Untung bersih suku ketiga Bursa Malaysia susut kepada RM79.94 juta

No Image Caption
A
A
A

BURSA Malaysia Bhd mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah bagi suku ketiga berakhir 30 September, 2021 kepada RM79.94 juta berbanding RM121.94 juta pada tempoh sama, tahun lepas.

Perolehan hasil pengendali pasaran itu turut berkurangan kepada RM173.98 juta daripada RM237.74 juta.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, biarpun petunjuk ekonomi memaparkan prospek ekonomi Malaysia yang lebih baik, perkembangan membabitkan pandemik Covid-19 sebaliknya akan terus mempengaruhi ketidaktentuan dan prestasi pasaran ekuiti.

“Bagaimanapun, pihak bursa akan terus mempertingkat platform serta inisiatif-inisiatifnya untuk menyokong komuniti pelaburan mengembangkan kekayaan dan pengurusan risiko masing-masing terhadap ketidaktentuan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Muhammad Umar berkata, Bursa Malaysia turut memperkenalkan ciri tambahan terkini dalam aplikasi mudah alih ‘Bursa Anywhere’ dikenali sebagai Tawaran Am Elektronik (eGO) yang memberi kemudahan kepada pelabur runcit selain penjimatan kos dan masa yang ketara.

“Di sebalik cabaran ini, kami berada pada kedudukan baik untuk terus membangunkan aspek pasaran dan mengembangkan ekosistem menerusi penawaran pelbagai produk seperti Kontrak Niaga Hadapan Minyak Sawit Mentah Malaysia Timur (FEPO) yang diperkenalkan baru-baru ini,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, pelancaran sesi dagangan malam (T+1) bagi Dagangan Malam Pasaran Derivatif menjelang suku keempat 2021 akan turut menawarkan akses lebih baik serta meningkatkan lagi tarikan pasaran derivatif Malaysia dalam kalangan penggiat global.- Bernama

Artikel Berkaitan: