Banjir: 731 pembekal dilantik simpan tambahan stok keperluan asas

Rosol (tengah) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang dari 200 ketua isi rumah dengan suntikan kewangan sebanyak RM50 selama tiga bulan yang hanya boleh ditebus menggunakan aplikasi e-wallet.
Rosol (tengah) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang dari 200 ketua isi rumah dengan suntikan kewangan sebanyak RM50 selama tiga bulan yang hanya boleh ditebus menggunakan aplikasi e-wallet.
A
A
A
HULU TERENGGANU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melantik 731 peruncit, pemborong dan pengilang terpilih daerah di seluruh negara untuk menyimpan stok tambahan barang keperluan asas sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh pada tahun ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, jumlah itu melibatkan 428 peruncit terpilih daerah (DDR), 299 pemborong terpilih daerah (DDW) dan empat pengilang terpilih daerah (DDM) yang diberi kebenaran

untuk menyimpan tambahan 30 peratus kuota bekalan makanan dan keperluan asas.

"Ini sebagai persediaan untuk memastikan bekalan makanan dan keperluan asas di 1,030 buah pusat pemindahan sementara (PPS) yang dijangka terlibat banjir serta penduduk di kawasan berisiko bencana itu di seluruh negara mencukupi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pelancaran Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) di Pasar Besar Kuala Berang, di sini pada Sabtu.

Hadir sama Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh dan Pengarah KPDNHEP negeri, Saharuddin Mohd Kia.

Menurut Rosol, persiapan awal tersebut sebagai jaminan kepada rakyat khususnya di kawasan berisiko banjir supaya tidak bimbang dengan bekalan barangan keperluan asas seperti gula, tepung, roti dan minyak masak kerana ia sentiasa ada.

Beliau berkata, selain KPDNHEP, pelbagai agensi lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pejabat daerah turut melakukan persiapan sewajarnya supaya rakyat tidak risau berdepan bencana banjir khususnya kawasan pantai timur.

"Kita benarkan peruncit dan pembekal terpilih menyimpan 30 peratus tambahan stok barang kawalan berbanding bekalan biasa dengan jaminan jika berlaku banjir barang keperluan adalah mencukupi," katanya.
Artikel Berkaitan: