Kerajaan peruntuk RM20 juta untuk e-sukan

Arena e-sukan negara mendapat perkhabaran gembira daripada kerajaan yang bersedia memberi peruntukan dalam pembentangan Bajet 2022.
Arena e-sukan negara mendapat perkhabaran gembira daripada kerajaan yang bersedia memberi peruntukan dalam pembentangan Bajet 2022.
A
A
A

KERAJAAN akan menyediakan peruntukan RM20 juta bagi merancakkan industri e-sukan yang dilihat mampu menjadi prospek terbaik pembangunan sukan negara.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, peruntukan berkenaan disediakan bagi merancakkan pertumbuhan e-sukan kebangsaan termasuk RM5 juta untuk mewujudkan Pusat Kecemerlangan Sukan Dron.

“e-sukan kini sudah menjadi fenomena baharu dalam kalangan anak muda dan dilihat mempunyai prospek terbaik pembangunan sukan negara.

“Saya amat gembira apabila membaca berita bahawa terdapat atlet e-sukan anak tempatan yang berjaya meraih pencapaian cemerlang di kejohanan antarabangsa di Romania baru-baru ini.

“Kejayaan seperti ini adalah bukti bahawa negara kita mempunyai bakat muda yang perlu disokong dan digilap,” katanya dalam pembentangan Bajet 2022 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul turut mengumumkan untuk memberi pengecualian cukai pendapatan ke atas hadiah wang kemenangan yang diperoleh.

“Bagi mengiktiraf pencapaian atlet e-sukan kelahiran Malaysia yang sudah mengharumkan nama negara seperti NothingToSay, xNova, Mushi dan Oli, kerajaan bercadang untuk memberikan pengecualian cukai pendapatan ke atas wang hadiah kemenangan kejohanan e-sukan yang layak,” ujarnya.

Tengku Zafrul turut mengumumkan bahawa Bank Simpanan Nasional (BSN) akan menyediakan dana pembiayaan sehingga RM50 juta dengan kadar faedah sifar peratus untuk enam bulan pertama dan moratorium enam bulan bagi meringankan keperluan kewangan pengusaha fasiliti sukan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan: