Peningkatan kualiti alam sekitar antara kesan pandemik, PKP

Pengurangan pergerakan manusia dan aktiviti perniagaan yang perlahan semasa pandemik Covid-19 dan pelaksanaan PKP memberi kesan positif yang ketara kepada kualiti alam sekitar. - Foto 123rf
Pengurangan pergerakan manusia dan aktiviti perniagaan yang perlahan semasa pandemik Covid-19 dan pelaksanaan PKP memberi kesan positif yang ketara kepada kualiti alam sekitar. - Foto 123rf
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengurangan pergerakan manusia dan aktiviti perniagaan yang perlahan semasa pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi kesan positif yang ketara kepada kualiti alam sekitar.

Merujuk perbandingan data diperoleh Jabatan Alam Sekitar (JAS), laporan Tinjauan Ekonomi 2022 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini, menyatakan kualiti alam sekitar khususnya udara dan air sungai meningkat dengan ketara semasa pandemik (2020) berbanding sebelum pandemik (2019).

Menurut laporan itu, walaupun pelaksanaan PKP bermula Mac 2020 pada awalnya dilihat telah memberi kesan negatif kepada ekonomi dan mendedahkan isu dalam beberapa industri, namun pandemik itu secara tidak langsung telah memberi kesan positif kepada alam sekitar.

“Analisis data mendapati selain daripada pengurangan bilangan lembangan sungai yang dicemari oleh ammonia nitrogen, jumlah lembangan sungai dianggap bersih daripada keperluan oksigen biokimia dan pepejal terampai juga meningkat dengan ketara pada 2020,” menurut laporan itu.

Katanya, adalah penting bagi industri dan perniagaan mematuhi semua langkah kawalan pencemaran yang diperkenalkan dan dilaksanakan oleh pihak berkuasa

"Negara bersedia menuju ke arah mencapai kualiti alam sekitar yang lebih baik melalui penambahbaikan berterusan yang dilaksana untuk menangani itu dalam pelbagai industri seperti pembinaan, perladangan pembuatan dan pelancongan,” menurut laporan itu lagi.

Selain itu, laporan berkenaan turut menekankan semua pihak berkepentingan perlu mengutamakan agenda ekonomi rendah karbon untuk mengekalkan momentum berkenaan.

Di samping itu, laporan itu turut mengesyorkan individu, perniagaan dan industri perlu mengguna pakai teknologi digital serta menerapkan kemahiran teknikal yang diperlukan untuk lebih berdaya tahan dalam menghadapi cabaran masa hadapan.

Artikel Berkaitan:

Laporan itu turut menekankan beberapa iktibar daripada pandemik dari perspektif ekonomi antaranya mengurangkan kebergantungan tinggi terhadap pekerja asing selain menyarankan pekerja yang diberhentikan daripada industri terjejas seperti hospitaliti dan peruncitan dipindahkan kepada industri yang mengalami peningkatan permintaan buruh.

Bagaimanapun laporan itu turut menjelaskan, sektor tertentu dimonopoli pekerja asing disebabkan mentaliti rakyat Malaysia yang tidak berminat bekerja dalam pekerjaan 3D (kotor, bahaya dan sukar).

Selain itu, industri pembinaan yang paling terjejas akibat Covid-19 disarankan agar beralih kepada penggunaan teknologi tinggi dengan penggunaan Sistem Pembinaan Berindustri (IBS) yang dapat melonjakkan produktiviti.

Laporan itu juga turut menekankan keperluan untuk menambah baik sistem perlindungan sosial sedia ada di samping perlu meningkatkan kecelikan mengenai kepentingan ilmu kewangan dalam kalangan masyarakat Malaysia berikutan isu simpanan individu yang rendah untuk kelangsungan hidup terutama dalam situasi krisis. - Bernama