Pas perlu angkat martabat tokoh, pakar akademik wanita

Tuan Ibrahim
Tuan Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Pas perlu mengangkat martabat tokoh, pakar akademik dan teknokrat wanita yang dimiliki mereka seiring dengan peluang yang diberikan kepada kaum hawa menerusi Bajet 2022.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, menerusi pembentangan Bajet 2022, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan bahawa syarikat senarai awam dalam Bursa Malaysia wajib mengambil ahli lembaga pengarah dalam kalangan wanita.

"Ini satu cabaran besar bagi Dewan Muslimat Pas dan saya yakin ini juga berita gembira dalam konteks gender.

"Yang penting siapa wanita (yang akan dipilih) tersebut jadi kita mesti mengangkat martabat tokoh-tokoh yang kita miliki," katanya ketika merasmikan Muktamar Dewan Muslimat Pas Pusat kali ke-61 dan melancarkan TV Wanita Sejahtera yang berlangsung secara maya pada Sabtu.

Semasa pembentangan Bajet 2022 pada Jumaat, Tengku Zafrul berkata, kerajaan melalui Suruhanjaya Sekuriti akan mewajibkan pelantikan sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita bagi semua syarikat senaraian awam yang dijangka berkuat kuasa pada 1 September 2022 bagi syarikat bermodal besar dan 1 Jun 2023 bagi syarikat tersenarai lain.

Menurutnya, langkah itu bagi mengiktiraf peranan wanita dalam proses membuat keputusan dan memperkukuh kepimpinan serta keberkesanan lembaga pengarah.

Tuan Ibrahim berkata, peluang yang diberikan kerajaan itu haruslah direbut kerana Pas hari ini juga sudah menjadi sebahagian daripada kerajaan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, Pas juga mengharapkan Dewan Muslimat Pas mempersiapkan diri untuk mengetengahkan calon pilihan raya pada masa depan.

Artikel Berkaitan:

"Kita akui ada negeri tak ada calon muslimat dan akan datang pada Plihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kita harapkan tidak ada lagi negeri yang tiada calon muslimat.

"Muslimat mesti sedia diangkat sebagai calon bukan hanya di tempat mudah menang tapi tempat yang ada cabaran. Kita mesti bersedia dengan cabaran-cabaran sedia ada," katanya.

Tuan Ibrahim menambah, Dewan Muslimat Pas Pusat juga perlu memberi perhatian kepada muslimat muda walaupun masih belum diwujudkan Dewan Muslimat Muda ketika ini.

Namun, katanya, Pas mesti bersiap sedia dengan kemasukan pengundi baharu seiring dengan pendaftaran secara automatik pengundi berusia 18 tahun atau Undi 18.