Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pagi ini

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pada urus niaga pagi Jumaat dengan minat belian ke atas unit tempatan muncul kembali menjelang pembentangan Bajet 2022 petang ini. - Foto 123RF
Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pada urus niaga pagi Jumaat dengan minat belian ke atas unit tempatan muncul kembali menjelang pembentangan Bajet 2022 petang ini. - Foto 123RF
A
A
A

RINGGIT dibuka tinggi berbanding dolar AS pada urus niaga pagi Jumaat dengan minat belian ke atas unit tempatan muncul kembali menjelang pembentangan Bajet 2022 petang ini, kata seorang peniaga.

Pada jam 9 pagi, nilai ringgit meningkat kepada 4.1445/1480 berbanding dolar AS daripada 4.1485/1520 penutupan petang Khamis.

Ketua Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, para peniaga menantikan pengumuman belanjawan petang ini kerana ia boleh menjadi faktor penentu kepada keyakinan mereka mengenai prestasi ringgit.

Pada awal Januari 2021, unit tempatan itu mencecah paras 4.00 berbanding dolar AS, menyusut ke paras rendah setakat tahun ini pada 4.24 pada pertengahan Ogos dan kembali pulih untuk diniagakan pada paras semasa antara 4.14 dan 4.19.

Beliau menambah, ringgit nampak memberangsangkan pada masa ini selepas mencapai paras sokongan sebelumnya iaitu RM4.1498.

“Paras sokongan seterusnya ialah RM4.1203. Harga komoditi yang tinggi berserta data ekonomi yang positif mungkin telah membantu menyokong nilai ringgit.

“Namun begitu, kemungkinan munculnya kegiatan pengambilan untung kerana ringgit dilihat berada dalam kedudukan terlebih beli dari sudut teknikal,” katanya kepada Bernama.

Beliau menambah dengan pembentangan Bajet 2022 lewat Jumaat, indikator makroekonomi utama seperti defisit fiskal dan unjuran keluaran dalam negara kasar akan dipantau dengan lebih dekat.

Artikel Berkaitan:

“Umumnya, ringgit dilihat boleh terus meningkat,” tambah beliau.

Sementara itu, pada pembukaan, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama yang lain.

Ia menyusut berbanding yen Jepun kepada 3.6499/6533 daripada 3.6493/6527 sebelumnya dan lebih rendah berbanding euro kepada 4.8428/8469 daripada 4.8094/8134 semalam.

Unit tempatan turut merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0835/0863 daripada 3.0778/0808 pada Khamis dan lega berbanding pound Britain kepada 5.7173/7222 daripada 5.7075/7123 sebelumnya. - Bernama