Bajet 2022: Teks penuh pembentangan Menteri Kewangan

Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat. -Foto Bernama
Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM332.1 bilion bagi Bajet 2022 sekaligus menjadi nilai peruntukan tertinggi dalam sejarah.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, daripada jumlah tersebut, kerajaan bercadang menyediakan RM233.5 bilion bagi belanja mengurus.

Menurut beliau, sebanyak RM75.6 bilion pula untuk belanja pembangunan dan RM23 bilion di bawah Kumpulan Wang Covid-19.


Berikut teks penuh Menteri Kewangan:


MUKADIMAH

1. Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera.

2. Syukur Alhamdulillah, atas nikmat Allah yang terbentang luas sepemandangan; seraya kami bertawakal dan berserah, pada setiap daya yang diikhtiarkan. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wa Sallam – bahawa Bagindalah suri teladan, buat umat manusia zaman-berzaman.

3. Datuk Yang di-Pertua, Ahli-ahli Yang Berhormat, serta saudara dan saudari seluruh Keluarga Malaysia yang dikasihi.

Artikel Berkaitan:

4. Amatlah besar harapan rakyat menjelang Pembentangan Bajet 2022, yang sarat didasari dengan usaha kita semua – sebagai sebuah Keluarga Malaysia, untuk bangkit semula memulih negara.

5. Maka, untuk pembentangan kali ini, Insya-Allah kita harapkan ada perkhabaran-perkhabaran baik. Moga Bajet 2022 menjadi suar harapan, terang menyinar di hujung kemelut pandemik, agar rakyat kembali makmur dalam norma baharu.

PRESTASI DAN CABARAN EKONOMI 2021 DAN 2022

Datuk Yang di-Pertua,

6. Dalam mengharung pandemik global ini, negara-negara sedunia terpaksa mengurus dua beban duka, menyelamat nyawa sejagat dan mempertahan iktisad.

7. Bagi Malaysia, ternyata tahun ini adalah lebih mencabar buat kita. 2021 yang pada awalnya kita jangka sebagai sebuah tahun pemulihan; malangnya telah tertangguh, dek situasi penularan COVID-19 yang terus kritikal sejak pembentangan Belanjawan 2021 setahun lalu.

8. Di luar rencana, COVID-19 bermutasi dan mengganas. Negara kita tidak terkecuali daripada tempias gelombang ketiga sehingga mengakibatkan kes harian pernah mencecah lebih 24 ribu. Kini, jumlah kes direkodkan sudah menjangkau 2.4 juta; dan lebih 28 ribu orang ahli Keluarga Malaysia telah terkorban. Takziah diucapkan kepada ahli keluarga kita yang telah kehilangan orang tersayang akibat virus ini.

9. Buat kesekian kalinya, negara terpaksa mengharungi episod Perintah Kawalan Pergerakan yang panjang, sementara kita laksanakan Pelan Pemulihan Negara yang turut didokong Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan sebagai langkah keluar daripada pandemik durjana ini.

10. Alhamdulillah, kita kini berjaya mencapai 95 peratus penduduk dewasa, dan 62 peratus remaja, yang telah divaksinasi sepenuhnya. Pencapaian ini merupakan antara yang terbaik di dunia. Hasilnya, bilangan kes COVID-19 telah menurun, sementara penggunaan wad ICU bagi kes COVID-19 berada pada tahap 42 peratus. Oleh itu, sistem kesihatan awam kita kini tidak lagi terbeban.

11. Dalam soal memelihara rakyat dan perniagaan, kita tak pernah alpa. Walau digasak pelbagai cabaran dalam ruang fiskal yang terhad, Kerajaan tetap mencari jalan menyediakan bantuan kepada yang memerlukan. Bukanlah perkara yang mudah, tetapi Alhamdulillah, sebanyak lapan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi telah disediakan Kerajaan dengan jumlah keseluruhan 530 bilion ringgit, yang tidak termasuk peruntukan Belanjawan 2021.

12. Pakej-pakej inilah yang telah memastikan kita – ada makanan dihidangkan, ada didikan buat anak watan, ada perniagaan yang dipertahan, ada pekerjaan yang diciptakan dan pastinya masih ada lagi sebuah kehidupan.

13. Melaluinya juga, pertumbuhan ekonomi yang sebelum ini menguncup 5.6 peratus pada 2020, kini telah berkembang 7.1 peratus setakat separuh pertama 2021. Walaupun suku ketiga tahun ini dijangka terkesan ekoran PKP ketiga, namun suku keempat dijangka akan memulih apabila hampir semua negeri beralih ke fasa empat serta sektor ekonomi dan sosial dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penuh. Keseluruhannya, pertumbuhan ekonomi kita dijangka berkembang antara 3 hingga 4 peratus bagi tahun ini, Insya-Allah.

14. Pada tahun depan, ekonomi negara diunjur terus berkembang antara 5.5 hingga 6.5 peratus berpaksikan asas ekonomi yang masih kukuh dan strukturnya yang pelbagai. Namun, prestasi ini turut bergantung kepada faktor-faktor lain, antaranya kejayaan mengawal pandemik, keberkesanan pelaksanaan program vaksinasi serta keteguhan prospek ekonomi dan perdagangan dunia.

BAJET 2022: KELUARGA MALAYSIA, MAKMUR SEJAHTERA

Datuk Yang di-Pertua,

15. Seperti tahun lalu, Bajet 2022 dirangka dengan mengekalkan tradisi keterbukaan #TeamMOF. Bajet ini terhasil dari siri turun padang dan jelajah negeri, perbincangan dengan lebih 30 sesi kumpulan fokus selain mengkaji lebih 1,100 memorandum dan hampir 50 ribu cadangan yang diterima melalui portal Bajet 2022.

16. Lebih bermakna, Bajet 2022 dirangka setelah 80 sesi sumbang saran bersama ahli-ahli Yang Berhormat merentasi doktrin politik, tak kira Kerajaan mahupun Pembangkang. Kita semua telah bermusyawarah, bertukar-tukar pandangan dan sama-sama memikir kemaslahatan negara.

17. Tidak cukup dengan itu, bagi meningkatkan ketelusan penyediaan bajet tahunan, buat julung-julung kalinya #TeamMOF telah menerbitkan Kenyataan Pra-Bajet 2022 dan empat Kertas Konsultasi Awam merangkumi topik berkenaan penambahbaikan perolehan kerajaan, pemberian bantuan tunai, insentif cukai dan tanggungjawab fiskal.

18. Saya rakamkan jutaan penghargaan kepada semua pihak yang meluangkan masa dan mengemukakan idea serta pandangan. Pada kami di MOF, inilah bukti kebersamaan kita dalam mengharungi hari-hari mendatang sebagai sebuah keluarga.

19. Tahun hadapan, tumpuan kita semestinya adalah untuk memulih semula setiap segmen sosioekonomi negara. Usaha untuk membina daya tahan turut digerakkan bagi mengukuh keupayaan perniagaan dan sistem kesihatan dalam mendepani cabaran mendatang. Akhirnya, melangkah ke hadapan, instrumen pembaharuan akan mula dilaksana supaya seiring dengan landskap dunia teknologi tanpa sempadan serta agenda kelestarian.

20. Atas iltizam tersebut, Bajet tahun 2022 akan bertemakan, “Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera”. Bajet kali ini mendokong Tiga Paksi Utama iaitu memperkukuh pemulihan, membina daya tahan dan memacu pembaharuan. Matlamat Bajet 2022 kekal dengan tiga Fokus Induk iaitu:

Pertama: Rakyat Yang Sejahtera;

Kedua: Perniagaan Yang Berdaya Tahan; dan

Ketiga: Ekonomi Yang Makmur dan Mampan.

21. Bajet 2022 yang dijajarkan kepada Rancangan Malaysia Kedua Belas telah diadun sebagai kesinambungan daripada pakej bantuan dan rangsangan ekonomi sebelum ini; juga ditambah baik dan dilengkapi usaha baharu untuk membentuk sebuah Bajet yang inklusif, mampan dan seimbang.

22. Mengambil kira aspirasi, impian dan keperluan ahli Keluarga Malaysia, di samping jangkaan peningkatan hasil Kerajaan bagi tahun 2022 kepada 234 bilion ringgit, Kerajaan akan terus menyediakan bajet yang mengembang.

23. Bajet 2022 akan menyediakan sejumlah 332.1 bilion ringgit – yang menyaksikan nilai peruntukan tertinggi berbanding bajet-bajet sebelum ini. Daripada jumlah tersebut, Kerajaan bercadang untuk menyediakan 233.5 bilion ringgit bagi belanja mengurus, 75.6 bilion ringgit untuk belanja pembangunan dan 23 bilion ringgit di bawah Kumpulan Wang COVID-19. Sejumlah 2 bilion ringgit turut disediakan sebagai simpanan luar jangka. Sungguhpun ini merupakan bajet mengembang, defisit fiskal 2022 diunjur berkurang kepada 6 peratus daripada KDNK berbanding 6.5 peratus pada 2021.

FOKUS PERTAMA: RAKYAT YANG SEJAHTERA

Datuk Yang di-Pertua,

24. Fokus pertama Bajet ini ialah Rakyat Yang Sejahtera. Bagi mendakap erat makna sejahtera, iltizam Keluarga Malaysia atas ilham Yang Amat Berhormat Perdana Menteri memasang impian, agar setiap daripada kita tersemai nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.

STRATEGI 1: MEMULIH KEHIDUPAN DAN MATA PENCARIAN

25. Strategi pertama di bawah fokus ini ialah Memulih Kehidupan dan Mata Pencarian. Tumpuan Kerajaan di bawah strategi ini adalah untuk meneruskan pemberian bantuan tunai langsung secara bersasar, memperkasa aspek pendidikan dan kesihatan awam serta terus menjana peluang-peluang pekerjaan.

Inisiatif 1: Bantuan Tunai Langsung dan Kebajikan

26. Pada tahun hadapan, inisiatif bantuan tunai langsung akan ditambah baik. Kerajaan akan memperkenalkan Bantuan Keluarga Malaysia (atau BKM) dengan beberapa pembaharuan supaya kumpulan yang benar-benar terkesan, diberi lebih tumpuan.

27. Pembaharuan ini telah mengambil kira cadangan yang diterima daripada orang ramai melalui penerbitan Kertas Konsultasi Awam berhubung penambahbaikan bantuan rakyat. Oleh itu, untuk tahun 2022, BKM akan menyalurkan bantuan iaitu sebanyak 2,000 ringgit kepada isi rumah yang mempunyai tiga orang anak atau lebih dengan pendapatan kurang 2,500 ringgit sebulan. Pemberian bantuan ini merupakan peningkatan berbanding 1,800 ringgit iaitu kadar tertinggi di bawah Bantuan Prihatin Rakyat (atau BPR) sebelum ini.

28. Selanjutnya, maklum balas lain yang diterima turut menyentuh soal cabaran yang perlu ditanggung oleh ibu tunggal dalam menyara anak-anaknya; selain warga emas B40 yang kekurangan simpanan persaraan dan tiada sumber pendapatan tetap. Sebagai pembaharuan untuk tahun hadapan, Kerajaan juga akan memberi bantuan tambahan sebanyak 500 ringgit lagi kepada ibu atau bapa tunggal yang mempunyai anak tanggungan dan berpendapatan bulanan sehingga 5,000 ringgit. Selain itu, bantuan tambahan sebanyak 300 ringgit lagi turut diberikan kepada isi rumah warga emas. Ini bermakna, kepada ibu atau bapa tunggal dengan tiga anak atau lebih, layak mendapat BKM maksimum sebanyak 2,500 ringgit.

29. Secara keseluruhan, BKM akan memanfaatkan lebih 9.6 juta penerima dengan peruntukan 8.2 bilion ringgit iaitu peningkatan berbanding 8.6 juta penerima dengan peruntukan 7 bilion ringgit di bawah BPR.

30. Selanjutnya, berhubung bantuan yang disalurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat, syarat kelayakan kebajikan akan dinaikkan kepada Paras Garis Kemiskinan Makanan 2019 iaitu 1,169 ringgit berbanding PGK 2016 iaitu 980 ringgit sebelum ini. Usaha meluaskan liputan perlindungan sosial ini adalah selaras dengan komitmen Kerajaan bagi memastikan bantuan yang sampai ke tangan mereka yang memerlukan, turut mengambil kira kenaikan kos sara hidup semasa. Oleh itu, dengan kenaikan ini, lebih ramai akan menikmati faedah bantuan kebajikan di bawah JKM dengan peruntukan tambahan 200 juta ringgit. Secara keseluruhan, 2.4 bilion ringgit disediakan bagi penyaluran bantuan kebajikan untuk manfaat lebih 440 ribu isi rumah memerlukan.

Datuk Yang di-Pertua,

31. Mengambil ibrah firman Allah Subhanahu Wa Taala dalam surah al-Baqarah ayat 220 – kita diingatkan akan perlunya menjaga kesejahteraan anak-anak yatim. Sejak wabak COVID-19 menjengah ke tanah kita, lebih 4,700 anak-anak telah hilang tempat bermanja, apabila ibu dan bapa mereka pergi buat selamanya akibat virus ini. Sebagai Keluarga Malaysia, menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan masa depan anak-anak ini terus terjaga.

32. Pada tahun hadapan, Kerajaan menyediakan 25 juta ringgit kepada Yayasan Keluarga Malaysia bagi memimpin usaha melindungi kebajikan, pendidikan dan masa depan anak-anak ini. Sebagai tambahan, Kerajaan juga menyeru semua pihak khususnya sektor korporat untuk sama menyumbang demi kebajikan anak-anak ini.

33. Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah berkesempatan melawat anak-anak yang kehilangan ibu dan bapa akibat COVID-19 pada 16 Oktober lalu. Seluruh negara turut melahirkan rasa simpati atas nasib adik-beradik ini. Buat adik Muhammad Hadhrami; Husna Humaira; Muhammad Harraz; Muhammad Hawwas dan Hannan Humaira serta anak-anak yatim piatu Keluarga Malaysia yang lain, kami sayang semua, kami sentiasa ada untuk menjaga kamu semua.

34. Kerajaan menggesa semua pihak tidak kira NGO, komuniti setempat, pemimpin tempatan malah syarikat korporat untuk memainkan peranan bagi memastikan kebajikan anak-anak ini terus terpelihara supaya semua dapat hidup bersama sebagai satu keluarga tanpa terpisah dan dapat membina masa hadapan yang cerah.

Inisiatif 2: Akses Kemudahan Kesihatan Awam

Datuk Yang di-Pertua,

35. Kerajaan akan terus mengutamakan aspek kesihatan awam bagi membina daya tahan negara dalam persediaan kita ke fasa endemik COVID-19. Bajet 2022 menyediakan 32.4 bilion ringgit kepada Kementerian Kesihatan untuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan. Sebagai Kerajaan yang mementingkan kesejahteraan rakyatnya, peruntukan bagi Kementerian Kesihatan adalah yang kedua terbesar selepas Kementerian Pendidikan.

36. Peperangan kita dengan pandemik COVID-19 ini masih belum berakhir. Oleh itu, tambahan 4 bilion ringgit disediakan khusus untuk meneruskan agenda menangani COVID-19 yang merangkumi 2 bilion ringgit bagi membiayai program vaksinasi. Manakala 2 bilion ringgit lagi disediakan bagi meningkatkan kapasiti fasiliti perkhidmatan kesihatan awam seperti pembelian bekalan ubat, bahan guna habis, PPE dan kit kesihatan. Dalam semangat Keluarga Malaysia, Kementerian Kesihatan juga telah menyumber luar ke hospital swasta dan hospital seliaan Kementerian lain bagi mengoptimumkan kapasiti kesihatan dalam negara.

37. Selanjutnya, bagi terus menang dalam melawan COVID-19, Kerajaan bercadang untuk melaksanakan perolehan ubat antiviral yang didapati berkesan terhadap pelbagai virus termasuk COVID-19.

38. Yang utama sekali, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan akan terus diperkasa bagi membekalkan dos ketiga sebagai vaksin penggalak kepada semua orang dewasa di samping meneruskan vaksinasi kepada anak-anak berusia 12 hingga 17 tahun. Kerajaan telah menandatangani perjanjian untuk mendapatkan 88 juta dos iaitu bersamaan lebih 140 peratus penduduk dan cukup untuk memberi dos ketiga kepada semua penduduk berusia 12 tahun dan ke atas.

39. Pada kesempatan ini, saya merakamkan penghargaan kepada semua ahli Yang Berhormat yang sebulat suara meluluskan pindaan Akta untuk membenarkan kegunaan dana Kumpulan Wang Amanah Negara bagi membiayai perolehan vaksin COVID-19. Dengan pindaan ini, Kerajaan akan membelanjakan sebaiknya bagi memenuhi keperluan vaksinasi dalam memulih semula dan membina daya tahan buat rakyat dan perniagaan.

40. Bagi tahun hadapan, Kerajaan bercadang untuk memberikan pelepasan cukai individu dan potongan cukai kepada majikan ke atas kos berkaitan pengambilan vaksin penggalak yang dibiayai sendiri.

Datuk Yang di-Pertua,

41. Aspek kesihatan awam juga akan diberi perhatian. Dalam memupuk budaya sihat serta menangani masalah penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis, darah tinggi dan obesiti, Kerajaan bersetuju untuk meneruskan Agenda Nasional Malaysia Sihat. Dalam sesi sembang santai bersama anak muda, Dr Shantesh Kumar telah membangkit isu berkenaan penyakit jarang jumpa. Oleh itu, Kerajaan akan memantapkan pengurusan Klinikal Penyakit Jarang Jumpa di Malaysia seperti lisosomal.

42. Selain itu, ke arah gaya hidup sihat juga, Kerajaan bercadang untuk meluaskan kenaan duti eksais ke atas produk minuman bergula dalam bentuk pracampuran berasaskan coklat atau koko, malt, kopi dan teh. Kerajaan juga bercadang mengenakan duti eksais ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape.

43. Bagi memastikan kesiapsiagaan perkhidmatan kesihatan awam, Kerajaan akan bekerjasama dengan Persatuan Bulan Sabit Merah dan St John Ambulance untuk meningkatkan akses dan capaian respons perkhidmatan ambulans.

44. Kerajaan telah bersetuju untuk menyambung pelantikan secara kontrak lebih 10 ribu pegawai perubatan, pergigian dan farmasi selepas tempoh khidmat wajib selama dua tahun kepada maksimum empat tahun bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan sebagai persediaan pengajian kepakaran mereka. Sebagai tambahan, sukacita diumumkan Kerajaan bersetuju meluluskan penajaan program kepakaran dengan peruntukan 100 juta ringgit untuk manfaat 3,000 pegawai kontrak perubatan dan pergigian.

45. Krisis pandemik ini telah menerukkan masalah kesempitan hidup, keganasan rumah tangga dan kemurungan sehingga menjadi punca kepada isu kesihatan mental. Maka, Bajet ini memperuntukkan 70 juta ringgit bagi terus memastikan isu kesihatan mental ini diberi keutamaan, antaranya untuk memperkukuh perkhidmatan sokongan, kaunseling dan psikososial, menambah program advokasi serta memperkasa peranan NGO sebagai penggerak program kesihatan mental.

46. Selanjutnya, Kerajaan juga bercadang untuk meluaskan skop pelepasan cukai pendapatan individu bagi perbelanjaan pemeriksaan kesihatan meliputi kos khidmat konsultasi pakar psikiatri, ahli psikologi klinikal dan kaunselor yang berdaftar.

Inisiatif 3: Pendidikan Berkualiti Untuk Semua

Datuk Yang di-Pertua,

47. Bajet ini kekal mengutamakan pendidikan sebagai segmen terpenting perbelanjaan negara. Kementerian Pendidikan Malaysia akan terus menerima peruntukan terbesar iaitu sejumlah 52.6 bilion ringgit atau 16 peratus daripada keseluruhan anggaran perbelanjaan Persekutuan. Sementara itu, Kementerian Pengajian Tinggi bakal diperuntukkan sejumlah 14.5 bilion ringgit.

48. Tidak ada yang lebih menggembirakan buat anak-anak apabila dapat kembali semula ke sekolah secara bersemuka bersama rakan. Setiap awal tahun, tentunya ibu bapalah yang paling sibuk menyediakan kelengkapan sekolah anak-anak. Bagi tahun 2022, Kerajaan bersetuju untuk menyediakan Bantuan Awal Persekolahan sebanyak 150 ringgit iaitu meningkat berbanding 100 ringgit sebelum ini. Sejumlah 450 juta ringgit diperuntukkan yang dijangka memanfaatkan 3 juta murid-murid yang layak.

49. Dengan sekolah mula dibuka, suasana pembelajaran yang kondusif buat anak-anak akan terus diberi perhatian. Pada tahun hadapan, sejumlah 1 bilion ringgit disediakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan sekolah. Peruntukan ini juga termasuk 140 juta ringgit kepada JAKIM bagi menyelenggara antaranya sekolah tahfiz, sekolah agama rakyat dan institusi pondok berdaftar iaitu meningkat berbanding 100 juta ringgit pada tahun 2021.

50. Peruntukan penyelenggaraan kepada lebih 10 ribu sekolah di bawah Kementerian Pendidikan akan diagihkan mengikut jenis sekolah berdasarkan kadar yang seragam. Bagi tahun 2022, sebanyak 120 juta ringgit disediakan untuk manfaat 1,800 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan juga Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.

51. Di samping itu, pada tahun hadapan juga, Kerajaan akan terus menaik taraf sekolah-sekolah daif dengan peruntukan dinaikkan kepada 746 juta ringgit. Sebilangan besar peruntukan ini adalah untuk menaik taraf sekolah daif dengan 112 projek di Sabah dan 165 projek di Sarawak.

52. Bagi memperkasa agenda pendidikan khas, Kerajaan menyediakan 50 juta ringgit antaranya untuk membiayai pembelian peralatan mengajar dan menambah baik fasiliti sekolah berkeperluan khas. Selain itu, sebanyak lapan buah blok baharu pendidikan khas turut dibina, antaranya di SMK Tuanku Lailatul Shahreen di Perlis dan SMK Agama Alor Gajah di Melaka.

53. Bagi memastikan murid-murid daripada keluarga berpendapatan rendah mendapat kandungan khasiat harian demi pertumbuhan fizikal dan mental yang menyeluruh, Kerajaan akan meneruskan penyediaan bekalan susu harian di bawah Rancangan Makanan Tambahan dengan peruntukan 400 juta ringgit. Sebahagian perolehan ini akan dikhaskan kepada pengeluar susu tempatan.

54. Sewaktu pelaksanaan PdPR, para guru memainkan peranan mereka dalam memastikan setiap anak murid tidak tercicir daripada mendapat pendidikan formal. Sebagai menghargai jasa guru yang menyediakan bahan mengajar tambahan kepada murid-murid semasa tempoh pandemik, Bajet ini buat pertama kalinya menyediakan Insentif Khas Alat Bantuan Mengajar secara sekali bayar sebanyak 100 ringgit kepada lebih 400 ribu guru sekolah di bawah KPM.

Datuk Yang di-Pertua,

55. Sepanjang tempoh pandemik, mahasiswa tetap meneruskan pengajian mereka dalam norma yang baharu. Bagi pelajar yang kurang mampu, mereka adakalanya perlu meminjam peranti kawan, atau terpaksa ke pusat internet di pekan, untuk membuat tugasan pengajian. Malah, kadang-kadang ada juga antara mereka yang tidak dapat hadir ke kuliah online. Bagi memastikan proses pengajian para pelajar B40 terus terpelihara, Kerajaan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi terpilih akan melaksanakan inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia bagi membekalkan sebuah tablet kepada setiap pelajar B40 di institusi pengajian tinggi. Bagi tujuan ini, Kerajaan akan menyediakan peruntukan 450 juta ringgit di samping komitmen syarikat telekomunikasi yang turut menyumbang kira-kira 65 juta ringgit. Insya-Allah, seramai 600 ribu siswa-siswi daripada keluarga B40 bakal menerima manfaat daripada inisiatif ini.

56. Sebagai tambahan, Kerajaan bercadang untuk melanjutkan pelepasan khas cukai pendapatan individu sehingga 2,500 ringgit ke atas pembelian telefon bimbit, komputer dan tablet sehingga 31 Disember 2022.

57. Seperti semua maklum, PTPTN ditubuhkan bagi mengurus pinjaman pendidikan yang disediakan sebagai kemudahan kepada pelajar institusi pengajian tinggi tempatan. Sebagai pinjaman, semestinya ia satu amanah yang wajib dibayar semula oleh peminjam. Jika tidak, ia menafikan peluang anak-anak kita pada masa hadapan. Oleh itu, bagi memudahkan proses bayaran balik dan memupuk sikap bertanggungjawab, Kerajaan bersetuju memberikan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN bermula 1 November 2021 hingga 30 April 2022 seperti berikut:

Pertama: Diskaun 15 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman;

Kedua: Diskaun 12 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran; dan

Ketiga: Diskaun 10 peratus untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau debit terus mengikut jadual.

58. Dalam RMK-12, Kerajaan telah mengenal pasti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (atau TVET) sebagai salah satu pemacu perubahan bagi memenuhi permintaan pekerja oleh industri kita dengan lebih baik. Bagi memperkasa bidang TVET, Kerajaan menyediakan 6.6 bilion ringgit untuk melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah kementerian dan agensi-agensi berkaitan. Tumpuan diberikan kepada usaha memenuhi keperluan industri semasa. Sehubungan itu, peruntukan tambahan 200 juta ringgit disediakan untuk program usaha sama dengan industri termasuk Skim Latihan Dual Nasional dan program persijilan industri.

Inisiatif 4: Menjana dan Mengekalkan Pekerjaan

Datuk Yang di-Pertua,

59. Seperti semua sedia maklum, pandemik COVID-19 telah memberi kesan yang signifikan kepada pekerjaan dan mata pencarian rakyat, dengan kadar pengangguran telah meningkat sehingga 5.3 peratus pada Mei 2020. Sungguhpun ia kini telah menyederhana dengan kadar 4.6 peratus pada Ogos 2021, hampir 750 ribu saudara-saudari kita yang masih menganggur perlu dibantu.

60. Oleh itu, mengambil semangat konsep job guarantee, bagi tahun hadapan, Kerajaan di bawah inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia (atau JaminKerja) akan menjamin penyediaan 600 ribu peluang pekerjaan dengan peruntukan berjumlah 4.8 bilion ringgit.

61. Kerajaan melalui PERKESO akan meneruskan usaha pengambilan pekerja melalui inisiatif insentif penggajian JaminKerja dengan sasaran 300 ribu orang dan peruntukan 2 bilion ringgit. Di bawah inisiatif ini, kepada majikan yang mengambil Keluarga Malaysia yang tidak aktif bekerja, Kerajaan akan memberikan insentif sebanyak 20 peratus daripada gaji bulanan bagi tempoh enam bulan pertama dan 30 peratus bagi enam bulan berikutnya tertakluk kepada pekerjaan bergaji 1,500 ringgit ke atas.

62. Selain itu, bagi menggalakkan majikan menyediakan peluang pekerjaan kepada kumpulan tumpuan seperti OKU, Orang Asli dan banduan pula, Kerajaan akan memberikan insentif sebanyak 30 peratus daripada gaji bulanan bagi tempoh enam bulan pertama dan 40 peratus bagi enam bulan berikutnya tertakluk kepada pekerjaan bergaji 1,200 ringgit ke atas. Bagi menggalakkan wanita kembali bekerja, insentif ini turut dipanjangkan kepada majikan yang menggaji golongan wanita tidak bekerja melebihi 365 hari, ibu tunggal dan suri rumah.

63. Selanjutnya, inisiatif Malaysia Short-term Employment Programme atau MySTEP akan diteruskan dengan menawarkan 80 ribu peluang pekerjaan secara kontrak merangkumi 50 ribu pekerjaan dalam sektor awam dan 30 ribu pekerjaan dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan mulai Januari 2022.

64. Bajet ini turut menyasarkan 220 ribu pelatih untuk menjalani pelbagai program latihan dan peningkatan kemahiran dengan peruntukan keseluruhan 1.1 bilion ringgit. Antara inisiatif yang akan dilaksanakan termasuklah program place and train iaitu latihan dengan jaminan pekerjaan. Program peningkatan kemahiran dengan kerjasama industri turut dipergiat dengan keutamaan kepada kemahiran digital seperti contoh program Global Online Workforce (atau GLOW) di bawah MDEC.

65. Contohnya Puan Zeti Haiza, pengurus di sebuah agensi pelancongan di Melaka. Tanpa pelancong dari luar negara, pendapatannya terjejas. Melalui program latihan GLOW oleh MDEC, Puan Zeti menceburkan diri secara freelancing di platform dalam talian untuk menjana pendapatan dari rumah sekali gus boleh menawarkan perkhidmatannya ke luar negara.

66. Berdasarkan keberhasilan pelaksanaan program latihan dan peningkatan kemahiran di bawah Belanjawan 2021, lebih 85 peratus daripada pelatih telah ditawarkan peluang penempatan pekerjaan. Diharapkan melalui pelaksanaan inisiatif JaminKerja serta langkah pemulihan ekonomi dapat menurunkan kadar pengangguran negara kepada 4 peratus dan mencapai tahap guna tenaga penuh.

67. Sebagai usaha menggalakkan Keluarga Malaysia mengikuti program latihan serta menceburi bidang baharu, pelepasan cukai bagi perbelanjaan menghadiri kursus peningkatan kemahiran atau kemajuan diri dinaikkan daripada 1,000 kepada 2,000 ringgit sehingga 2023. Selain itu, kepada yang mengambil kursus dengan badan-badan profesional yang diluluskan, mereka layak mendapat pelepasan cukai ke atas yuran sehingga 7,000 ringgit. Kursus profesional yang diluluskan antaranya merangkumi bidang perakaunan, kewangan serta yang berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (atau ESG).

68. Kerajaan juga bercadang melanjutkan potongan cukai dua kali kepada syarikat yang memberi biasiswa kepada pelajar institusi pengajian tinggi dan diperluas kepada semua bidang pengajian.

Inisiatif 5: Perlindungan Sosial

Datuk Yang di-Pertua,

69. Krisis pandemik ini telah membuktikan bahawa sistem perlindungan sosial perlu diperkukuh dan diberi keutamaan buat semua. Maka, Kerajaan ini komited untuk meneruskan pelbagai dasar dan program perlindungan bagi manfaat Keluarga Malaysia yang memerlukan.

70. Di bawah Program Baucar Perlindungan Tenang, penerima bantuan B40 layak menerima baucar 50 ringgit sebagai bantuan kewangan untuk membeli produk Perlindungan Tenang termasuk takaful hayat dan kemalangan diri. Untuk tahun hadapan, inisiatif ini akan diteruskan dengan nilai baucar ditingkatkan kepada 75 ringgit. Sebagai tambahan, baucar ini juga boleh digunakan untuk membeli polisi insurans komprehensif bagi motosikal 150cc ke bawah mulai 1 Januari 2022. Diharapkan dengan peluasan skop perlindungan ini, kumpulan B40 terutamanya yang menunggang motosikal untuk mencari rezeki akan memperoleh manfaat daripadanya.

71. Selanjutnya, Kerajaan juga bercadang untuk memberikan pengecualian duti setem kepada produk Perlindungan Tenang serta produk insurans atau takaful dengan nilai premium atau sumbangan tidak melebihi 150 ringgit bagi individu dan 250 ringgit bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (atau PMKS).

72. Setakat 30 September 2021, mySalam sebagai skim insurans perubatan khas untuk B40 telah membayar tuntutan berkaitan hospitalisasi dan penyakit kritikal sebanyak lebih 180 juta ringgit kepada 125 ribu pesakit. Di samping itu, 229 ribu individu juga telah menerima pampasan disebabkan COVID-19 dengan nilai keseluruhan 115 juta ringgit. Pada tahun ini, skop mySalam telah diperluas meliputi tuntutan kos peranti perubatan seperti stent untuk jantung. Bagi tahun hadapan, skim MySalam akan diperluas kepada penerima BKM dan manfaat tuntutan kos peranti perubatan juga akan dipanjangkan kepada anak tanggungan penerima mySalam yang layak.

73. Inisiatif i-Saraan dilaksanakan bagi menggalakkan pekerja sektor informal menabung untuk hari persaraan melalui caruman KWSP. Melalui inisiatif ini, Kerajaan mencarum sebanyak 15 peratus daripada caruman sukarela yang dibuat oleh pekerja sektor informal, terhad kepada maksimum 250 ringgit setahun. Bagi tahun 2022, Kerajaan akan meluaskan penerima manfaat inisiatif ini untuk turut merangkumi mereka yang berumur antara 55 sehingga 60 tahun. Sejumlah 30 juta ringgit disediakan untuk memanfaatkan lebih 100 ribu peserta sedia ada dan baharu.

74. Bagi memberi perlindungan sosial kepada suri rumah dan balu melalui caruman ke KWSP dan PERKESO, Kerajaan menyediakan 80 juta ringgit di bawah Program Kasih Suri Keluarga Malaysia khusus untuk manfaat mereka hingga umur 55 tahun.

75. Pada tahun ini, Kerajaan telah meluaskan liputan perlindungan sosial negara di bawah PERKESO untuk turut mencarum bagi pekerja sendiri dan sektor informal. Bagi tahun hadapan, inisiatif ini diteruskan dengan nilai caruman 80 peratus dan meluaskan manfaatnya kepada 9 kategori pekerja sendiri baharu antaranya petani, nelayan, penjaja, artis, ejen pelancongan dan petugas Pemulihan Dalam Komuniti. Inisiatif ini dijangka memanfaatkan lebih 810 ribu pekerja sendiri.

76. Puan Ch’ng Pui Peng dan suaminya yang tinggal di Perak, telah hilang mata pencarian. Selain menyara seorang anak, beliau turut menjaga ibunya yang sudah tua. Sepanjang tempoh mencari peluang kerja baharu, beliau telah diberikan Elaun Mencari Kerja Tambahan di bawah Sistem Insurans Pekerjaan. Wang yang diperolehi, beliau belanjakan sebaiknya untuk menyara keluarga sementara menunggu pekerjaan tetap. Syukur, Puan Ch’ng kini telah kembali bekerja sejak Oktober lalu. Oleh itu, dalam terus membantu individu yang aktif mencari pekerjaan, Kerajaan akan meneruskan pemberian Elaun Mencari Pekerjaan kepada pencarum dan bukan pencarum PERKESO.

77. Sejak penularan wabak COVID-19, ribuan Keluarga Malaysia yang kehilangan punca pendapatan akibat kematian suami, isteri atau ibu bapa telah menerima faedah pencen penakat di bawah PERKESO. Bagi tahun hadapan, Kerajaan bercadang untuk meningkatkan kadar pencen minimum di bawah Skim Keilatan daripada 475 kepada 550 ringgit yang akan membantu 56 ribu isi rumah. Selain itu, inisiatif ini diikuti dengan penyelarasan faedah-faedah PERKESO kepada kos sara hidup yang dijangka akan memanfaatkan lebih 400 ribu penerima faedah sedia ada. Dengan peningkatan ini, Kerajaan juga bercadang meningkatkan siling gaji yang diinsuranskan daripada 4,000 kepada 5,000 ringgit untuk menambah baik liputan keselamatan sosial bagi 9 juta pekerja yang dilindungi oleh PERKESO. Secara keseluruhan, inisiatif ini akan melibatkan penambahan faedah PERKESO yang berjumlah 267 juta ringgit.

78. Kerajaan bercadang untuk meluaskan pelepasan cukai sehingga 4,000 ringgit kepada pencarum KWSP meliputi caruman secara sukarela seperti mereka yang bekerja sendiri dalam sektor gig.

79. Akhir sekali, untuk terus menggalakkan pekerja swasta mencarum dengan PERKESO dan melindungi mereka yang kehilangan pekerjaan, had pelepasan cukai dinaikkan daripada 250 kepada 350 ringgit dan skop pelepasan bagi caruman PERKESO turut diperluas meliputi caruman pekerja melalui Sistem Insurans Pekerjaan.

STRATEGI 2: MEMBANGUN SEBUAH KELUARGA MALAYSIA

Datuk Yang di-Pertua,

80. Strategi kedua adalah untuk Membangun Sebuah Keluarga Malaysia. Apalah maknanya Keluarga Malaysia tanpa inisiatif menyeluruh buat segenap lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa, agama, usia, jantina dan wilayah.

Inisiatif 1: Pembangunan Bumiputera dan Syiar Islam

81. Bajet 2022 memastikan agenda pemerkasaan Bumiputera terus diberi keutamaan dalam usaha untuk merapatkan jurang antara kaum di negara ini. Untuk itu, sejumlah 11.4 bilion ringgit disediakan bagi melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah payung pembangunan Bumiputera.

82. Daripada jumlah tersebut, 6.6 bilion ringgit disediakan bagi kemudahan pendidikan buat anak-anak Bumiputera antaranya di bawah MARA, UiTM dan Yayasan Peneraju. Peruntukan ini disediakan untuk pinjaman pendidikan, menaik taraf program sijil ke diploma, selain usaha melahirkan profesional dalam kalangan Bumiputera di bidang perubatan, kejuruteraan dan kewangan.

83. Manakala, sebanyak 4.8 bilion ringgit pula adalah untuk melaksanakan pelbagai program peningkatan kapasiti dan pembiayaan perniagaan di bawah Perbadanan Usahawan Nasional Berhad, TEKUN Nasional dan Dana Kemakmuran Bumiputera.

84. Sebagai usaha meningkatkan penglibatan syarikat anchor dalam membangunkan vendor Bumiputera tempatan, potongan cukai dua kali bagi perbelanjaan operasi yang layak dinaikkan daripada sehingga 300 ribu kepada sehingga 500 ribu ringgit dan dilanjutkan bagi tempoh 5 tahun sehingga 31 Disember 2025.

85. Akhir sekali, bagi menggalakkan penyertaan belia Bumiputera dalam melaksanakan projek-projek berskala kecil perolehan Kerajaan, sebanyak 200 juta ringgit akan disediakan. Sebagai tambahan, Kerajaan melalui CIDB akan mewujudkan accelerator programme khusus kepada kontraktor belia G1 hingga G4 melalui kursus peningkatan kapasiti dan on-the-job training dengan peruntukan 10 juta ringgit.

Datuk Yang di-Pertua,

86. Aspek pengimarahan syiar Islam juga menjadi tumpuan dalam Bajet 2022. Secara keseluruhan, Kerajaan memperuntukkan 1.5 bilion ringgit bagi pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri.

87. Di bawah payung pendidikan Islam, Kerajaan akan melaksana inisiatif berikut:

Pertama: Membina sebuah Sekolah Menengah Agama di Wilayah Persekutuan Labuan dengan kos keseluruhan projek berjumlah 65 juta ringgit;

Kedua: Meluaskan skop pengajaran Takmir di bawah JAKIM kepada agensi-agensi Kerajaan seperti Jabatan Penjara Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan menambah 1,000 orang Guru Takmir; dan

Ketiga: Menyalurkan pemberian khas sekali bayar sebanyak 500 ringgit untuk manfaat 70 ribu orang Imam, Bilal, Siak, Noja, Marbut, Guru Takmir dan Guru KAFA.

88. Kerajaan akan terus memperkasa wakaf sebagai instrumen agihan semula kekayaan bagi pembangunan ekonomi ummah. Bagi melahirkan lebih ramai usahawan tani dan pengusaha industri halal serta membantu mereka sekiranya ditimpa bencana, Kerajaan akan menyalurkan dana permulaan sebanyak 10 juta ringgit bagi memulakan inisiatif Wakaf Halal PKS, Wakaf Pertanian dan Wakaf Bencana. Syarikat-syarikat Korporat dan individu dialu-alukan untuk mewakafkan harta mereka ke dalam tabung ini.

Inisiatif 2: Pembangunan Semua Kaum

Datuk Yang di-Pertua,

89. Selain daripada program-program nasional untuk manfaat semua, sebanyak 200 juta ringgit turut disediakan khusus untuk kaum Cina. Peruntukan ini antaranya untuk melaksanakan program baik pulih rumah dan kemajuan kampung baru, akses pembiayaan bagi penduduk kampung baru dan Skim Pembiayaan Usahawan PKS.

90. Bagi kaum India pula, sebanyak 145 juta ringgit disediakan antaranya untuk melaksanakan program memperkasa sosioekonomi komuniti India di bawah Unit Transformasi Masyarakat India dan dana pembiayaan di bawah Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India oleh TEKUN.

91. Dalam menggalakkan anak-anak Sabah dan Sarawak mendalami ilmu berkaitan budaya dan warisan, sebanyak 10 juta ringgit disediakan untuk tujuan ini.

92. Kepada komuniti Orang Asli pula, sebanyak 274 juta ringgit diperuntukkan, antaranya bagi melaksanakan Program Peningkatan Taraf Hidup Orang Asli seperti pemberian subsidi dan bantuan persekolahan serta bantuan kebajikan untuk manfaat hampir 200 ribu Orang Asli. Untuk tahun hadapan, Kerajaan akan menaikkan kadar wang saku murid sekolah menengah kepada 4 ringgit sehari.

93. Bagi mendokong agenda perpaduan dan budaya sukarela di peringkat komuniti, Kerajaan menyediakan geran 6,000 ringgit untuk setiap Kawasan Rukun Tetangga (atau KRT). Lebih 8,000 KRT akan menerima manfaat daripada geran ini dengan peruntukan sebanyak 50 juta ringgit.

94. Kerajaan juga memperuntukkan 50 juta ringgit bagi kerja-kerja pembaikan, penyelenggaraan dan pembangunan kecil rumah ibadat di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan. Peruntukan ini turut merangkumi pelaksanaan aktiviti-aktiviti komuniti dengan kerjasama pengurusan rumah ibadat dan penduduk setempat.

Inisiatif 3: Pembangunan Wanita

Datuk Yang di-Pertua,

95. Bila kita sebut perihal seorang yang bernama wanita, merekalah insan yang begitu istimewa dan patut dihargai sebagai pasangan kita dunia akhirat. Kaum wanita, jika diberi peluang dan ruang, boleh menjadi daya penggerak utama produktiviti dan ekonomi negara. Kita seharusnya memastikan kaum wanita dapat memenuhi potensi mereka dalam menyumbang kepada kesejahteraan kita bersama.

96. Sumbangan wanita dalam ekonomi tidak pernah dinafikan malah perlu diperkukuh. Buat masa ini, golongan wanita memegang 25 peratus daripada komposisi ahli lembaga pengarah bagi 100 syarikat awam utama. Namun, masih terdapat 27 peratus atau 252 syarikat-syarikat tersenarai di Bursa Malaysia yang belum mempunyai komposisi pengarah wanita. Bagi mengiktiraf peranan wanita dalam proses membuat keputusan dan memperkukuh kepimpinan serta keberkesanan lembaga pengarah, Kerajaan melalui Suruhanjaya Sekuriti akan mewajibkan pelantikan sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita bagi semua syarikat senaraian awam. Cadangan ini dijangka berkuat kuasa pada 1 September 2022 bagi syarikat bermodal besar dan 1 Jun 2023 bagi syarikat tersenarai lain.

97. Selain itu, Kerajaan juga menyediakan 5 juta ringgit kepada Yayasan Kepimpinan Wanita bagi merancakkan penyertaan wanita dalam sektor ekonomi melalui antaranya latihan kepimpinan muda dan program keusahawanan.

98. Bagi membantu usahawan wanita yang turut terkesan akibat COVID-19 serta sebagai langkah meningkatkan kapasiti perniagaan mereka, sejumlah 230 juta ringgit dana pembiayaan akan disediakan antaranya melalui Program DANANITA di bawah MARA dan TEKUNITA di bawah TEKUN.

99. Kerajaan juga akan melaksanakan Program MyKasih Kapital untuk menggalakkan wanita menjana pendapatan dari rumah. Insentif dalam bentuk bantuan asas modal perniagaan akan diberikan di samping program bimbingan bagi menggalakkan perniagaan secara dalam talian. 5,000 peserta termasuk 2,000 ibu tunggal akan meraih manfaat daripada program ini.

100. Bagi menambah baik sistem sokongan sedia ada buat kaum ibu berkerjaya, 30 juta ringgit disediakan untuk menyediakan kemudahan taska di bangunan-bangunan Kerajaan, terutamanya di hospital dan universiti awam. Kerajaan juga menggalakkan majikan sektor swasta untuk pengaturan kerja fleksibel serta menyediakan kemudahan taska di pejabat. Untuk itu, selain insentif cukai, Kerajaan turut akan meminda garis panduan bagi membenarkan taska beroperasi di aras melebihi tingkat 1 pejabat.

101. Sebagai mengiktiraf wanita berkerjaya yang menguruskan anak-anak mereka ketika waktu bekerja, Kerajaan bercadang untuk melanjutkan pelepasan cukai pendapatan individu sehingga 3 ribu ringgit bagi bayaran yuran taska dan tadika sehingga tahun taksiran 2023.

102. Kita harus akui pada tangan suri kita, tersemat keringat yang menghayun buaian, yang memupuk dan sama menyumbang kepada kehidupan. Namun, kadangkala ada pula tangan-tangan lain yang tidak mengerti perjuangan seorang ibu, isteri, dan puteri sehingga tergamak berkelakuan tidak manusiawi. Ini tidak sepatutnya berlaku.

103. Oleh itu, dalam perjuangan menoktahkan kerakusan ini, Kerajaan bersedia untuk memperuntukkan 13 juta ringgit khas untuk memperkasa Bahagian D11 Polis Diraja Malaysia bagi Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak, termasuk pewujudan 100 perjawatan baharu. Di samping itu, program kesedaran komuniti berhubung keganasan terhadap wanita di seluruh negara melalui Skuad WAJA akan dilaksanakan.

104. Selain itu, bagi melindungi kebajikan lebih ramai mangsa keganasan rumah tangga, Kerajaan juga akan menambah Pusat Sokongan Sosial Setempat serta bekerjasama dengan NGO untuk meningkatkan bilangan Rumah Perlindungan Khas Wanita.

105. Aspek kesihatan dan kebersihan diri remaja wanita amat penting dalam mengurangkan sebarang risiko kesihatan dan keciciran di sekolah. Timbalan saya, YB Paya Besar dalam sebuah sesi libat urus telah mengenal pasti satu isu serius. Dianggarkan 130 ribu remaja wanita dari keluarga B40 di Malaysia tidak mendapat akses kepada produk kebersihan seperti tuala wanita atas sebab kekangan kewangan. Oleh itu, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Malaysia dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia akan mengedarkan secara percuma kit asas kebersihan diri setiap bulan kepada 130 ribu remaja wanita golongan B40. Di samping itu, kempen dan pendidikan kesihatan reproduktif juga akan terus dijalankan di sekolah-sekolah dengan kerjasama pihak NGO.

106. Selanjutnya, berhubung segmen kesihatan wanita juga, sejumlah lebih 11 juta ringgit disediakan sebagai subsidi ujian mammogram kepada wanita berisiko tinggi dan melaksanakan ujian saringan kanser serviks kepada wanita.

Inisiatif 4: Pembangunan Komuniti Tumpuan

Datuk Yang di-Pertua,

107. Kerajaan ini akan terus giat melaksanakan program-program pembangunan sosioekonomi dan memelihara kebajikan komuniti tumpuan, terutamanya melibatkan warga emas, kanak-kanak, OKU dan lain-lain.

108. Menjelang tahun 2030, Malaysia bakal dikategorikan sebagai negara menua. Bagi memastikan setiap warga emas yang memerlukan mendapat sokongan berterusan, Bajet ini menyediakan lebih 635 juta ringgit khusus untuk bantuan kebajikan, institusi penjagaan dan pusat aktiviti warga emas.

109. Aspek keselamatan kanak-kanak adalah penting lebih-lebih lagi ketika kita sedang berada di jalan raya untuk menuju ke suatu destinasi. Bagi memastikan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak di dalam kereta, Kerajaan akan mensubsidi 50 peratus atau sehingga 150 ringgit untuk pembelian kerusi keselamatan kanak-kanak oleh keluarga B40. Sejumlah 30 juta ringgit disediakan untuk tujuan ini dan bakal memanfaatkan 188 ribu keluarga B40.

110. Selanjutnya, aspek kesihatan kanak-kanak juga perlu dititikberatkan. Masalah kurang zat terutamanya dalam kalangan kanak-kanak miskin bandar sangat membimbangkan. Bagi tahun hadapan, Kerajaan menyediakan 24 juta ringgit bagi:

Pertama: Meluaskan Program Community Feeding kepada kanak-kanak daripada keluarga miskin bandar di Selangor, Johor, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan sasaran untuk menyediakan makanan tambahan lima kali seminggu kepada 100 kanak-kanak berusia 1 hingga 6 tahun;

Kedua: Meluaskan skop penerima bantuan Program Pemulihan Kanak-kanak Kekurangan Zat Makanan bagi manfaat lebih 1,100 kanak-kanak; dan

Ketiga: Menubuhkan Bank Susu Ibu untuk bayi pramatang di Neonatal Care Unit melibatkan hospital di Pulau Pinang, Johor, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Datuk Yang di-Pertua,

111. Kebajikan golongan OKU tidak pernah dilupakan. Bagi tahun hadapan, Kerajaan menyediakan peruntukan khusus 30 juta ringgit bagi menaik taraf infrastruktur bangunan Kerajaan supaya mesra OKU. Peruntukan ini antaranya untuk menyediakan lebih banyak laluan khas bagi kegunaan golongan cacat penglihatan.

112. Selain itu, 10 juta ringgit juga diperuntukkan untuk Pusat Latihan Berdikari serta sebuah Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan Kerajaan bagi melaksanakan program latihan dan bimbingan ajar kepada golongan OKU.

113. Bagi memastikan tempat buat anak muda OKU menceburi bidang pekerjaan, Kerajaan akan menyediakan kuota khas sebanyak 1 peratus untuk program MyStep kepada golongan OKU.

114. Mungkin tidak ramai yang mengenali gerangan Puan Tan Lee Bee, Khairunnisa Kho Abdullah, Wan Zuraidah Abu dan Goh Soo Leng. Merekalah sebenarnya yang berjasa sebagai jurubahasa isyarat yang sering kita lihat di sudut kaca televisyen. Bagi meningkatkan akses terhadap media di samping membolehkan golongan OKU cakna dengan berita semasa dan informasi terkini, dengan bantuan BERNAMA, semua rangkaian TV termasuk saluran swasta akan menyediakan jurubahasa isyarat dalam penyampaian berita mereka.

115. Bagi tahun hadapan, Kerajaan bersetuju untuk menanggung sepenuhnya bayaran Lesen Kenderaan Motor kepada semua kenderaan persendirian yang dimiliki oleh OKU. Harapnya, ini sedikit sebanyak meringankan kos sara hidup golongan OKU.

116. Program Pemulihan Dalam Komuniti merupakan antara medium intervensi awal untuk anak-anak kurang upaya meningkatkan kemahiran diri dan menceburi pekerjaan. Setakat ini, USM merupakan universiti pertama yang melaksanakan program ini. Tahun hadapan, Kerajaan bercadang untuk meluas pelaksanaannya ke universiti-universiti awam lain.

Inisiatif 5: Pembangunan Belia dan Sukan

Datuk Yang di-Pertua,

117. Pemuda-pemudi belia negara ialah penentu pada jatuh bangunnya negara ini. Pendedahan kepada alam pekerjaan amat penting untuk mereka berhadapan dengan dunia sebenar yang kian mencabar. Sejak 2019, Kerajaan telah mula membayar elaun sebanyak 900 ringgit kepada pelajar yang menjalani program latihan industri. Oleh itu, saya menyeru agar pihak swasta turut memberi elaun sekurang-kurangnya 900 ringgit atas khidmat pelajar tersebut.

118. Selain itu, Kerajaan akan menyediakan insentif kepada majikan yang menggaji perantis lepasan sekolah dan graduan berumur 18 hingga 30 tahun sebanyak 900 ringgit sebulan bagi tempoh enam bulan; iaitu meningkat berbanding 800 ringgit sebelum ini.

119. Bagi belia yang menceburi bidang keusahawanan pula, pelan pembiayaan sebanyak 150 juta akan disediakan di bawah Bank Simpanan Nasional dan Agrobank.

120. Kerajaan bercadang untuk melanjutkan galakan cukai bagi Program Latihan Industri Berstruktur sehingga tahun taksiran 2025 dan turut diperluas kepada pelajar di peringkat Ijazah Sarjana, Sijil Profesional serta Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 1 dan 2.

121. Bagi memupuk budaya transaksi tanpa tunai di premis perniagaan, Kerajaan memperkenalkan program e-Start iaitu sebuah Skim Transaksi Tanpa Tunai. E-Start akan mengkreditkan 150 ringgit secara one-off ke dalam akaun e-dompet para belia berumur 18 hingga 20 tahun dan juga pelajar sepenuh masa di institusi pengajian tinggi. Dengan peruntukan 300 juta ringgit, Kerajaan berharap lebih 2 juta belia yang menerima manfaat daripada program ini dapat menggunakan sebaiknya melalui pembelian berguna seperti buku dan kelengkapan pembelajaran.

122. Lagu Negaraku, yang berkumandang di bumi Tokyo menandakan kejayaan atlet kita merangkul pingat emas di Kejohanan Paralimpik Tokyo. Tahniah diucapkan khususnya kepada Bonnie Bunyau Gustin, Cheah Liek Hou dan Abdul Latif Romly serta seluruh kontinjen negara atas pencapaian membanggakan ini. Menjelang Paralimpik Paris 2024, kejayaan yang lebih besar pastinya menjadi sasaran. Bagi memperkasa Sukan OKU, 10 juta ringgit diperuntukkan kepada Majlis Sukan Negara khusus untuk meningkatkan program latihan atlet OKU dan melaksanakan Liga Sukan OKU.

123. Dalam konteks yang lebih luas, Bajet ini turut menyediakan 159 juta ringgit bagi membina, menaik taraf dan menyelenggara kemudahan sukan di seluruh negara. Peruntukan ini antaranya untuk memulakan pembinaan sebuah stadium di Bukit Merbau, Pasir Putih, Kelantan merangkumi pelbagai fasiliti sukan seperti gelanggang hoki, lapang sasar menembak dan pusat akuatik.

124. Bagi memastikan rakyat kembali aktif selaras pemulihan pasca-COVID 19, Kerajaan akan memperuntukkan 50 juta ringgit bagi melaksanakan program seperti pembudayaan gaya hidup aktif, Fit Forever dan Penganjuran Hari Sukan Negara.

125. E-Sukan kini sudah menjadi fenomena baharu dalam kalangan anak muda dan dilihat mempunyai prospek terbaik pembangunan sukan negara. Bagi merancakkan pertumbuhan e-Sukan, 20 juta ringgit disediakan bagi pembangunan e-Sukan kebangsaan termasuk 5 juta ringgit untuk mewujudkan Pusat Kecemerlangan Sukan Dron.

126. Saya amat gembira apabila membaca berita bahawa terdapat atlet e-Sukan anak tempatan yang berjaya meraih pencapaian cemerlang di kejohanan antarabangsa di Romania baru-baru ini. Kejayaan seperti ini adalah bukti bahawa negara kita mempunyai bakat-bakat muda yang perlu disokong dan digilap. Bagi mengiktiraf pencapaian atlet e-Sukan kelahiran Malaysia yang telah mengharumkan nama negara seperti NothingToSay, xNova, Mushi dan Oli, Kerajaan bercadang untuk memberikan pengecualian cukai pendapatan ke atas wang hadiah kemenangan kejohanan e-sukan yang layak.

127. Industri sukan juga terjejas akibat pandemik COVID-19. Larangan aktiviti sukan tertentu telah menyebabkan banyak pengusaha fasiliti sukan berdepan cabaran untuk memulakan semula perniagaan mereka setelah ekonomi kembali dibuka. Untuk meringankan keperluan kewangan pengusaha, Bank Simpanan Nasional akan menyediakan dana pembiayaan sehingga 50 juta ringgit dengan kadar faedah 0 peratus untuk enam bulan pertama dan moratorium untuk enam bulan.

STRATEGI 3: MEMBINA KEHIDUPAN YANG KONDUSIF

128. Strategi ketiga adalah untuk Membina Kehidupan Yang Kondusif. Usaha di bawah strategi ini tertumpu kepada meringankan kos sara hidup, menggalakkan pemilikan rumah kediaman, akses kepada kemudahan pengangkutan, pembangunan infrastruktur luar bandar serta pertahanan dan keselamatan awam.

Inisiatif 1: Meringankan Kos Sara Hidup

Datuk Yang di-Pertua,

129. Secara keseluruhan, Kerajaan menyediakan lebih 31 bilion ringgit khusus untuk subsidi, bantuan dan insentif bagi Bajet 2022. Peruntukan ini adalah untuk meminimum kesan peningkatan kos sara hidup rakyat melibatkan kawalan harga barang dan perkhidmatan.

130. Bagi memastikan kawasan luar bandar, khususnya di Sabah dan Sarawak, mendapat barangan keperluan asas seperti LPG dan petrol pada harga yang berpatutan, Kerajaan memperuntukkan 200 juta ringgit untuk membiayai kos pengangkutan dan pengedaran barangan asas ke kawasan luar bandar.

131. Kerajaan amat memahami kekangan kewangan yang dihadapi oleh rakyat akibat PKP yang berpanjangan, terutamanya dari segi pengurusan aliran tunai. Untuk menambah wang dalam tangan kepada rakyat, KWSP akan melanjutkan tempoh pengurangan kadar caruman minimum KWSP daripada 11 kepada 9 peratus sehingga Jun 2022 melibatkan anggaran nilai 2 bilion ringgit.

132. Untuk mengurangkan kos pemilikan kenderaan, Kerajaan juga akan melanjutkan 100 peratus pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan penumpang CKD dan 50 peratus ke atas CBU termasuk MPV dan SUV selama enam bulan sehingga 30 Jun 2022.

Inisiatif 2: Pemilikan Rumah Kediaman

Datuk Yang di-Pertua,

133. Setiap daripada Keluarga Malaysia berhak memiliki rumah kediaman sebagai keperluan kehidupan. Untuk itu, Kerajaan akan meneruskan projek-projek perumahan khususnya kepada golongan berpendapatan rendah dengan nilai keseluruhan 1.5 bilion ringgit. Peruntukan ini antaranya bagi meneruskan program-program rumah mesra rakyat dan bantuan menyelenggara perumahan rakyat. Pada masa yang sama, Kerajaan tidak lagi mengenakan Cukai Keuntungan Harta Tanah bagi pelupusan oleh individu warganegara, pemastautin tetap dan selain syarikat mulai tahun ke enam dan ke atas.

134. Saya mendengar keluhan pekerja gig, pengusaha kecil dan petani yang sukar membeli rumah kerana tiada pendapatan tetap sehingga menyebabkan mereka sukar mendapatkan pinjaman perumahan. Ada antara mereka yang sebenarnya mempunyai keupayaan untuk membayar balik pinjaman tetapi tiada bukti pendapatan tetap. Untuk tahun hadapan, bagi membantu kumpulan ini membeli rumah, Kerajaan menyediakan jaminan sehingga 2 bilion ringgit kepada bank melalui Skim Jaminan Kredit Perumahan untuk memberi akses pembiayaan kepada golongan ini membeli rumah.

Inisiatif 3: Akses Kemudahan Pengangkutan

Datuk Yang di-Pertua,

135. Penduduk di pedalaman Sabah dan Sarawak ada yang terpaksa menempuh jalan balak dan memakan masa berjam-jam untuk mendapatkan perkhidmatan di pekan berdekatan. Kerajaan memahami kesukaran yang dihadapi oleh mereka seperti penduduk di Kudat dan Long Pasiah di Sabah serta Ba’kelalan dan Bario di Sarawak. Oleh itu, bagi tahun hadapan, Kerajaan akan terus memberikan subsidi sebanyak 209 juta ringgit bagi perkhidmatan pengangkutan udara untuk manfaat penduduk setempat.

136. Saya tertarik dengan perkhidmatan tren yang kini sedang tular iaitu ‘Train to Dabong’. Dabong di Kuala Krai, Kelantan memang merupakan kawasan tumpuan bagi akitiviti ekopelancongan dan harga tambang tiket kereta api untuk ke sana juga adalah berpatutan. Perkhidmatan tren KTMB sememangnya sentiasa penuh pada hujung minggu. Pada hari-hari biasa pula, kebanyakan penumpang merupakan murid-murid sekolah. Mereka kini menerima manfaat di bawah inisiatif Pas MyRail5 yang cuma berharga 5 ringgit sebulan untuk perjalanan tanpa had. Oleh itu, Kerajaan akan meneruskan pemberian subsidi bagi menampung sebahagian kos operasi perkhidmatan tren kurang ekonomik di luar bandar terutamanya di wilayah timur dan meneruskan inisiatif Pas MyRail5 untuk manfaat murid sekolah.

137. Selain inisiatif ini, Kerajaan juga menyediakan 80 juta ringgit sebagai Dana Bantuan Sementara Bas Henti-henti untuk manfaat pengendali bas henti-henti dan 115 juta ringgit bagi inisiatif pas perjalanan bas dan rel tanpa had dengan harga 50 ringgit sebulan untuk pengguna terutamanya di Lembah Klang.

Inisiatif 4: Infrastruktur Luar Bandar

Datuk Yang di-Pertua,

138. Kerajaan akan terus menambah baik aspek kesejahteraan penduduk luar bandar dalam usaha mengurangkan jurang pembangunan antara wilayah. Bagi tahun hadapan, lebih 2.5 bilion ringgit disediakan bagi melaksanakan pelbagai program berikut:

Pertama: Hampir 1.5 bilion ringgit untuk projek jalan luar bandar dan jalan perhubungan desa sepanjang 519 kilometer bagi manfaat lebih 130 ribu penduduk setempat;

Kedua: 382 juta ringgit bagi bekalan air luar bandar dan bekalan air alternatif dengan sasaran 4,800 buah rumah;

Ketiga: 485 juta ringgit untuk bekalan elektrik luar bandar dengan sasaran lebih 2,100 buah rumah; dan

Keempat: 107 juta ringgit bagi memasang 7 ribu unit Lampu Jalan Kampung, menyelenggara lebih 500 ribu unit Lampu Jalan Kampung dan menaik taraf 20 buah jambatan uzur serta kerja-kerja awalan bagi 30 buah jambatan baharu.

Daripada keseluruhan peruntukan ini, sebahagian besar iaitu 1.5 bilion ringgit disediakan untuk pembangunan infrastruktur luar bandar Sabah dan Sarawak.

Inisiatif 5: Pertahanan & Ketenteraman Awam

Datuk Yang di-Pertua,

139. Kemakmuran ekonomi tidak akan tercapai tanpa negara yang aman dan damai. Bagi tahun hadapan, Bajet ini menyediakan peruntukan kepada Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri masing-masing sebanyak 16 bilion dan 17 bilion ringgit.

140. Antaranya sejumlah 1.6 bilion ringgit diperuntukkan untuk mempertingkatkan kesiagaan aset-aset utama Angkatan Tentera Malaysia. Peruntukan ini turut melibatkan 14 juta ringgit bagi mengganti peralatan utama PASKAL dan PASKAU seperti payung terjun, alat selam litar tertutup dan bot.

141. Kebajikan anggota-anggota polis dan tentera kita juga tetap menjadi keutamaan. Bagi tahun hadapan, 230 juta ringgit disediakan untuk kerja-kerja menyelenggara sekolah dalam kem tentera, fasiliti ketenteraan dan Rumah Keluarga Angkatan Tentera. Peruntukan ini turut melibatkan penggantian dan pembaikan lif serta kuarters PDRM.

142. Ke arah memperkukuh kedaulatan negara, Kerajaan akan menambah lapan pos kawalan Pasukan Gerakan Am antaranya di Pagalungan di Sabah dan Temong Mura di Sarawak bagi meningkatkan kawalan keselamatan sempadan yang berterusan oleh anggota penguatkuasaan.

143. Selain itu, Kerajaan juga akan menambah empat pintu masuk imigresen baharu antaranya di Telok Melano dan Baleh, Sarawak bagi memenuhi keperluan peningkatan pergerakan melalui imigresen susulan perubahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan dan pembukaan Lebuh Raya Pan Borneo jajaran Telok Melano.

144. Dalam menghadapi musim banjir Monsun Timur Laut, kesiapsiagaan Agensi Pengurusan Bencana Negara adalah amat penting. Bagi tahun 2022, peruntukan sebanyak 100 juta ringgit disediakan, antaranya bagi meringankan beban mangsa banjir melalui pemberian Kit Makanan.

145. Selanjutnya, Kerajaan akan melaksanakan inisiatif Malaysian Incentive Community Empowerment melalui pemberian geran sehingga 10 ribu ringgit kepada 2,000 pertubuhan yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia dalam kategori Kebajikan, Sosial, Keselamatan dan Hak Asasi. Inisiatif ini melibatkan peruntukan sebanyak 20 juta ringgit.

FOKUS KEDUA: PERNIAGAAN YANG BERDAYA TAHAN

Datuk Yang di-Pertua,

146. Daripada secekal-cekal peniaga kecil hinggalah sebesar syarikat multinasional, semua segmen perniagaan menerima impak langsung daripada krisis COVID-19. Misalnya, dilaporkan bahawa lebih 37 ribu perniagaan PKS telah ditutup semenjak krisis ini bermula. Dalam meminimum kesan ini, Kerajaan telah umumkan pelbagai inisiatif melalui pakej-pakej bantuan dan rangsangan bagi memastikan kelangsungan perniagaan.

147. Dengan kebanyakan sektor ekonomi kini kembali beroperasi, permintaan domestik dijangka memulih. Namun, masih terdapat sebilangan segmen ekonomi yang terjejas teruk, memerlukan sokongan untuk bangkit semula dan membina daya tahan. Maka, fokus kedua iaitu Perniagaan Yang Berdaya Tahan akan menumpukan kepada strategi untuk mengembalikan keupayaan perniagaan melalui akses kepada pembiayaan, memacu pelaburan strategik dan memulih sektor-sektor tumpuan.

STRATEGI 1: MENGEMBALI KEUPAYAAN PERNIAGAAN

148. Dalam mengembali keupayaan perniagaan sebagai strategi pertama, Kerajaan sebagai pemudah cara akan memperbanyak akses pembiayaan kepada sektor perniagaan, terutamanya untuk pengusaha PMKS dan sektor informal. Berdasarkan sesi libat urus yang telah saya hadiri dengan pelbagai pihak, akses kepada kemudahan pembiayaan kerap kali dibangkitkan, baik oleh usahawan kecil, mahupun syarikat besar.

149. Untuk itu, bagi tahun 2022, pakej pembiayaan dengan nilai keseluruhan berjumlah 40 bilion ringgit disediakan di bawah Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia (atau SemarakNiaga). Skim pembiayaan ini merangkumi pinjaman langsung, jaminan pembiayaan dan suntikan ekuiti dengan sasaran untuk memanfaatkan setiap golongan usahawan tidak kira perusahaan mikro ataupun syarikat tersenarai awam.

Inisiatif 1: Skim Kredit Mikro

150. Tahun depan, pembiayaan kredit mikro bernilai hampir 1.8 bilion ringgit akan disediakan melalui pelbagai agensi seperti TEKUN, Agrobank, BSN, Bank Rakyat dan Bank Negara Malaysia. Yang Amat Berhormat Perdana Menteri peka akan perlunya akses kepada pembiayaan tanpa faedah disediakan terutamanya bagi membantu para peniaga kecil.

151. Dengan itu, Skim Pembiayaan Informal dan Mikro di bawah TEKUN akan menawarkan pinjaman sehingga 10 ribu ringgit pada kadar faedah 0 peratus berserta moratorium selama 12 bulan dengan keutamaan diberi kepada peniaga sektor informal dan mikro. Selain itu, BSN dan Agrobank juga akan menawarkan pinjaman mikro sehingga 75 ribu ringgit pada kadar 0 peratus untuk enam bulan pertama berserta kemudahan moratorium sehingga enam bulan.

152. Menyedari kepentingan sumbangan gerakan koperasi, Kerajaan akan meneruskan Program Transformasi Ekonomi Gerakan Koperasi (TRANSFER) dengan peruntukan sebanyak 10 juta ringgit bagi memulihkan aktiviti koperasi yang terjejas. Di samping itu, dana sebanyak 30 juta ringgit akan disediakan untuk Program Pembiayaan Intervensi Pemulihan Ekonomi Koperasi. Pasa masa sama, bagi menyokong aktiviti perniagaan oleh koperasi, program seperti penyediaan tapak perniagaan food truck di kawasan bandar utama akan dilaksanakan melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

153. Kerajaan juga menyokong perluasan program I-TEKAD, iaitu sebuah program kewangan sosial yang menawarkan modal permulaan, kredit mikro dan latihan kemahiran kepada usahawan mikro dengan peruntukan sebanyak 20 juta ringgit.

Inisiatif 2: Pembiayaan Perniagaan dan Pembiayaan Alternatif

Datuk Yang di-Pertua,

154. Untuk syarikat yang berdaya maju namun mempunyai kekangan mendapatkan dana baharu kerana terjejas oleh situasi semasa, Kerajaan dan institusi kewangan telah merangka suatu pembiayaan bentuk baharu yang lebih anjal bagi membolehkan syarikat mempunyai lebih keupayaan untuk memulihkan perniagaan.

155. Satu perkembangan menarik sewaktu pandemik ini ialah peningkatan pesat dalam pembiayaan melalui kaedah equity crowd funding dan peer-to-peer financing, iaitu lebih 1.3 bilion ringgit dana diperolehi melalui kaedah-kaedah ini sejak tempoh pandemik bermula. Makanya, bentuk pembiayaan sebegini akan terus disokong dengan peruntukan 80 juta ringgit secara geran padanan untuk Malaysia Coinvestment Fund, tambahan kepada pelaburan oleh BPMB sebanyak 100 juta ringgit.

156. Bagi membantu syarikat yang berdepan masalah gearing atau leveraj, kaedah pendanaan bernilai 2.1 bilion ringgit melalui pelaburan ekuiti dan quasi-equity akan diperkenalkan. Kaedah ini akan diterajui oleh SME Bank dengan kerjasama TERAJU dan BSN dengan dana bernilai 600 juta ringgit dan terbuka kepada semua terutamanya usahawan Bumiputera. Selain itu, BPMB juga akan menawarkan Skim RESET (atau Rehabilitation and Support Through Equity) dan BNM juga menyediakan Business Recapitalisation Fund bernilai 1 bilion ringgit untuk tujuan yang sama.

157. Secara keseluruhan, sejumlah 14.2 bilion ringgit dana tersedia untuk PKS. Untuk ketersediaan dana yang berterusan, dana khas BNM terutamanya Targeted Relief and Recovery Facility telah ditingkatkan sebanyak 2 bilion ringgit dan menjadikan jumlah ketersediaan pelbagai dana PKS BNM pada masa ini sebanyak 11.2 bilion ringgit. Selain itu, institusi kewangan seperti SME Bank, PUNB, BPMB, AgroBank, MIDF dan MARA turut menyediakan dana untuk PKS.

158. Satu inisiatif khusus untuk membantu syarikat tersenarai di Bursa juga akan diperkenalkan. Inisiatif ini bertujuan membantu syarikat berdaya maju tetapi terkesan akibat pandemik COVID-19 mendapat suntikan dana tambahan melalui sebuah SPV milik Kerajaan dalam bentuk instrumen ekuiti atau instrumen lain yang berkaitan. Untuk tujuan ini, Khazanah Nasional Berhad akan diberi mandat bagi membantu Kerajaan menyediakan infrastruktur untuk mentadbir dana bersaiz sekurang-kurangnya 3 bilion ringgit.

Inisiatif 3: Jaminan Pembiayaan Perniagaan

Datuk Yang di-Pertua,

159. Sehingga kini, Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (atau SJPP) telah memberikan jaminan pembiayaan perniagaan bernilai lebih 46 bilion ringgit kepada lebih 44 ribu syarikat. Ia telah membantu memudahkan PKS mendapat pembiayaan terutamanya dalam tempoh sukar ini. Lantaran itu, SJPP akan ditambah baik dengan menyediakan jaminan untuk pembiayaan yang dijadual dan distruktur semula dengan tambahan had jaminan sebanyak 10 bilion ringgit termasuk 2 bilion ringgit dikhaskan untuk bumiputera. Ini akan membantu syarikat mendapatkan pembiayaan baharu yang sebelum ini sukar diperolehi. Untuk mengurangkan kos transaksi, pengecualian duti setem akan diberikan ke atas dokumen transaksi penjadualan dan penstrukturan semula pembiayaan.

Inisiatif 4: Kemudahan Menjalankan Perniagaan

Datuk Yang di-Pertua,

160. Untuk memastikan ekonomi dibuka dengan selamat dan mengurangkan risiko penularan virus COVID-19, pematuhan