Harimau tular di Jalan Jemaluang bukan harimau sama di Kluang

Pada 20 Oktober lepas, media melaporkan dua rakaman video memaparkan gelagat beberapa individu yang terserempak dengan haiwan pemangsa berkenaan di Hutan Simpan Lenggor membunyikan hon kenderaan, tular di media sosial.
Pada 20 Oktober lepas, media melaporkan dua rakaman video memaparkan gelagat beberapa individu yang terserempak dengan haiwan pemangsa berkenaan di Hutan Simpan Lenggor membunyikan hon kenderaan, tular di media sosial.
A
A
A

MERSING - Harimau belang yang dilaporkan ditemui orang awam di Jalan Jemaluang di sini Rabu lepas dipercayai bukan harimau sama seperti yang ditemui di Hutan Simpan Lenggor, Kluang, minggu lepas.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor Aminuddin Jamin berkata ini kerana, berdasarkan siasatan, lokasi kedua-dua haiwan itu ditemui adalah pada jarak yang agak jauh.

“Bagaimanapun, orang ramai yang berdepan situasi ternampak harimau belang ketika sedang menaiki kenderaan di mana-mana sahaja, segera salurkan maklumat kepada Perhilitan untuk tindakan lanjut.

“Jangan cuba turun daripada kenderaan, membaling objek atau mencederakan haiwan tersebut yang dikhuatiri mendorong mereka untuk bertindak balas (secara agresif),” katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Jumaat.

Beliau berkata pihaknya sentiasa memantau Hutan Simpan Lenggor dan memasang perangkap kamera bagi memudahkan usaha menjejaki haiwan berkenaan.

“Sifat sebenar harimau belang tidak menampakkan diri mereka namun lokasi penemuan haiwan liar itu didapati di dalam kawasan Taman Negara Endau-Rompin yang mana merupakan habitat dan kawasan keliarannya.

“Justeru itu, kita ingin mengingatkan orang ramai agar tidak melakukan sebarang provokasi sekiranya terserempak dengan haiwan liar termasuk harimau dan gajah yang cenderung menyerang mangsa jika berasa terancam atau untuk mendapatkan makanan,” katanya.

Pada 20 Oktober lepas, media melaporkan dua rakaman video memaparkan gelagat beberapa individu yang terserempak dengan haiwan pemangsa berkenaan di Hutan Simpan Lenggor membunyikan hon kenderaan, tular di media sosial.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, baru-baru ini, tular di media sosial mengenai sepasang suami isteri Mohd Shahrum Salleh, 36, dan Nurhidayahlaily Su'alman, 32, berdepan detik cemas apabila mendakwa melihat seekor harimau belang ketika sedang menaiki kereta di Jalan Jemaluang.

Sementara itu, Mohd Shahrum ketika dihubungi Bernama berkata, dalam kejadian itu, dia dan Nurhidayahlaily yang menjalankan perkhidmatan sanitasi sedang dalam perjalanan menuju ke Felda Tenggaroh dan itu merupakan pengalaman pertama mereka terserempak dengan harimau selain gajah.

“Sebelum ini, laluan berkenaan banyak monyet berkeliaran, namun kini tiada lagi dan dalam kejadian kira-kira 8 pagi, 27 Oktober lepas, apabila kami tiba di laluan itu, saya bergurau dan berkata kepada isteri kemungkinan ada harimau sebab itu monyet semua takut mahu keluar.

“Tidak lama kemudian, kami berdua tergamam apabila ternampak seekor harimau belang sedang duduk di tepi jalan dan saya terus berhentikan kereta sedikit jauh kerana bimbang untuk teruskan perjalanan sebelum haiwan liar itu bangun dan menuju ke hutan," katanya sambil menambah ketika itu isterinya sempat merakamkan gambar. -Bernama