Industri hartanah bakal saksikan pemulihan pantas

Pengecualian RPGT dijangka merangsang lebih banyak minat dalam pasaran sekunder, yang juga akan meningkatkan sentimen pasaran hartanah secara keseluruhan. - Foto fail/Bernama
Pengecualian RPGT dijangka merangsang lebih banyak minat dalam pasaran sekunder, yang juga akan meningkatkan sentimen pasaran hartanah secara keseluruhan. - Foto fail/Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Syarikat hartanah menjangkakan langkah-langkah yang diperkenalkan dalam Bajet 2022 akan memberi manfaat kepada sektor ini dan mempercepatkan pemulihan industri berkenaan.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz telah mengumumkan peruntukan jaminan sebanyak RM2 bilion melalui Skim Jaminan Kredit Perumahan (HCGC) bagi memudahkan pinjaman kepada mereka yang tidak mempunyai bukti pendapatan tetap serta pengecualian cukai keuntungan harta tanah (RPGT) untuk hartanah yang dilupuskan dari tahun keenam dan seterusnya.

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing Group Bhd, Tan Sri Leong Hoy Kum yakin semua pemain industri dan pihak berkepentingan akan bekerjasama untuk memastikan insentif itu memberi manfaat kepada pembeli rumah dan pada masa yang sama melontarkan rangsangan kepada pasaran hartanah tempatan.

"Kami memuji keterbukaan kerajaan yang tetap mendengar keperluan pinjaman perumahan golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap seperti pekerja ekonomi gig, usahawan kecil dan petani. HCGC pastinya akan membantu kumpulan-kumpulan ini untuk mempunyai akses yang lebih mudah kepada pinjaman perumahan dan memulakan perjalanan pemilikan rumah mereka sendiri," katanya dalam satu kenyataan sebagai reaksi kepada Belanjawan 2022. “Kami memuji usaha kerajaan dalam mempertimbangkan setiap peringkat dalam industri hartanah, termasuk pasaran sekunder.”

Pengecualian RPGT dijangka merangsang lebih banyak minat dalam pasaran sekunder, yang juga akan meningkatkan sentimen pasaran hartanah secara keseluruhan kerana pembeli boleh menaik taraf rumah mereka selepas menjual unit lama, katanya.

Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez berkata, selain peruntukan RM2 bilion melalui HCGC, peruntukan sebanyak RM1.5 bilion untuk meneruskan projek perumahan kos rendah juga harus dipuji.

"Kedua-dua langkah ini akan memberi kelegaan kepada masalah ramai rakyat Malaysia, meringankan kesukaran bakal pembeli rumah selain menggalakkan pemilikan rumah secara sistematik dan inklusif kerana kami percaya bahawa semua rakyat Malaysia mempunyai hak bagi memiliki rumah impian mereka.

"Sebagai laman web hartanah terkemuka di Malaysia, kami berharap dapat menyokong usaha kerajaan untuk membantu lebih ramai rakyat Malaysia memiliki rumah impian mereka," kata Fernandez.

Artikel Berkaitan:

PropertyGuru berharap kerajaan dapat memperluaskan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) sehingga 2022 dan insentif yang ditawarkan kepada pasaran kediaman sekunder untuk membantu merangsang ekonomi serta menggalakkan pembeli rumah kali pertama mempertimbangkan bagi membeli hartanah sub-jualan.

Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) dalam reaksinya amat mengalu-alukan langkah bagi memansuhkan RPGT ke atas rumah yang dilupuskan dari tahun keenam dan seterusnya.

"Kami berharap langkah ini akan membantu meningkatkan pasaran hartanah tempatan untuk menjadikannya lebih berdaya tahan dan akhirnya mencetuskan kesan pengganda yang positif ke atas ekonomi," kata Presiden REHDA, Datuk Soam Heng Choon. - Bernama