Bajet 2022 tidak fokus kembalikan simpanan KWSP

Mohamad
Mohamad
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyuarakan kebimbangan selepas Bajet 2022 yang diumumkan pada Jumaat tidak memfokuskan kepada usaha mengembalikan simpanan persaraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Menurutnya, isu simpanan persaraan tersebut perlu diberikan penekanan bagi memastikan rakyat dan kerajaan tidak terbeban pada masa akan datang.

"Sebanyak 46 peratus ahli yang berusia bawah 55 tahun hanya mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam simpanan mereka. Apa akan terjadi kepada golongan paling terkesan ini semasa persaraan nanti?

"Kesejahteraan semasa persaraan merupakan isu nasional yang jika tidak ditangani akan membebankan kerajaan dalam jangka masa panjang," katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya pada Sabtu.

Pada Jumaat, Bajet 2022 bertemakan 'Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera' dan bersandarkan tiga paksi utama, iaitu Memperkukuh Pemulihan, Membina Daya Tahan dan Memacu Pembaharuan, dibentangkan dengan jumlah RM332.1 bilion oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Mohamad juga berharap kerajaan memikirkan strategi konsolidasi fiskal jangka panjang susulan Bajet 2022 kali ini akan menelan belanja yang besar.

"Usaha memperluaskan asas cukai seperti memperkenalkan penggunaan nombor pengenalan cukai amatlah bertepatan. Pelaksanaan Program Khas Pengakuan Sukarela (SVDP) bagi cukai pendapatan dan perniagaan yang tidak atau gagal diisytiharkan, wajar diperkenalkan bagi membantu kedudukan fiskal negara.

"Usaha mempelbagaikan sumber hasil negara amatlah penting kerana Malaysia tidak boleh lagi bergantung dengan hasil berasaskan petroleum. Ia diunjurkan akan menyumbang hanya 18.8 peratus daripada jumlah hasil tahun 2022. Ketidaktentuan harga minyak global akan menjejaskan hasil pendapatan negara lalu membahayakan kemampanan fiskal keseluruhan.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, amatlah perlu Bajet 2022 sehaluan dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk memacu pertumbuhan pantas ekonomi negara. Bajet 2022 wajar memperincikan pelaksanaan segera pelbagai projek RMK12 sebagai impetus ekonomi yang boleh merancakkan kebangkitan ekonomi Malaysia dalam jangka panjang," katanya.

Bagaimanapun, beliau turut memuji bajet itu yang dikatakan inklusif dan berkebajikan.

"Pelbagai bantuan tunai diperuntukkan kepada pelbagai golongan sasar melalui Bantuan Keluarga Malaysia. Semoga semua bantuan ini dapat meringankan beban golongan paling terkesan.

"Pelbagai bantuan spesifik juga ditawarkan untuk memastikan tiada golongan yang tercicir termasuk anak yatim akibat Covid-19, mangsa keganasan rumah tangga, atlet OKU, masyarakat orang Asli serta rakyat yang menghadapi isu kesihatan mental. Nyata, kerajaan memandang semua mereka ini dengan ihsan dan tanggungjawab," katanya.