X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 20 Mei 2022

Kadar pengangguran dijangka berkurang tahun depan

Jumlah guna tenaga pada tahun depan diunjur terus berkembang sebanyak 2.3 peratus kepada 15.5 juta orang dengan sektor perkhidmatan kekal sebagai penyumbang utama guna tenaga iaitu 64.8 peratus diikuti oleh sektor pembuatan (16.6%) dan pertanian (10.2%). - Foto 123rf
A
A

KUALA LUMPUR - Kadar pengangguran dijangka berkurang dan kembali mencatatkan guna tenaga penuh iaitu sebanyak empat peratus pada 2022.

Menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2022, jumlah itu dijangka menguncup berbanding tahun ini yang mencatatkan kadar pengangguran tinggi sebanyak 4.6 hingga 4.8 peratus atau atau 757,200 orang berbanding 4.3 peratus tahun lepas.

“Aktiviti ekonomi yang kembali normal kepada tahap prapandemik akan merangsang peningkatan permintaan buruh dan memacu pemulihan pantas dalam pasaran buruh,” menurut laporan tinjauan itu yang dikeluarkan Kementerian Kewangan pada Jumaat.

"Jumlah guna tenaga pada tahun depan diunjur terus berkembang sebanyak 2.3 peratus kepada 15.5 juta orang dengan sektor perkhidmatan kekal sebagai penyumbang utama guna tenaga iaitu 64.8 peratus diikuti oleh sektor pembuatan (16.6%) dan pertanian (10.2%)," katanya.

Bagi tahun ini, jumlah guna tenaga diunjur meningkat sebanyak 1.1 peratus kepada 15.1 juta orang dengan sektor perkhidmatan kekal penyumbang utama guna tenaga sebanyak 64.5 peratus terutamanya dalam subsektor perdagangan borong dan runcit (17.7%) serta perkhidmatan penginapan dan makanan dan minuman (15.1%).

Di samping itu, laporan tersebut juga menyatakan kadar penyertaan tenaga buruh untuk 2021 menunjukkan peningkatan secara marginal dan mencatat 68.5 peratus.

Bagaimanapun, penerusan pelbagai inisiatif untuk menstabilkan pasaran buruh di samping peningkatan kadar vaksinasi yang pantas telah memberikan sedikit kelegaan kepada pasaran buruh dan membantu banyak majikan mengekalkan pekerja.

Sehubungan itu, jumlah pemberhentian pekerja terutamanya dalam sektor pembuatan dan industri berkaitan pelancongan berkurang dengan ketara sebanyak 31.1 peratus kepada 34,729 orang pada akhir Jun 2021 berbanding tempoh sama tahun lepas.

Laporan tinjauan itu menyenaraikan kebanyakan pemberhentian pekerja berlaku di Selangor, Kuala Lumpur dan Johor berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan.

Selain itu, kekosongan jawatan meningkat ketara dengan lebih 258,000 kekosongan pada Jun 2021 berbanding sekitar 31,000 dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Walaupun terdapat pelbagai insentif yang telah disediakan di bawah pakej rangsangan untuk menggalakkan pengambilan pekerja, namun penempatan pekerjaan tidak memberangsangkan iaitu hanya 26.2 peratus daripada jumlah kekosongan.

Dalam pada itu, musim pandemik nampaknya tidak mendorong pencari kerja untuk mencari pekerjaan selepas pencari kerja aktif berkurang sebanyak 45.6 peratus kepada sekitar 151,000 orang.

Bagi sektor pekerja asing, bilangan pekerja asing berkemahiran rendah yang berdaftar berkurang kepada 1.1 juta orang pada akhir Ogos lepas dan dijangka kekal pada tahap berkenaan sepanjang tahun ini berikutan pelanjutan moratorium pekerja asing dalam sektor ekonomi manakala jumlah ekspatriat juga berkurang sebanyak 23.1 peratus kepada 77,188 orang berikutan sekatan rentas sempadan.

Namun, tinjauan itu meramalkan mobiliti buruh rentas sempadan dijangka meningkat sejajar dengan jangkaan prestasi kesihatan global yang lebih baik dan pembukaan sempadan antarabangsa secara berperingkat.

“Oleh itu, bilangan pekerja asing berkemahiran rendah dan ekspatriat juga diunjur bertambah selaras dengan usaha mempercepat pelaksanaan projek pembinaan dan projek utama yang dihentikan sementara waktu semasa tempo pandemik,” menurut laporan itu. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!