Tambahan RM4 bilion agenda tangani Covid-19

Kerajaan menyediakan tambahan RM4 bilion khusus kepada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi meneruskan agenda menangani Covid-19 susulan peperangan dengan pandemik itu masih belum berakhir.Gambar hiasan
Kerajaan menyediakan tambahan RM4 bilion khusus kepada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi meneruskan agenda menangani Covid-19 susulan peperangan dengan pandemik itu masih belum berakhir.Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan menyediakan tambahan RM4 bilion khusus kepada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi meneruskan agenda menangani Covid-19 susulan peperangan dengan pandemik itu masih belum berakhir.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia merangkumi RM2 bilion bagi membiayai program vaksinasi manakala RM2 bilion lagi untuk meningkatkan kapasiti fasiliti perkhidmatan kesihatan awam seperti pembelian bekalan ubat, bahan guna habis, pakaian perlindungan diri (PPE) dan kit kesihatan.

“Dalam semangat Keluarga Malaysia, KKM juga telah menyumber luar ke hospital swasta dan hospital selian kementerian lain bagi mengoptimumkan kapasiti kesihatan dalam negara,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Beliau berkata, kerajaan juga bercadang melaksanakan perolehan ubat antiviral yang didapati berkesan terhadap pelbagai virus termasuk Covid-19 untuk terus menang dalam perjuangan melawan wabak itu.

Katanya Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) akan terus diperkasa bagi membekalkan dos ketiga sebagai vaksin penggalak kepada orang dewasa selain meneruskan vaksinasi kepada anak-anak berusia lingkungan 12 hingga 17 tahun.

Beliau berkata, kerajaan telah menandatangani perjanjian untuk mendapatkan 88 juta dos iaitu bersamaan lebih 140 peratus penduduk dan cukup untuk memberikan dos ketiga kepada semua penduduk berusia 12 tahun dan ke atas.

Tengku Zafrul juga memaklumkan bagi tahun hadapan, kerajaan bercadang memberikan pelepasan cukai individu dan potongan cukai kepada majikan ke atas kos berkaitan pengambilan vaksin penggalak yang dibiayai sendiri.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua Ahli Parlimen yang meluluskan pindaan akta untuk membenarkan kegunaan dana Kumpulan Wang Amanah Negara bagi membiayai perolehan vaksin Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Dengan pindaan ini, kerajaan akan membelanjakan sebaiknya bagi memenuhi keperluan vaksinasi dalam memulih semula dan membina daya tahan buat rakyat dan perniagaan,” katanya. -Bernama