Sektor pembinaan dijangka kembali pulih

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sektor pembinaan dijangka kembali pulih sebanyak 11.5 peratus pada 2022 hasil daripada prestasi lebih baik bagi semua subsektor, menurut Kementerian Kewangan dalam Laporan Tinjauan Ekonomi 2022 yang dikeluarkan hari ini.

Pertumbuhan subsektor kejuruteraan awam dijangka kembali positif berikutan penyambungan semula dan langkah mempercepatkan projek infrastruktur utama seperti Transit Aliran Ringan Laluan 3 (LRT3), Transit Aliran Mass Laluan 3 (MRT3), Sistem Transit Rapid Johor-Singapura (RTS) serta Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak.

“Projek utiliti termasuk Hidroelektrik Baleh, Program Grid Bekalan Air Sarawak dan Loji Jana Kuasa Solar Berskala Besar 3 dijangka akan terus memacu pertumbuhan,” menurut kementerian itu.

Pada masa sama, subsektor bangunan kediaman diunjur terus berkembang sejajar dengan pelbagai langkah yang diambil kerajaan bagi menangani masalah kekurangan rumah mampu milik.

“Antara langkah tersebut termasuk lanjutan Skim Sewa untuk Beli, pengecualian duti setem bagi pembelian rumah pertama serta program Rumah Mesra Rakyat dan Program Perumahan Rakyat,” katanya.

Katanya lagi, sektor ini diunjur mencatat penyusutan lebih kecil sebanyak 0.8 peratus pada 2021 berbanding kemerosotan ketara pada 2020.

Sementara itu, sektor pembinaan mencatat pertumbuhan kukuh sebanyak 8.3 peratus pada separuh pertama 2021 disokong peningkatan dalam subsektor aktiviti pembinaan khas, bangunan bukan kediaman dan bangunan kediaman.

Kementerian Kewangan berkata, prestasi lebih baik ini turut disumbangkan oleh kesan asas yang lebih rendah susulan penurunan ketara dalam kerja pembinaan bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Artikel Berkaitan:

“Bagaimanapun, subsektor kejuruteraan awam merosot disebabkan oleh penangguhan sementara projek infrastruktur susulan langkah pembendungan penularan Covid-19 yang ketat,” katanya.

Sementara itu, sektor ini dijangka menguncup sebanyak 8.4 peratus pada separuh kedua 2021 disebabkan kemerosotan dalam subsektor kejuruteraan awam, bangunan bukan kediaman dan bangunan kediaman meskipun aktiviti pembinan kembali beroperasi.

Penguncupan ini akan diimbangi oleh pemulihan dalam subsektor aktiviti pembinaan khas. -Bernama