Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia bukti kerajaan prihatin

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

PUTRAJAYA- [DIKEMASKINI] Penubuhan Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan golongan itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia seiring prinsip kerajaan yang sentiasa memastikan tiada seorang pun akan tercicir atau terpinggir dari dibantu.

"Yayasan berstatus badan rasmi peringkat nasional ini ditubuhkan di bawah Akta 258 dengan dikawal selia oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri," katanya dalam ucapan pelancaran yayasan berkenaan, secara maya, pada Jumaat.

Turut hadir, Menteri Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Seri Dr Nooraini Ahmad dan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menurutnya, kerajaan bersetuju untuk memberikan peruntukan dana permulaan sebanyak RM5 juta kepada yayasan berkenaan.

"Dana yang disalurkan menerusi Kementerian Kewangan ini adalah tanda sokongan kerajaan dalam memastikan kelangsungan operasi dan matlamat penubuhannya tercapai," katanya.

Beliau memberitahu, badan itu bakal berkolaborasi dengan kesemua saluran bantuan dan yayasan sedia ada di institusi pengajian tinggi (IPT) bagi memudahkan bantuan disalurkan kepada mahasiswa yang memerlukan bantuan.

"Sehubungan itu, ingin saya mengingatkan kepada agensi dan pihak yang terlibat, permudahkan dan percepatkanlah sebarang permohonan lengkap yang diterima daripada mahasiswa supaya bantuan dapat disalurkan pada kadar segera kepada mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ismail Sabri memberitahu, dengan tertubuhnya yayasan ini, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bertanggungjawab memastikan tiada rakan yang memerlukan bantuan, tercicir daripada dibantu.

"Demi melaksanakan usaha murni ini, saya menyeru kesemua mahasiswa supaya menggenggam erat prinsip kebersamaan tanpa mengira agama, bangsa dan kaum," katanya.

Yayasan ini wajar menjadi asbab bagi semua pihak untuk memberikan yang terbaik, ke arah menterjemahkan aspirasi konsep Keluarga Malaysia," katanya.

Sementara itu, Nooraini dalam ucapannya berkata, penubuhan yayasan tersebut seiring dengan fokus strategik KPT yang keenam, iaitu menyemarakkan semangat #KPTPrihatin.

"Bakal menjadi medium pengurusan dan penyelarasan aktiviti penjanaan serta penyaluran dana bantuan kebajikan mahasiswa di peringkat nasional, yayasan ini juga melengkapi aspirasi untuk memantapkan tadbir urus dan menambah baik kecekapan urusan berkaitan kebajikan dan kesejahteraan pelajar merentas IPT," katanya.

Justeru, beliau berharap penubuhan yayasan itu dapat membantu meringankan beban mahasiswa yang kurang berkemampuan.

"Saya sendiri secara peribadi beriltizam agar inisiatif kebajikan pelajar ini dapat diperkasa dan diperluaskan horizonnya dari semasa ke semasa dengan pengukuhan sumber dana demi memastikan kelestarian pelaksanaannya kelak," katanya.