Malaysia menuju pemulihan menerusi sokongan pembiayaan meluas

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz membawa laporan Bajet 2022 keluar dari Kompleks Kementerian Kewangan menuju ke Bangunan Parlimen bagi membentangkan bajet tersebut pada Jumaat. - Foto Bernama
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz membawa laporan Bajet 2022 keluar dari Kompleks Kementerian Kewangan menuju ke Bangunan Parlimen bagi membentangkan bajet tersebut pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bajet 2022 jelas merupakan satu rangka tindakan kewangan pragmatik berasaskan kepada pembiayaan yang meluas termasuk pinjaman konsesi untuk pihak berkepentingan bagi memastikan pertumbuhan dan pemulihan ekonomi yang menyeluruh.

Pihak berkepentingan ini melibatkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta firma besar, yang dengan pembiayaan mencukupi boleh merangsang aktiviti perniagaan dan menjana pekerjaan, sekali gus meletakkan Malaysia teguh di landasan pemulihan ekonomi.

Memandangkan pemulihan tidak akan berlaku tahun ini seperti yang dijangkakan, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pastinya berpendapat adalah lebih berhemat untuk kembali kepada asas dalam memastikan pembiayaan mencukupi bagi menjamin perniagaan yang berdaya tahan.

Justeru, dilihat pada bajet dengan peruntukan terbesar RM332.1 bilion, termasuk RM233.5 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM75.6 bilion untuk perbelanjaan pembangunan, kerajaan harus dipuji kerana sentiasa berusaha keras untuk mendorong pertumbuhan.

Antara yang paling ketara diketengahkan dalam Bajet 2022 ialah peruntukan RM40 bilion untuk pakej pembiayaan ‘Semarak Niaga Keluarga Malaysia’, satu inisiatif substantif yang tidak dapat disangkal akan memberi kesan limpahan yang meluas ke atas perniagaan termasuk usaha niaga Bumiputera.

Daripada RM40 bilion untuk PMKS, kira-kira RM1.8 bilion diketepikan untuk perniagaan informal dan mikro serta firma tersenarai awam dengan dana itu akan dimanfaatkan melalui pelbagai kaedah termasuk suntikan ekuiti serta peruntukan menerusi TEKUN, Agrobank, Bank Simpanan Nasional dan lain-lain.

Perlu diingatkan bahawa inisiatif pembiayaan ini juga termasuk pembiayaan mudah dan tanpa faedah untuk menyokong usahawan mikro seperti yang disaran oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di bawah konsep Keluarga Malaysia.

Dorongan utama yang memerlukan jumlah pembiayaan yang besar itu ialah kerana walaupun lapan pakej bantuan bernilai RM530 juta telah diperkenalkan oleh kerajaan sejak pandemik melanda, pemulihan masih tidak seperti yang dijangkakan.

Artikel Berkaitan:

Syor atau cadangan itu juga tepat pada masanya kerana pihak berkepentingan dalam ekonomi ini jelas masih memerlukan bantuan kewangan untuk beroperasi setelah terjejas teruk disebabkan pandemik Covid-19.

Agak mengejutkan, sejak pandemik melanda, sebanyak 37,000 PKS ditutup dengan kesannya amat serius kerana membabitkan pekerjaan, ekonomi dan mata pencarian rakyat.

Dan, itu sebabnya mengapa inisiatif pembiayaan yang besar ini mesti dipuji kerana ia mampu menyokong pemulihan tahun depan, termasuk menyediakan 600,000 peluang pekerjaan.

Peningkatan populariti pendanaan awam ekuiti terus diberi rangsangan dengan peruntukan RM80 juta dalam bentuk geran padanan untuk Malaysia Co-investment Fund, di samping pelaburan oleh Bank Pembangunan Malaysia Bhd sebanyak RM100 juta.

Inisiatif itu bertujuan meningkatkan penggunaan pengkomputeran awan dan menggalakkan penggunaan storan awan dalam perkhidmatan awam kepada 80 peratus tahun depan.

Untuk menjayakannya, Malaysia perlu memperhebatkan usaha pendigitalan kerana teknologi boleh mempercepatkan pemulihan ekonomi.

Satu lagi cadangan yang dialu-alukan dalam belanjawan kali ini ialah peruntukan untuk transformasi Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0), pembangunan industri dron, e-sukan dan syarikat pemula niaga kerana ia mampu mendorong ke arah agenda digital.

Membenarkan pengurangan cukai sehingga RM7,000 untuk kursus peningkatan kemahiran akan merancakkan usaha ini selain melengkapkan inisiatif JaminKerja dalam menyediakan 600,000 peluang pekerjaan.

Syarikat tersenarai juga akan diberi bantuan kewangan melalui jentera tujuan khas (SPV) milik kerajaan dalam bentuk instrumen ekuiti, sekali gus membuktikan kedua-dua firma besar dan kecil masih memerlukan suntikan kewangan.

Strategi untuk menyediakan pembiayaan komprehensif inilah yang memberi keyakinan kepada kerajaan untuk mengunjurkan pengembangan ekonomi antara 5.5 peratus hingga 6.5 peratus bagi tahun depan.

Dana khas sebanyak RM2 bilion untuk menggalakkan pelaburan strategik asing itu adalah penting dan ini termasuk pelaburan berimpak tinggi dan menerokai pasaran eksport baharu bagi memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan asing yang menarik.

Ini turut melibatkan penembusan pasaran untuk produk dan perkhidmatan halal dari Malaysia dengan sejumlah RM25 juta telah disediakan untuk Perbadanan Pembangunan Halal.

Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga tidak diketepikan memandangkan sumbangan mereka kepada ekonomi, dengan RM30 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan modal dan pelaburan untuk membina daya tahan dan pelaburan dalam bidang termasuk tenaga boleh diperbaharui, pemodenan rantaian bekalan dan 5G.

Memulihkan semula dan memangkinkan pembaharuan beberapa sektor yang disasarkan seperti industri pelancongan, kreatif, runcit, pertanian dan komoditi adalah penting supaya sektor-sektor ini dapat meneruskan operasi pada kapasiti maksimum.

Bagi cukai makmur (prosperity tax), ia adalah lebih adil kerana ia merupakan cukai one-off berbanding windfall tax dan tidak akan menjejaskan iklim pelaburan Malaysia.

Kerajaan turut mengumumkan pengecualian sepenuhnya ke atas duti import, duti eksais dan cukai jualan bagi kenderaan elektrik (EV) selain pengecualian 100 peratus cukai jalan untuk EV dan ini pastinya langkah yang betul dalam menyokong pembangunan industri EV tempatan dan mencapai kecekapan tenaga.

EV yang cekap tenaga akan membantu mengurangkan pencemaran udara yang menunjukkan komitmen Malaysia terhadap perubahan iklim dan memelihara alam sekitar.

Bajet 2022, jelas sekali bukan belanjawan 'perniagaan seperti biasa' kerana ia mengambil kira kesukaran hebat yang dihadapi Malaysia dan ekonomi global terhadap serangan pandemik itu.

Namun begitu, dengan kadar vaksinasi mencapai tahap 95 peratus tertinggi setakat ini, prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan gabungan sumber berguna rakyat di bawah konsep Keluarga Malaysia, Bajet 2022 pastinya akan menyediakan titik cahaya yang bakal menerangi hujung terowong yang gelap. - Bernama