Deepavali makin terasa, Little India kembali meriah

Penganut Hindu membuat persiapan sambutan Deepavali di Lebuh Pasar atau lebih dikenali sebagai Little India.- Foto fail Bernama
Penganut Hindu membuat persiapan sambutan Deepavali di Lebuh Pasar atau lebih dikenali sebagai Little India.- Foto fail Bernama
A
A
A

GEORGETOWN - Sebelum ini, kawasan Little India di Lebuh Pasar di sini yang menjadi tumpuan penganut Hindu membeli-belah untuk persiapan menyambut Deepavali ‘sunyi’ susulan perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat wabak Covid-19.

Namun, suasana itu berubah apabila ia kembali meriah tahun ini setelah beberapa kelonggaran dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) diberikan dan rata-rata pengunjung mula membuat persiapan awal bagi sambutan Pesta Cahaya pada 4 November ini.

Para peniaga juga menarik nafas lega apabila premis mereka mula dibanjiri orang ramai sejak minggu lepas bagi mencari pakaian baharu, aksesori, kuih seperti muruku dan manisan.

Pervinder Singh, 40, yang berniaga pakaian berkata, beliau gembira kerana jumlah pelanggan semakin meningkat walaupun bukan pada cuti hujung minggu selepas aktiviti merentas negeri dibenarkan dan hasil perniagaannya meningkat hingga 80 peratus berbanding tahun lepas.

“Saya perlu membuka kedai lebih awal bermula jam 7.30 pagi hingga 9.30 malam sempena Deepavali kali ini bagi membolehkan orang ramai mempunyai lebih banyak masa untuk membeli-belah, dijangka Jumaat hingga Ahad ini pelanggan dari Kedah, Perak dan negeri berhampiran akan ke sini untuk membeli persiapan perayaan ini,” katanya kepada Bernama.

Kelihatan penganut Hindu membeli sari baharu di sebuah kedai pakaian di Lebuh Pasar. - Foto fail Bernama
Kelihatan penganut Hindu membeli sari baharu di sebuah kedai pakaian di Lebuh Pasar. - Foto fail Bernama

Seorang peniaga manisan, kacang dan muruku M. Thanaraj, 38, memberitahu, beliau telah berniaga di kawasan Little India sejak 20 tahun lepas dan tahun ini persiapan penganut Hindu untuk perayaan Deepavali lebih meriah walaupun dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

"Tahun lepas dan sebelumnya, jumlah jualan kacang, muruku dan kuih-muih murudum kerana pandemik Covid-19 berikutan sambutan yang sederhana malah ramai yang tidak dapat pulang ke kampung halaman.

Artikel Berkaitan:

"Kali ini nampaknya Little India semakin meriah sejak dua minggu lepas apabila orang ramai membuat persiapan awal bagi meraikan Pesta Cahaya dan saya berharap jualan kali ini akan kembali meningkat," katanya.

Pengunjung juga dilihat teruja berbelanja kerana tahun ini dapat meraikan perayaan itu bersama keluarga di kampung halaman walaupun dengan pematuhan SOP bagi mengelak penularan Covid-19.

Seorang guru, K. Rajeswari, 40, memberitahu, beliau dan suami bersama tiga anak telah mula membuat persiapan untuk sambutan perayaan Deepavali sejak minggu lepas.

“Tahun ini sambutan lebih meriah berbanding dua tahun lepas kerana pertama kali keluarga saya terutama kakak yang berada di Selangor akan pulang ke Butterworth untuk meraikan Deepavali bersama, paling teruja adalah ibu saya,” katanya.

Bagi T. Suguna, 49, beliau tidak berkesempatan menyambut Deepavali bersama keluarga tahun lepas disebabkan negara berdepan pandemik Covid-19 dan dalam tempoh PKP, jadi tahun ini keluarganya telah mula membuat persiapan awal sejak kebenaran merentas negeri dibenarkan.

"Saya membeli barangan dan kelengkapan Deepavali lebih awal pada Jumaatbsaya datang ke sini (Little India) untuk membeli pakaian baharu, selain mencari juadah seperti muruku dan manisan untuk dijadikan hidangan kepada tetamu yang hadir ke rumah keluarga," katanya. -Bernama