GFSI: Malaysia jatuh ke tangga ke-43 pada 2020

Malaysia dalam Indeks Sekuriti Makanan Global (GFSI) jatuh ke tangga ke-43 daripada 113 negara pada 2020 berbanding tempat ke-28 pada 2019. - Foto 123rf
Malaysia dalam Indeks Sekuriti Makanan Global (GFSI) jatuh ke tangga ke-43 daripada 113 negara pada 2020 berbanding tempat ke-28 pada 2019. - Foto 123rf
A
A
A

KEDUDUKAN Malaysia dalam Indeks Sekuriti Makanan Global (GFSI) jatuh ke tangga ke-43 daripada 113 negara pada 2020 berbanding tempat ke-28 pada 2019 dengan skor 67.9 peratus akibat pandemik Covid-19.

Menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2022 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan pada Jumaat, skor tersebut berdasarkan empat kategori iaitu kemampuan, ketersediaan, kualiti dan keselamatan serta sumber semula jadi dan ketahanan.

“Malaysia memperoleh skor di bawah kategori kemampuan sebanyak 85.5 peratus terutamanya disebabkan oleh inflasi makanan yang rendah, bilangan penduduk yang kecil di bawah garis kemiskinan global dan program jaringan keselamatan makanan.

“Bagaimanapun, skor lebih rendah dalam kategori lain antaranya disebabkan perbelanjaan awam rendah bagi penyelidikan dan pembangunan (R&D) pertanian, kempen pendidikan mengenai kepentingan diet seimbang dan berkhasiat yang tidak berkesan, ketiadaan agensi khusus bertanggungjawab untuk sekuriti makanan dan kebergantungan tinggi kepada import makanan,” menurut laporan itu.

Justeru, laporan itu memaklumkan penubuhan agensi khusus sekuriti makanan sangat penting terutamanya untuk menggubal dan melaksanakan dasar sekuriti makanan di peringkat nasional.

“Langkah ini dapat dilaksanakan melalui penggabungan fungsi berkaitan sekuriti makanan dari pelbagai agensi sedia ada untuk mengoptimumkan sumber,” menurut laporan itu.

Laporan itu menyatakan kolaborasi dan perkongsian pintar antara sektor awam dengan sektor swasta dalam menangani isu sekuriti makanan membolehkan Malaysia memiliki lebih banyak peluang dalam memastikan kemampanan sektor pertanian dan pengukuhan sekuriti makanan negara.

Pada masa sama, terdapat kepentingan untuk meningkatkan kapasiti agensi R&D semasa.

Artikel Berkaitan:

“Semua inisiatif tersebut akan membantu memanfaatkan sepenuhnya potensi sektor pertanian moden untuk membekalkan input yang pelbagai dan berkualiti kepada sektor ekonomi lain serta membangunkan ekonomi bersepadu,” menurut laporan itu. -Bernama