Bajet 2022: Takaful Peladang manfaatkan 57,635 pesawah MADA

Ahmad Tarmizi
Ahmad Tarmizi
A
A
A

ALOR SETAR - Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menyambut baik cadangan program di bawah Skim Perlindungan Takaful Smart Card Peladang dalam Bajet 2022 pada Jumaat.

Pengerusi MADA, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, kerajaan memperuntukkan RM5 juta bagi program itu yang dapat dimanfaatkan oleh semua ahli peladang berdaftar di bawah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di seluruh Malaysia.

Ahmad Tarmizi berkata, terdapat seramai 57,635 pesawah di kawasan Muda yang mengusahakan sawah seluas 100,658 hektar dalam pentadbiran 27 PPK MADA.

"Kad Pintar Keluarga Peladang (Peladang - i) ini mempunyai gabungan tiga dalam satu menerusi kad debit Co-Brand Agrobank.

"Peladang - i juga boleh dijadikan sebagai kad identiti berkonsepkan transaksi perbankan moden yang turut dilengkapi manfaat perlindungan takaful sehingga RM5,000," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, MADA turut menyambut baik cadangan kerajaan untuk terus memacu pemodenan sektor pertanian bagi meningkatkan jaminan dan keselamatan makanan selain menarik lebih ramai generasi muda agropreneur.

"Pengumuman pemberian subsidi dan insentif bagi industri pertanian dan perikanan akan diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM1.7 bilion. Antaranya RM1.5 bilion bagi subsidi benih, baja, harga dan pengeluaran padi termasuk subsidi padi huma sebanyak RM40 juta dapat terus membantu pesawah mengurangkan kos operasi ladang,"katanya.

Artikel Berkaitan: