PDRM hargai peruntukan RM17 bilion

Acryl Sani
Acryl Sani
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) merakamkan penghargaan kepada kerajaan atas peruntukan RM17 bilion kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi sektor pertahanan dan ketenteraman awam dalam Bajet 2022.

Ketua Polis Negara, Datuk Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, peruntukan itu akan dimanfaatkan sepenuhnya demi memperkasa penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

Menurutnya, PDRM juga berterima kasih di atas peruntukan itu antaranya melibatkan kerja penggantian dan pembaikan lif serta kuarters PDRM.

"Peruntukan itu adalah bukti komitmen kerajaan yang sentiasa menjaga kebajikan ahli keluarga PDRM dalam menyediakan kuarters yang lebih selesa dan selamat untuk didiami," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Acryl Sani berkata, pihaknya turut menyambut baik peningkatan elaun penugasan Sukarelawan Simpanan Polis (PVR).

"Peningkatan elaun daripada RM7.80 kepada RM9.80 satu jam untuk pegawai dan RM6 kepada RM8 untuk anggota bakal memanfaatkan hampir 10,000 pegawai dan anggota PVR.

"Peruntukan ini sekaligus memberikan motivasi dan semangat untuk lebih ramai masyarakat menyertai PVR dan bersama dalam memerangi jenayah," katanya.

Beliau berkata, peruntukan sebanyak RM13 juta kepada Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah untuk memperkasa bahagian tersebut termasuk pewujudan 100 perjawatan baharu amat dihargai.

Artikel Berkaitan:

"Peruntukan ini akan meningkatkan keberkesanan siasatan yang akan diperkasa di setiap kontinjen dan meninggikan mutu perkhidmatan kepada masyarakat.

"Peruntukan ini juga akan memastikan Bahagian D11 dapat menyampaikan perkhidmatan terbaik dalam aspek siasatan jenayah seksual melibatkan mangsa yang terdiri daripada golongan wanita dan kanak-kanak," katanya.

Acryl Sani berkata, penambahan lapan pos kawalan Pasukan Gerakan Am antaranya di Pagalungan, Sabah dan Temong Mura, Sarawak akan meningkatkan tahap kawalan keselamatan sempadan yang berterusan oleh anggota penguatkuasaan.

"Infrastruktur berkenaan akan memantapkan keupayaan PDRM dalam memastikan keselamatan kedua negeri tersebut.

"Pos-pos yang bakal dibina akan menyumbang secara langsung kepada peningkatan kapasiti PDRM untuk memastikan kawalan keselamatan negara sentiasa pada tahap terbaik," katanya.

Jelasnya, PDRM turut menghargai bantuan sebanyak RM700 untuk kakitangan awam Gred 56 ke bawah dan RM350 bagi pesara kerajaan, gantian cuti rehat (GCR) yang dinaikkan daripada maksimum 150 hari kepada 160 hari serta segala bantuan diumumkan untuk penjawat awam.

"Perkara ini jelas menunjukkan kerajaan sentiasa menghargai khidmat bakti penjawat awam kepada negara dan merupakan penghargaan kepada pengorbanan barisan petugas hadapan.

"PDRM akan memastikan peruntukan serta penambahbaikan yang diumumkan menerusi Bajet 2022 ini akan dimanfaatkan bagi memperkasakan kualiti perkhidmatan kepada masyarakat dalam ketenteraman dan keamanan negara," katanya.