Bantuan Khas Kewangan: Penjawat awam dapat RM700, pesara RM350

Bantuan Khas Kewangan RM700 kepada 1.3 juta penjawat awam Gred 56 dan ke bawah serta RM350 kepada satu juta pesara kerajaan. Gambar hiasan
Bantuan Khas Kewangan RM700 kepada 1.3 juta penjawat awam Gred 56 dan ke bawah serta RM350 kepada satu juta pesara kerajaan. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Seramai 1.3 juta penjawat awam menikmati durian runtuh selepas kerajaan mengumumkan Bantuan Khas Kewangan RM700 bagi Gred 56 dan ke bawah.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bagi 1 juta pesara kerajaan, sebanyak RM350 turut diberikan.

Menurutnya, Bantuan Khas Kewangan tersebut membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM1.3 bilion untuk menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam menggalas tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat terutamanya semasa negara mengharungi tempoh mencabar.

"Diharapkan semoga bantuan ini dapat menjadi pemangkin kepada penjawat awam untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi," katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Beliau berkata, dalam menangani krisis Covid-19, ramai penjawat awam terutamanya barisan hadapan tetap komited kepada tugasan dan ada antaranya tidak berpeluang bercuti.

"Bagi mengiktiraf pengorbanan tersebut, sukacita diumumkan gantian cuti rehat dinaikkan daripada maksimum 150 hari kepada 160 hari," katanya.

Di samping itu, Tengku Zafrul berkata, kerajaan juga akan melaksanakan kemudahan membenarkan penebusan awal gantian cuti rehat (GCR) sehingga 50 peratus atau 80 hari.

"Kemudahan ini mengambil kira keperluan penjawat awam seperti menunaikan haji atau membiayai pengajian tinggi anak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, sejak Covid-19 mula membarah di tanah air, penjawat awam ialah perawat yang setia, yang menatang rakyat bagai sebuah keluarga, tanpa jemu dan leka.

Dalam mengharungi episod duka ini, anggota barisan hadapan, juga disambut keringat sukarelawan telah sama-sama menjayakan setiap agenda kerajaan dengan berkesan.

"Terima kasih, terima kasih, terima kasih kami ucapkan," katanya