Bahan buangan klinikal ditemui di Felda Sendayan

Veerapan (kanan) melawat lokasi pembuangan bahan buangan klinikal yang ditemui di Kampung Felda Sendayan.
Veerapan (kanan) melawat lokasi pembuangan bahan buangan klinikal yang ditemui di Kampung Felda Sendayan.
A
A
A

SEREMBAN - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan akan menyiasat 29 pusat hemodialisis swasta di sini, selepas menemui bungkusan buangan klinikal di tepi jalan di Kampung Felda Sendayan di sini, Selasa lalu.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, 11 bungkusan buangan klinikal disyaki daripada aktiviti dialisis berkenaan ditemui selepas pemeriksaan di lokasi dilakukan sebaik sahaja pihaknya menerima aduan daripada orang awam.

"Antara yang ditemui ialah tiub sedut darah selain itu ada di antaranya masih terdapat kesan darah yang jika dibiarkan boleh terdedah kepada risiko penyakit.

"Saya nak nasihatkan kepada semua pengurusan hospital dan klinik supaya uruskan dengan betul bahan buangan klinikal di lokasi pelupusan ditetapkan," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Menurutnya, di negeri ini hanya terdapat dua pusat pelupusan bahan buangan klinikal iaitu di Pusat Kualiti Alam Sdn Bhd dan Future NRG Sdn Bhd yang kedua-duanya terletak di Sendayan di sini.

Antara bahan buangan klinikal disyaki daripada aktiviti dialisis ditemui.
Antara bahan buangan klinikal disyaki daripada aktiviti dialisis ditemui.

Sementara itu, Veerapan berkata, siasatan awal pihaknya mendapati sebuah klinik dialisis di Seremban 2 dengan kontraktor yang menjalankan perkhidmatan mengangkut buangan terjadual yang dilesenkan oleh JAS disyaki membuang buangan klinik terbabit.

"Pihak kontraktor dilantik berkemungkinan mahu mengurangkan kos dengan ambil jalan mudah membuangnya di lokasi pembuangan sampah haram di situ. Satu Notis Arahan mengikut Seksyen 31 dan 37, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dikeluarkan.

Artikel Berkaitan:

"Premis yang disyaki, telah diarah buat kerja pembersihan di lokasi dan perlu menyimpan buangan itu sehingga siasatan JAS selesai sepenuhnya," katanya.

Menurutnya, tindakan mahkamah akan diambil terhadap premis yang terlibat dengan pelupusan haram mengikut Seksyen 34B (1) (a), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 iaitu larangan penempatan, peletakan, pelupusan buangan terjadual kecuali di premis ditetapkan sahaja.

"Mana-mana orang yang didapati bersalah melanggar kesalahan ini boleh dihukum penjara maksimum lima tahun dan denda tidak melebihi RM500,000," katanya.