RM11.4 bilion untuk agenda pemerkasaan bumiputera

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM11.4 bilion bagi memastikan agenda pemerkasaan bumiputera terus diberi keutamaan dalam usaha merapatkan jurang antara kaum di negara ini.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, peruntukan itu bagi melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah payung pembangunan bumiputera.

"Daripada jumlah tersebut, RM6.6 bilion disediakan untuk pendidikan anak-anak bumiputera antaranya di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara), UiTM dan Yayasan Peneraju.

"Peruntukan ini disediakan untuk pinjaman pendidikan, menaik taraf program sijil ke diploma selain usaha melahirkan profesional dalam kalangan bumiputera dalam bidang perubatan, kejuruteraan dan kewangan," katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul memberitahu, sebanyak RM4.8 bilion pula untuk melaksanakan pelbagai program peningkatan kapasiti dan pembiayaan perniagaan.

Menurutnya, ia dilaksanakan di bawah Perbadanan Usahawan Nasional Berhad, Tekun Nasional (Tekun) dan Dana Kemakmuran Bumiputera.

Katanya lagi, sebagai usaha meningkatkan penglibatan syarikat anchor dalam membangunkan vendor bumiputera tempatan, potongan cukai dua kali bagi perbelanjaan operasi yang layak dinaikkan daripada sehingga RM300,000 kepada sehingga RM500,000.

Tempoh lanjutan cukai itu juga dilanjutkan bagi tempoh lima tahun sehingga 31 Disember 2025.

Artikel Berkaitan:

"Bagi menggalakkan penyertaan belia bumiputera dalam projek berskala kecil perolehan kerajaan, sebanyak RM200 juta akan disediakan.

"Sebagai tambahan, kerajaan melalui CIDB akan mewujudkan program pemecut atau 'accelerator programme' khusus kepada kontraktor belia G1 hingga G4 melalui kursus peningkatan kapasiti dan 'on-the-job training' dengan peruntukan RM10 juta," kata Tengku Zafrul.