asing," katanya.

Artikel Berkaitan: