Tiga lelaki mengaku tidak bersalah ambil hasil hutan

Tiga lelaki mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengambil 43 tual balak di Kampung Perlak, Penyor, Pekan tanpa lesen pada Oktober lalu.
Tiga lelaki mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengambil 43 tual balak di Kampung Perlak, Penyor, Pekan tanpa lesen pada Oktober lalu.
A
A
A

KUANTAN - Tiga lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan atas pertuduhan mengambil 43 tual balak di Kampung Perlak, Penyor, Pekan tanpa lesen pada Oktober lalu.

Tertuduh, Muhamad Saffrin Ahmad, 36, Ahmad Mustaim Muhamad, 30 dan Muhammad Taufik Hidayah Talib, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu di hadapan Hakim, Shahrul Rizal Majid.

Mereka didakwa secara bersama-sama didapati telah mengambil hasil hutan iaitu sebanyak 43 tual balak dari tanah kerajaan Pahang tanpa lesen.

Semua tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Kampung Perlak, jam 3.30 petang pada 21 Oktober lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313] yang telah diterima pakai oleh Negeri Pahang di bawah Enakmen Perhutanan Negara (Negeri-negeri Malaysia) (Pemakaian) 1986 dan boleh dihukum di bawah seksyen 15(2) Enakmen sama dan dibaca bersama-sama seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kesalahan ini memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 dan dipenjarakan tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi 20 tahun, jika didapati bersalah.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya dari Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Afidatul Azwa Kamarulanuar menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Mahkamah membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin RM5,000 setiap seorang dan menetapkan sebutan kes pada 18 November depan.

Artikel Berkaitan:

Semua tertuduh diwakili peguam, Mohd Faizal Hiqram Azmi.