Awas! Jika jual kit ujian lebih RM19.90

KPDNHEP ambil tindakan tegas ke atas peniaga jual kit ujian antigen Covid-19 pada harga tinggi

Pegawai penguat kuasa KPDNHEP menjalankan pemeriksaan di sebuah premis yang menjual kit ujian pantas antigen Covid-19.
Pegawai penguat kuasa KPDNHEP menjalankan pemeriksaan di sebuah premis yang menjual kit ujian pantas antigen Covid-19.
A
A
A

SHAH ALAM - Kebimbangan kepada penularan Covid-19 mendorong banyak kalangan masyarakat melakukan ujian kendiri dengan kit ujian pantas antigen bagi mengesan awal sama ada mereka dijangkiti atau tidak oleh penyakit tersebut.

Situasi itu secara tidak langsung menyebabkan kit tersebut mendapat permintaan tinggi. Malangnya, ada pihak yang menangguk di air keruh dengan menjual kit tersebut melebihi dari harga yang ditetapkan oleh kerajaan.

Namun, melalui pemantauan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor dan aduan daripada orang ramai, pihak berkuasa berjaya mengesan premis yang melakukan kesalahan itu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, pihaknya melaksanakan pemantauan berdasarkan maklumat yang diterima.

Muhamad Zikril
Muhamad Zikril

“Kita menerima maklumat ada premis yang bertindak menjual kit ujian pantas antigen Covid-19 melebihi harga ditetapkan dan dua buah premis berjaya dikesan.

“Kita hadir ke premis berkenaan dan pemilik premis terus menurunkan harga, selain itu KPDNHEP turut memberikan nasihat dan penerangan berkaitan penjualan kit ujian pantas antigen Covid-19 ini,” katanya menerusi temu bual khas yang diadakan di Ibu Pejabat KPDNHEP Selangor, baru-baru ini.

Muhamad Zikril memberitahu, harga yang ditetapkan bagi kit ujian pantas antigen Covid-19 adalah RM19.90 iaitu harga runcit maksimum dan harga borong RM16.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, penetapan harga dilaksanakan bagi memastikan kit ujian pantas antigen Covid-19 tidak dijual pada harga sewenangnya.

“Kerajaan menerusi KPDNHEP sentiasa prihatin terhadap keluhan rakyat bagi memastikan kit tersebut boleh dibeli pada harga yang rendah.

“Jika sebelum ini, harga bagi satu kit dijual antara RM30 hingga RM40, ia membebankan pengguna, jadi ini antara tujuan utama penetapan harga dilaksanakan,” jelas beliau.

Pengguna dinasihatkan mendapatkan Kit Ujian Pantas Antigen Covid-19 yang telah disenaraikan oleh pihak berkuasa Peranti Perubatan/Medical Device Authority (MDA).
Pengguna dinasihatkan mendapatkan Kit Ujian Pantas Antigen Covid-19 yang telah disenaraikan oleh pihak berkuasa Peranti Perubatan/Medical Device Authority (MDA).

Tiada kit ujian palsu dikesan

KPDNHEP Selangor tidak menerima sebarang aduan berhubung penjualan kit ujian pantas antigen Covid-19 palsu setakat ini.

Muhamad Zikril bagaimanapun berkata, pemantauan sentiasa dilaksanakan bagi memastikan perkara tersebut tidak berlaku.

“Pemantauan sememangnya pihak kami sentiasa laksanakan secara kerap, sama ada dari sudut harga dan pelbagai aspek lain.

“Namun, setakat ini KPDNHEP Selangor belum menerima sebarang aduan berhubung adanya kit ujian pantas antigen Covid-19 palsu,” ujarnya.

Jelas beliau lagi, para pengguna dinasihatkan mendapatkan kit ujian pantas antigen Covid-19 yang telah disenaraikan oleh pihak berkuasa Peranti Perubatan/Medical Device Authority(MDA).

“Paling penting, para pengguna perlu memastikan hanya membeli daripada pihak yang telah mendapat kelulusan MDA untuk menjual peranti perubatan atau kesihatan sama ada dijual di pasaran biasa atau dalam talian.

Pemantauan sentiasa dilaksanakan bagi memantau harga kit ujian pantas antigen Covid-19 yang dijual di pasaran.
Pemantauan sentiasa dilaksanakan bagi memantau harga kit ujian pantas antigen Covid-19 yang dijual di pasaran.

Tindakan tegas ke atas peniaga

Pemantauan secara berterusan sentiasa dilaksanakan KPDNHEP Selangor bagi memastikan kit ujian pantas antigen Covid-19 ini dijual pada harga yang ditetapkan sekaligus tidak membebankan pengguna.

Jelas Muhamad Zikril, pemantauan sentiasa dilaksanakan bagi memantau harga kit ujian pantas antigen Covid-19 yang dijual di pasaran.

“KPDNHEP Selangor sentiasa berterusan menjalankan pemeriksaan pematuhan harga maksimum bagi penjualan kit ini,” katanya.

Menurut beliau, pemantauan dan pemeriksaan bekalan secara harian digerakkan oleh 200 pegawai penguat kuasa di seluruh Selangor dan tindakan segera terhadap aduan akan dilaksanakan jika ia berlaku.

Beliau menjelaskan, tindakan tegas akan terus diambil sekiranya terdapat premis yang menjual kit ujian pantas antigen Covid-19 melebihi harga yang ditetapkan.

“Peniaga dan premis-premis farmasi diingatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang yang telah dikuatkuasakan terutamanya melibatkan penjualan kit tersebut.

“Tindakan akan diambil di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti pencatutan 2011 sekiranya peniaga dikesan menjual melebihi harga maksimum yang ditetapkan,” tegas beliau.

Pemeriksaan dan pemantauan secara kerap sentiasa dilaksanakan KPDNHEP Selangor.
Pemeriksaan dan pemantauan secara kerap sentiasa dilaksanakan KPDNHEP Selangor.

Platform beri maklumat

Muhammad Zikril turut menjelaskan, pemantauan berterusan dilakukan untuk memastikan penjualan kit ujian pantas antigen Covid-19 dilaksanakan tanpa mengambil kesempatan dengan menjualnya pada harga yang tinggi.

“Masyarakat yang mempunyai maklumat atau info sekiranya terdapat premis yang menjual kit ujian pantas antigen Covid-19 pada harga yang tinggi dapat menyalurkannya ke pelbagai platform yang disediakan oleh KPDNHEP.

“Maklumat dapat disalurkan menerusi portal, talian KPDNHEP iaitu 1 800 886 800, e-mel aduan@kpdnhep.gov.my, aplikasi telefon pintar EZ ADU serta enforcement command centre di talian 03-8882 6245/6088.

“Selain itu, aduan turut dapat disalurkan di talian Malaysia Goverment Call Centre (MYGCC) di 03-8000 8000, atau whatsApp ke 019-279 4317 atau hadir ke mana-mana pejabat KPDNHEP di Selangor,” katanya.

Masyarakat, jelas beliau, tidak perlu khuatir kerana identiti pemberi maklumat dirahsiakan pihaknya.

“Jangan bimbang untuk salurkan maklumat kerana KPDNHEP sentiasa melindungi identiti pemberi maklumat.

“Tindakan akan diambil segera terhadap mana-mana pihak yang didapati menjual kit ujian pantas antigen Covid-19 pada harga yang tinggi melebihi harga maksimum ditetapkan,” katanya.

Pemeriksaan secara kerap sentiasa dilaksanakan oleh KPDNHEP Selangor.
Pemeriksaan secara kerap sentiasa dilaksanakan oleh KPDNHEP Selangor.