X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 02 Julai 2022

Kedah, Perak hargai peruntukan diumumkan dalam Bajet 2022

Muhammad Sanusi
A
A

KUALA LUMPUR - Kedah dan Perak menghargai peruntukan yang diumumkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz semasa membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya mengalu-alukan pengumuman kerajaan dalam Bajet 2022, walaupun jumlah peruntukan melibatkan negeri itu jauh kurang daripada yang dimohon.

Justeru, beliau berharap dapat terus berbincang dengan Kerajaan Persekutuan dari masa ke masa agar peruntukan khas yang lebih tinggi dapat diberikan kepada negeri itu.

"Saya yakin pintu rundingan akan terus dibuka berkaitan keperluan Negeri Kedah untuk peruntukan khas yang lebih tinggi. Ini bukan semata-mata kerana Kedah sebuah negeri miskin tetapi bersabit dengan ‘pengorbanan’ yang terpaksa dilakukan demi kepentingan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu menurutnya, Kedah juga terpaksa mengekalkan kawasan hutan simpan seluas 341,000 hektar yang sebahagian besarnya merupakan kawasan tadahan sumber air di Hulu Muda yang bukan sahaja untuk kegunaan rakyat Kedah tetapi juga Pulau Pinang.

"Atas pengorbanan itu, saya berharap untuk dapat terus berunding dengan Kerajaan Persekutuan dari masa ke masa walaupun tidak dinyatakan dalam belanjawan kali ini,” katanya.

Selain itu, Muhammad Sanusi turut mengalu-alukan keprihatinan Kerajaan Persekutuan memberikan peruntukan khas RM20 juta khusus untuk negeri kurang maju, termasuk Kedah selain peruntukan projek mencegah hakisan di Pantai Merdeka di Daerah Kuala Muda dan projek eksplorasi pelancongan sejarah di Kompleks Arkeologi Sungai Batu.

"Perhatian yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya terhadap aset warisan sejarah yang begitu bernilai di Sungai Batu, saya yakin akan menjadi tarikan baharu peminat dan komuniti penyelidik dari seluruh dunia,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, Perak yang berpotensi sebagai destinasi pilihan domestik memerlukan bantuan infrastruktur di kawasan ekopelancongan yang akan membangunkan ekonomi masyarakat setempat.

"Ia (penggunaan peruntukan) termasuklah seperti pembangunan Ban Pecah di Kerian, 7 Lata Selama, Jeti Kelip-Kelip di Kampung Dew, Taiping dan Pulau Bebas Cukai di Pangkor di samping pemerkasaan Geopark Lembah Kinta serta yang bakal diadakan di Lenggong,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Menerusi pembentangan Bajet 2022 hari ini, Tengku Zafrul mengumumkan peruntukan khusus berjumlah RM260 juta iaitu RM20 juta bagi setiap negeri dalam memfokuskan kepada projek berkenaan jaminan makanan, pelancongan serta pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!