Skim Pembiayaan Informal dan Mikro tawar pinjaman RM10,000

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Skim Pembiayaan Informal dan Mikro di bawah Tekun Nasional (Tekun) akan menawarkan pinjaman sehingga RM10,000 pada kadar faedah 0 peratus serta moratorium selama 12 bulan dengan keutamaan kepada peniaga sektor informal dan mikro.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, inisiatif itu membabitkan pembiayaan kredit mikro bernilai hampir RM1.8 bilion yang akan disediakan melalui pelbagai agensi seperti Tekun, Agrobank, Bank Simpanan Nasional (BSN), Bank Rakyat dan Bank Negara Malaysia.

Katanya, Perdana Menteri peka kepada keperluan akses pembiayaan tanpa faedah terutama bagi membantu peniaga kecil.

"Selain itu, BSN dan Agrobank juga akan menawarkan pinjaman mikro sehingga RM75,000 pada kadar 0 peratus untuk enam bulan pertama serta kemudahan moratorium sehingga enam bulan.

"Menyedari kepentingan sumbangan gerakan koperasi, kerajaan akan meneruskan Program Transformasi Ekonomi Gerakan Koperasi (TRANSFER) dengan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi memulihkan aktiviti koperasi yang terjejas," katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Di samping itu beliau berkata, dana sebanyak RM30 juta akan disediakan untuk Program Pembiayaan Intervensi Pemulihan Ekonomi Koperasi.

Katanya, pada masa sama, bagi menyokong aktiviti perniagaan oleh koperasi, program seperti penyediaan tapak perniagaan kendera saji di kawasan bandar utama akan dilaksanakan melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

"Kerajaan juga menyokong perluasan program i-Tekad iaitu sebuah program kewangan sosial yang menawarkan modal permulaan, kredit mikro dan latihan kemahiran kepada usahawan mikro dengan peruntukan sebanyak RM20 juta," katanya.

Artikel Berkaitan: