Bajet 2022: Tengku Zafrul mohon maaf jika ada kekurangan

Foto Instagram Tengku Zafrul
Foto Instagram Tengku Zafrul
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sejak semalam, tumpuan rakyat Malaysia terarah kepada pembentangan Bajet 2022 dan intipati yang diumumkan oleh kerajaan dalam perbelanjaan terbesar sejarah negara itu.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz antara individu penting yang berperanan membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat.

Dari mula beliau keluar meninggalkan bangunan Kementerian Kewangan (MoF) di Putrajaya dengan segak memakai baju Melayu berwarna peach sehinggalah 11 kali bekas Ketua Pegawai Eksekutif CIMB itu minum air ketika di Dewan Rakyat, semuanya diperhatikan oleh warganet.

Tanggungjawab besar yang digalas oleh Tengku Zafrul yang mengemudi MoF bersama barisan kakitangannya mencerminkan bagaimana dedikasinya mereka untuk menyiapkan Bajet 2022 yang bertemakan 'Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera'.

Terbaharu, dalam kemas kini yang dimuat naik di akaun media sosialnya hari ini, Tengku Zafrul, 48, berkata penyediaan Bajet 2022 bukan sesuatu yang mudah dan adalah mustahil untuk MoF memenuhi semua permintaan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pasukan MoF telah berusaha sehabis baik untuk menyediakan Bajet 2022, dengan kekangan kewangan yang ada.

"Saya menyusun jari sepuluh jika ada sebarang kekurangan tetapi yakinlah bahawa kesejahteraan #KeluargaMalaysia sentiasa menjadi keutamaan kami," tulisnya dalam entri tersebut, pada Sabtu.

Dalam hantaran tersebut, beliau turut berkongsi dua keping gambar berlatar belakangkan bangunan Parlimen, yang menjadi lokasi pembentangan Bajet 2022 pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

"Pagi ini saya kembali lagi ke Parlimen, tetapi dalam suasana yang lebih santai," tambahnya yang dilihat baru selesai berjoging.

Sementara malam tadi, Tengku Zafrul dilihat meluangkan masa untuk makan malam bersama isteri, Raja Datin Seri Johanna Adrina Raja Arshad selepas mengakui agak sibuk sejak kebelakangan ini.

"Sudah lama rasanya tak keluar berdua. Anak-anak pun selalu tanya bila nak luang masa.

"Esok (hari ini) Insya-ALLAH luang masa bersama mereka pula. Kepada anda yang kerja kuat, saya nasihatkan untuk sentiasa luang masa bersama keluarga," tulisnya pada Jumaat.

Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM332.1 bilion bagi Bajet 2022 sekaligus menjadi nilai peruntukan tertinggi dalam sejarah.

Daripada jumlah tersebut, kerajaan bercadang menyediakan RM233.5 bilion bagi belanja mengurus, manakala sebanyak RM75.6 bilion pula untuk belanja pembangunan dan RM23 bilion di bawah Kumpulan Wang Covid-19. - Awani