31.8 juta penduduk Malaysia sudah dibanci: DOSM

Norhayati (kanan) ketika program Sinar Live bertajuk ‘Status Semasa Banci Malaysia 2020’ yang bersiaran di semua platform Sinar Harian pada Jumaat.
Norhayati (kanan) ketika program Sinar Live bertajuk ‘Status Semasa Banci Malaysia 2020’ yang bersiaran di semua platform Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan seramai 31.8 juta bersamaan 97.9 peratus rakyat Malaysia daripada anggaran keseluruhan 32.6 juta penduduk telah pun dibanci setakat 27 Oktober 2021.

Pengarah Kanan Bahagian Perangkaan Akaun Negara, DOSM merangkap Penolong Pesuruhjaya Banci Malaysia 2020, Norhayati Jantan berkata, lima negeri melibatkan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Johor, Labuan dan Putrajaya mencatatkan kadar peratusan pembancian paling tinggi.

“Di peringkat isi rumah, sebanyak 7.7 juta atau 94.1 peratus melibatkan lapan negeri mencatatkan kadar respons melebihi 90 peratus iaitu Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan, Pahang, Kedah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

“Di peringkat tempat kediaman pula membabitkan 9.4 juta tempat kediaman. Kebanyakan negeri mencatatkan kadar respon lebih 100 peratus melebihi anggaran tahun 2020,” katanya pada program Sinar Live bertajuk ‘Status Semasa Banci Malaysia 2020’ yang bersiaran di semua platform Sinar Harian pada Jumaat.

Norhayati bagaimanapun memberitahu, daripada anggaran keseluruhan penduduk iaitu 32.6 juta, seramai 680,000 rakyat Malaysia masih belum dibanci setakat ini.

“Justeru, kita berharap mereka yang belum dibanci tampil ke DOSM berdekatan untuk melakukan proses pembancian,” ujarnya.

Ditanya mengenai kaedah yang dilakukan oleh pihak DOSM bagi mengelakkan berlaku ‘scammer’ menerusi panggilan telefon, Norhayati berkata, pembanci yang diiktiraf oleh Jabatan Perangkaan perlu memperkenalkan diri kepada responden.

Menurutnya, jika berlaku kesangsian di peringkat responden, mereka boleh menghubungi Jabatan Perangkaan negeri atau ibu pejabat untuk mendapatkan kepastian.

Artikel Berkaitan:

“Cabaran bancian dalam talian sangat besar kerana kita perlu mendapatkan kerjasama daripada responden yang sekarang pun banyak berdepan dengan isu ‘scammer’.

“Jadi apa yang kita buat ialah apabila pembanci memulakan perbualan dengan responden yang terpilih tersebut, mereka perlu memperkenalkan diri, memberi maklumat nama, dari mana panggilan dibuat dan tujuan panggilan itu,” jelas Norhayati.

Banci Malaysia 2020 yang dilancarkan pada Julai 2020 melalui beberapa fasa penjadualan dan penyesuaian semula tempoh operasi apabila banci bersemuka tidak dapat dijalankan berikutan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pegerakan (PKP).

Bagaimanapun, Banci 2020 ini akan melabuhkan tirainya pada Ahad dan penemuan utama data Banci Malaysia akan diumumkan Isnin ini.

Pentingnya Banci tersebut kerana maklumat yang diperoleh dapat membantu menambah baik polisi kerajaan demi pembangunan negara dan kepentingan rakyat pada masa hadapan.