Peruntukan besar pembangunan infrastruktur luar bandar Sabah, Sarawak

Mahdzir bercakap pada sidang media selepas pembentangan Bajet 2022 di Bangunan Parlimen pada Jumaat. - Foto Bernama
Mahdzir bercakap pada sidang media selepas pembentangan Bajet 2022 di Bangunan Parlimen pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pembangunan infrastruktur di luar bandar Sabah dan Sarawak merupakan antara peruntukan besar dalam bajet kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), kata menteri berkenaan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Tanpa memperincikan jumlah itu, Mahdzir berkata, ia akan melibatkan pembangunan infrastruktur Bekalan Elektrik Luar Bandar, Bekalan Air Luar Bandar, Jalan Luar Bandar dan Jalan Perhubungan Desa.

“Ia juga termasuk pembangunan kesejahteraan rakyat untuk membaiki rumah dan membina rumah baharu,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen selepas pembentangan Bajet 2022 di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, untuk bajet tahun ini KPLB mendapat peruntukan berjumlah RM10.53 bilion iaitu RM345 juta atau 3.39 peratus lebih tinggi daripada peruntukan 2021.

Jumlah itu katanya, meliputi RM3.52 bilion peruntukan mengurus dan RM7.01 bilion peruntukan pembangunan.

Menyifatkan bajet itu sebagai inklusif dan menyeluruh, selaras dengan konsep kebersamaan Keluarga Malaysia, pembangunan orang asli tidak dipinggirkan.

“Sebanyak RM274 juta diperuntukkan bagi meningkatkan taraf hidup orang asli. Ini meliputi program pembangunan infrastruktur, ekonomi dan modal insan untuk memperkasa komuniti orang asli di Malaysia.

“Dalam hal ini, kadar wang saku murid orang asli di sekolah menengah dinaikkan daripada RM2 kepada RM4 sehari,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tidak ketinggalan RM699 juta untuk Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan RM495 juta bagi Felcra yang akan memberi manfaat kepada pekebun-pekebun kecil di bawah kedua-dua agensi berkenaan.

Turut diberi tumpuan ialah pendidikan awal kanak-kanak melalui kelas Kemas seluruh negara melibatkan peruntukan untuk membayar guru-guru Kemas dan memberi makanan serta minuman berkhasiat kepada murid-murid, katanya.

Bajet 2022 dibentang pada Jumaat dengan nilai peruntukan tertinggi dalam sejarah berjumlah RM332.1 bilion untuk menyedia dan merancang pelbagai strategi serta inisiatif bagi mensejahterakan rakyat dan membangunkan ekonomi yang makmur serta mampan.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat pada Jumaat berkata, bajet mengembang itu mengambil aspirasi konsep Keluarga Malaysia dan turut dijajarkan kepada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) agar rakyat kembali makmur dalam norma baharu akibat pandemik Covid-19. - Bernama