X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

Empat ahli gabungan PSM hantar permohonan tubuh entiti baharu

Markiman (tiga, kanan) ketika hadir di Pejabat PJS bagi menyerahkan permohonan berkenaan.
A
A

EMPAT ahli gabungan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) sepakat mencadangkan penubuhan entiti baharu Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSTM) sebagai usaha ke arah mengharmonikan semula pembangunan sepak takraw negara pada masa depan.

Menurut Presiden Jawatankuasa Penaja PSTM, Datuk Markiman Kobiran, cadangan penubuhan entiti itu adalah bagi mencari jalan keluar mengakhiri kemelut enam bulan yang melanda badan induk sepak takraw negara sebelum ini.

"Cadangan penubuhan PSTM ini juga akan mengunapakai draf pindaan yang telah dipersetujui semasa perbincangan antara tiga pihak iaitu 11 ahli gabungan yang keluar PSM sebelum ini, PSM dan PJS.

"Niat kami satu iaitu ingin memastikan segala perkara yang dipersetujui bersama semasa perbincangan pelan remedi PSM sebelum ini diterjemahkan dalam bentuk tindakan bersepadu dan menyeluruh demi masa depan sepak takraw negara.

"Paling penting pada pengakhirannya nanti adalah kami mahu sukan sepak takraw negara dapat kembali semula ke dalam keluarga Persekutuan Sepak Takraw Asia, (ASTAF), yang merupakan pentas penting bagi pembangunan sepak takraw negara.

"Saya juga ingin jelaskan di sini bahawa kami juga terbuka untuk menerima keahlian dalam kalangan lapan ahli PSM sekiranya berhasrat menyertai entiti baharu ini pada masa depan," kata Markiman yang juga Presiden Persatuan Sepaktakraw Selangor (PSS) kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Markiman sebelum itu yang mewakili PSS bersama wakil Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Putrajaya (PESTAP), Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS) dan Persatuan Sepak Takraw Perlis (PSTPs) diiringi peguam dari Tetuan Nazri Yahya & Co hadir ke Pejabat PJS bagi menyerahkan borang permohonan penubuhan PSTM.

Sementara itu, PSM dijadualkan mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada Sabtu bagi membincangkan draf pindaan perlembagaan badan induk tersebut yang dipersetujui secara bersama antara 11 ahli yang bertindak keluar PSM terdahulu, PSM dan PJS sebelum ini.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!