Umat Islam jangan perlekeh, wajib bimbing saudara baharu

FIRDAUS WONG
FIRDAUS WONG
A
A
A

WAJIB bagi umat Islam sama ada yang dilahirkan Islam atau telah lama memeluk agama itu untuk membimbing saudara baharu, sesuai dengan kadar pemahaman dan kemampuan mereka.

Pandangan itu dilontarkan Presiden Pertubuhan Mualaf Pelbagai Bangsa (MRM), Firdaus Wong Wai Hung atau lebih dikenali sebagai Bro Firdaus kepada Sinar Islam.

Jelas beliau yang juga pendakwah bebas, jika kemampuan pembimbing adalah terhad, maka mereka boleh membimbing dan membantu semampu yang mungkin. Pembimbing juga perlu mengetahui apakah tahap yang perlu dan boleh diterima oleh mualaf itu. ​

ALLAH berfirman: "Sesungguhnya zakat-zakat itu, hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, amil zakat, para mualaf yang dibujuk hatinya, untuk (memerdekakan) budak, orang-orang yang terlilit utang, untuk jalan ALLAH dan untuk mereka yang sedang dalam perjalanan, sebagai suatu ketetapan yang diwajibkan ALLAH, dan ALLAH Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana” (Surah At-Taubah: 60)

Menurut Bro Firdaus, ayat al-Quran itu menunjukkan betapa perlunya golongan mualaf ini menerima sokongan dan bantuan.

Antara yang boleh kita lakukan? Beliau berpandangan agar kita mencarikan keluarga angkat sebagaimana Nabi Muhammad SAW mempersaudarakan kaum Muhajirin dan Ansar selepas hijrah dari Makkah ke Madinah.

"Selain itu, berikan sokongan moral dan bimbingan agama yang berterusan dengan lemah lembut dan penuh kasih sayang serta membantu mereka menangani kos sara hidup atau kos pengajian andai dibuang oleh keluarga," jelasnya.

Kepada satu soalan, Bro Firdaus menjawab: "Ada yang berasa pesimis terhadap mualaf kerana mereka sering melihat ada mualaf yang meminta sedekah di perhentian rehat dan rawat, surau dan masjid. Ada yang ikhlas menderma pada awalnya tetapi apabila sering melihat orang yang sihat dan mampu bekerja tetapi memilih untuk meminta sedekah berbanding dengan pergi berkerja, maka akan timbul persoalan dan seterusnya pandangan yang kurang elok terhadap mualaf itu akan timbul.

Artikel Berkaitan:

"Solusinya semua pihak perlu memainkan peranan agar mereka yang benar-benar memerlukan bantuan diberikan sokongan sewajarnya manakala mereka yang berbohong juga perlu dibantu agar mereka kembali kepada taat kepada ALLAH dan Rasul-Nya," ujar beliau.