RM2.5 bilion perkasa pembangunan masyarakat luar bandar

Kerajaan peruntukkan RM2.5 bilion bagi tahun 2022 untuk terus perkasa pembangunan masyarakat luar bandar melalui program pembangunan komoditi. - Foto 123RF
Kerajaan peruntukkan RM2.5 bilion bagi tahun 2022 untuk terus perkasa pembangunan masyarakat luar bandar melalui program pembangunan komoditi. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan memperuntukkan RM2.5 bilion bagi tahun 2022 untuk terus memperkasa pembangunan masyarakat luar bandar melalui program pembangunan komoditi.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, daripada jumlah itu, RM1.3 bilion disalurkan kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bagi tujuan pakej pemulihan dan pembangunan peneroka.

Menurutnya, sebanyak RM495 juta lagi untuk manfaat peserta Felcra dan RM699 juta untuk kemajuan pekebun kecil bagi perusahaan getah di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

"Kerajaan akan melaksanakan Program Transformasi Perusahaan Getah Negara bagi menyatukan pekebun kecil, usahawan getah dan koperasi kecil dalam satu konsortium yang lebih besar agar mampu untuk memproses getah sekerap ke bentuk getah krip.

"Bagi membantu meningkatkan taraf sosioekonomi pekebun kecil kategori B40, kerajaan akan memperkenal dan memperluas penggunaan teknologi RRIM Hydrobest kepada pekebun kecil melalui geran padanan," katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan juga bersetuju untuk meneruskan Bantuan Musim Tengkujuh untuk membantu meringankan beban sara hidup bagi 320,000 pekebun kecil yang kehilangan pendapatan semasa musim tengkujuh dengan peruntukan RM190 juta.

Menurutnya, kerajaan juga akan memberikan perlindungan takaful kepada semua ahli peladang PPK seluruh Malaysia di bawah Skim Perlindungan Takaful Smart Card Peladang dengan peruntukan sebanyak RM5 juta.

Katanya, selanjutnya bagi menyokong industri kelapa sawit, kerajaan memperuntukkan RM35 juta bagi melaksanakan Skim Rangsangan Tanam Semula Sawit Pekebun Kecil dan RM20 juta untuk usaha menangani kempen anti-minyak sawit di peringkat antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

"Akhir sekali, untuk tahun hadapan kerajaan bersetuju menaikkan nilai ambang kenaan levi keuntungan luar biasa kelapa sawit bagi Semenanjung Malaysia daripada RM2,500 kepada RM3,000.

"Bagi Sabah dan Sarawak pula ia dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM3,500. Manakala kadar levi Sabah dan Sarawak diselaraskan kepada tiga peratus seperti mana kadar levi di Semenanjung," katanya.