Program pemulihan ekonomi dunia tingkatkan pasaran getah tempatan

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

PASARAN getah Malaysia dijangka kekal stabil minggu depan dengan kecenderungan meningkat berikutan program pemulihan ekonomi di seluruh dunia, menurut bekas Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA), Denis Low.

Beliau berkata, hujan yang berterusan di kawasan pengeluar getah turut membantu meningkatkan harga dan permintaan terhadap getah.

“China juga berhasrat ke arah meningkatkan jualan kereta pada akhir tahun menjelang Tahun Baharu Lunar dan sebagai urusan menambah semula stok.

“Aktiviti-aktiviti ini serta hasil yang tidak memuaskan akibat hujan mungkin meningkatkan permintaan dan langkah menyimpan stok kerana kita bakal berdepan musim monsun mulai November ini,” katanya kepada Bernama.

Low berkata getah akan terus menjadi komoditi yang meraih keuntungan apabila terdapat pergerakan orang ramai dan industri, selain ketika dunia terus berusaha untuk keluar daripada pandemik Covid-19.

Beliau berkata, permintaan terhadap getah kering sewajarnya meningkat pada minggu-minggu yang akan datang manakala susu getah pukal akan berusaha untuk berada pada kedudukan yang sama.

“Pengeluar sarung tangan dilihat kembali bergerak perlahan untuk berbalik kepada pengeluaran seperti biasa dengan permintaan terhadap sarung tangan perubatan turut stabil. Untuk jangka panjang, sarung tangan getah asli akan lebih mendapat permintaan berbanding sarung tangan getah sintetik akibat perubahan faktor alam sekitar dan perubahan iklim,” katanya.

Sementara itu, peniaga berkata, harga dijangka dipengaruhi kebimbangan yang meningkat terhadap inflasi yang akan mempercepat keputusan bank pusat di seluruh dunia untuk mengetatkan dasar monetari mereka.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau berkata, pasaran akan disokong oleh berita yang positif mengenai kemajuan perdagangan Amerika Syarikat(AS) -China.

“Harga juga dijangka mengambil isyarat daripada prestasi ringgit, harga minyak mentah dan pasaran niaga hadapan getah serantau.

“Penggiat pasaran akan turut memantau Indeks Pengurus Pembelian (PMI) China dan hasil daripada mesyuarat Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan Sekutu (OPEC+),” katanya.

Bagi minggu baru berakhir, pasaran getah tempatan bergerak dalam momentum aliran peningkatan berbanding minggu terdahulu, disokong prestasi pasaran niaga hadapan getah serantau dan perkembangan positif perdagangan AS-China.

Peniaga berkata penggiat pasaran turut memberi reaksi positif terhadap statistik getah yang dikeluarkan oleh Persatuan Negara-negara Pengeluar Getah Asli (ANRPC) yang menjangka pertumbuhan lebih rendah bagi pengeluaran dunia sebanyak 13.7887 juta tan, manakala permintaan dunia dijangka berkembang 8.9 peratus kepada 14.116 juta tan pada 2021.

“Bagaimanapun, aliran peningkatan itu adalah terhad berikutan kebimbangan terhadap pemulihan ekonomi global daripada Covid-19 akan terjejas disebabkan peningkatan inflasi yang memaksa bank pusat untuk mengetatkan dasar monetari mereka,” katanya.

Bagi asas mingguan, harga fizikal rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi SMR 20 meningkat 11 sen kepada 727.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal naik 18.5 sen kepada 549 sen sekilogram.

Pada 5 petang Jumaat, harga penutup LGM bagi SMR 20 berada pada 719 sen sekilogram manakala susu getah pukal pada 546 sen sekilogram. - Bernama