Pemerkasaan TVET perlu diperluas di peringkat tadika

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Usaha memperkasakan pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) perlu diperluaskan ke peringkat persekolahan yang lebih awal termasuk di tadika, bukan sekadar di universiti atau kolej memandangkan bidang tersebut telah diberikan peruntukan besar dalam Bajet 2022.

Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Jamalul Lail Abdul Wahab berkata, keperluan ini wajar diteliti kerana Malaysia sedang bergerak ke arah sebuah negara industri yang mahu berdaya saing.

Katanya, negara luar seperti Switzerland telah memulakan pendidikan TVET ini di peringkat sekolah tadika, dengan cara mendedahkan teknologi kepada pelajar atau murid melalui penggunaan telefon bimbit.

"Biarpun ramai yang mungkin menganggap peringkat tadika terlalu awal didedahkan dengan TVET namun untuk jangka masa panjang, ia penting untuk negara membina modal insan yang kreatif dan celik teknologi maklumat (ICT), bersesuaian dengan keperluan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0)," katanya kepada Bernama.

Ketika membentangkan Bajet 2022 bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera di Dewan Rakyat Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata kerajaan telah mengenal pasti TVET sebagai antara pemacu perubahan bagi memenuhi permintaan pekerja oleh industri.

Oleh itu untuk memperkasakannya, kerajaan menyediakan RM6.6 bilion untuk melaksana pelbagai inisiatif di bawah kementerian dan agensi berkaitan dengan tumpuan diberikan kepada usaha memenuhi keperluan industri semasa.

Bekas Ketua Pengarah Pendidikan Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, peruntukan yang besar itu menandakan keseriusan kerajaan dalam mempopularkan TVET namun berharap usaha pemerkasaannya diselaraskan melalui beberapa kementerian.

"Penyelarasan ini termasuklah membabitkan kurikulum, pensijilan, pengiktirafan program dan penyediaan pekerjaan supaya pelajar boleh diserap di dalam industri sejurus sahaja tamat mengikuti program," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Alimuddin percaya Insentif Khas Alat Bantuan Mengajar yang pertama kali diberikan kepada guru akan membawa sedikit kelegaan kerana umum mengetahui, bahan-bahan dan peralatan pengajaran tidak dijual murah di pasaran.

"Sejak dilanda pandemik Covid-19, kaedah Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) telah banyak membawa perubahan kepada sistem pendidikan negara. Ramai pelajar yang dahulunya tidak begitu rancak dengan ICT, mereka kini lebih celik.

"Oleh itu, dengan perkembangan positif ini, keadaan dan kaedah pengajarannya diyakini akan berterusan sepertimana negara Barat telah menggunakannya sejak sekian lama," katanya sebagai merujuk kepada pembayaran RM100 secara sekali bayar kepada lebih 400,000 guru di bawah Kementerian Pendidikan yang telah melaksanakan PdPR. - Bernama