KKM perhalusi tubuh Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) sedang memperhalusi penubuhan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan bagi meminimumkan jurang perkhidmatan dan memantapkan lagi penyampaian perkhidmatan kesihatan mental kepada masyarakat.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, KKM mengharapkan segala usaha yang sedang dijalankan dapat diselaraskan dengan lebih efektif agar lebih ramai individu berani tampil mendapatkan bantuan serta rawatan bagi masalah kesihatan mental yang dihadapi dengan wujudnya pusat kecemerlangan itu.

"Kurangnya kesedaran mengenai kesihatan mental dan wujudnya stigma dalam masyarakat adalah faktor penghalang bagi individu yang terkesan untuk tampil mendapatkan bantuan, rawatan atau intervensi dan ini amat mendukacitakan," katanya pada Konvensyen Belia Kebangsaan 2021 + ASEAN ConnectKBK secara dalam talian, pada Sabtu.

Beliau juga berkata, menyedari kepentingan masalah kesihatan mental, KKM telah melancarkan Pelan Strategik Kesihatan Mental Kebangsaan 2020-2025 pada 10 Oktober lepas yang merupakan polisi jangka masa panjang yang disediakan bagi meningkatkan perkhidmatan kesihatan mental negara.

Katanya, ia menggariskan lapan skop utama antaranya meningkatkan tadbir urus dan kerangka peraturan; memperkukuhkan sistem kawalan kesihatan mental; memastikan ketersediaan dan kebolehcapaian perkhidmatan kesihatan mental yang komprehensif dan berkualiti; dan memperkukuhkan sumber kesihatan mental.

Ia turut meliputi skop meningkatkan dan memupuk kolaborasi bersama antara sektor, mempromosikan kesejahteraan dan kesihatan mental dalam semua persekitaran, memperkukuhkan kesiapsiagaan semasa kecemasan, krisis dan bencana serta menangani bunuh diri dan tingkah laku bunuh diri.

Beliau berkata, kebanyakan masalah kesihatan mental yang dihadapi golongan belia dan remaja dipengaruhi oleh faktor sosial seperti masalah buli, tingkah laku berisiko, penyalahgunaan bahan, rasa rendah diri, jangkaan tinggi terhadap diri sendiri, keresahan dan kemurungan.

Dalam pada itu, KKM amat prihatin dan menyedari bahawa isu kesihatan mental dalam kalangan belia merupakan agenda penting yang perlu diberi perhatian serius.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Khairy juga berkata, bagi menangani isu kesihatan mental dalam kalangan golongan remaja dan belia, KKM telah melaksanakan pelbagai program yang mendapat kerjasama rentas agensi dan badan bukan kerajaan.

Antaranya Program Minda Sihat Sekolah, Program Ekspresi Anak Remaja Lestari (PEARL), Program Siswa Sihat, Let’s TALK Minda Sihat selain bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam mempromosikan kesihatan mental.- Bernama